Sujud syukur depan Kaabah, Shaheizy Sam sambut anniversary ke-10 bersama Syatilla, bawa keluarga tunai umrah
PPELAKON popular, Shaheizy Sam dan isteri tercinta, Syatilla Melvin, memilih cara istimewa untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 dengan menunaikan ibadah umrah buat kali kelapan di Tanah Suci Makkah.
Lebih bermakna, perjalanan suci mereka turut disertai ahli keluarga terdekat, termasuk ibu Sam, Khaty Fauziah, serta tiga cahaya mata mereka.
Memetik Harian Metro, pelakon lelaki berusia 43 tahun itu mengakui, kesedaran untuk menunaikan umrah setiap tahun hadir sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu.
"Selepas berkahwin, saya dapat peluang untuk buat umrah banyak kali tapi selalu tak dapat pergi sebab kerja sedangkan duit sampai bila pun tak akan cukup.
"Dalam kita sibuk bekerja cari duit tapi selalu rasa ia takkan cukup sehinggalah masa wabak Covid-19, kita mula sedar betapa hebatnya kuasa ALLAH SWT, benda yang kita tak nampak pun satu dunia kelam kabut kerana takut mati dan takut bisnes rugi.

"Masa fasa PKP juga saya mula dapat kesedaran banyak benda iaitu luangkan lebih masa bersama keluarga, tangungjawab pada keluarga dan sebagai hamba kepada ALLAH SWT.
"Ketika saya 'tunggang terbalik' pun ALLAH SWT tak pernah putuskan rezeki. Jadi, ia buat saya sedar untuk pergi buat umrah dan sujud syukur depan Kaabah.
"Saya masih ingat umrah pertama pada 2022, di mana saya buat umrah dan sambut hari jadi isteri di Tanah Suci Makkah," katanya lagi.
Pelakon filem Polis Evo itu turut berkongsi yang dia sentiasa berdoa agar diberi kesempatan menunaikan umrah setiap tahun.
"Bermula dari umrah pertama itulah, saya tidak lupa untuk berdoa setiap kali buat tawaf wada' ketika nak balik dan minta pada ALLAH SWT, jangan jadikan itu kali terakhir saya buat umrah dan jemputlah saya ke sana lagi.
"Bila balik Malaysia, saya selalu berasa rindu untuk ke tanah suci dan mahu pergi lagi pada setiap tahun.
"Bukan nak tunjuk saya banyak duit tapi saya dikurniakan rezeki dapat buat umrah sekurang-kurangnya dua kali setahun pada sambutan hari jadi isteri dan hari jadi saya juga. Itu yang saya cakap rezeki dari ALLAH SWT.
"Kita boleh fikir, kalau saya pergi umrah dan berjumpa dengan pencipta, Allah akan beri rezeki yang lebih hebat.
"Mungkin bukan bisnes yang 'meletup' tapi rezeki dan duit tak pernah putus dan lebih dari cukup untuk saya menyara isteri dan anak-anak.
"Insya-ALLAH, kalau ada rezeki, saya merancang mahu buat ibadah haji pula pada tahun depan," kongsinya lagi.

Sebelum berangkat, Sam mengadakan majlis doa selamat dan tahlil di kediamannya sempena Ramadan serta mengenang arwah abang iparnya, Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sementara itu, Syatilla turut berkongsi gambar bersama suami dengan titipan ringkas namun penuh makna.
"2026… 10tahun…," tulisnya.
Sekadar makluman, pasangan ini telah melayari bahtera perkahwinan sejak 8 Februari 2016 dan dikurniakan tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup mereka.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

