Pokok hempap kereta, mangsa cedera, siapa perlu bayar ganti rugi? Ini tindakan undang-undang boleh diambil
INSIDEN pokok tumbang yang menghempap kenderaan bukan sahaja mencederakan pengguna jalan raya, malah boleh membawa kecederaan serius dan kerosakan harta benda.
Justeru, timbul pertanyaan, sekiranya situasi tersebut berlaku, kepada siapa mangsa boleh mendapatkan pembelaan?
Peguam Sivil, Faiz Fahmi Md Fodzi dari Tetuan Afzan Zahary & Co berkongsi tindakan yang boleh diambil oleh mangsa.
"Bayangkan anda sedang menunggang motosikal atau memandu kereta, tiba-tiba sebatang pokok tumbang di hadapan anda. Kemalangan berlaku, anda cedera teruk. Siapa yang perlu bertanggungjawab?

"Pihak berkuasa tempatan mempunyai tanggungjawab yang jelas dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya. Antaranya menanam, memangkas atau membuang pokok yang boleh mengancam keselamatan.
"Mereka juga melaksanakan penyelenggaraan berkala untuk mengelakkan pokok tumbang dan memastikan jalan raya dan kawasan awam selamat untuk digunakan," kongsinya.
Sementara itu, PBT juga mempunyai libialiti kepada yang tidak terhad kepada pokok yang ditanam oleh mereka, tetapi juga merangkumi pokok-pokok yang berada di sepanjang jalan awam.
"PBT bertanggungjawab kepada pokok di tanah kerajaan atau tanah persendirian yang boleh menimbulkan bahaya kepada orang awam, pokok yang boleh menghalang laluan atau mengancam keselamatan jalan raya.
"Pinsip Duty of Care yang mana pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah yang munasabah untuk mengelakkan kemalangan termasuk melakukan pemeriksaan secara berkala, melantik pekerja atau kontraktor yang cekap untuk menyelenggara pokok-pokok dan engambil tindakan segera terhadap aduan atau laporan mengenai pokok yang berbahaya," kongsinya.

Dalam masa yang sama, jika mereka gagal menjalankan tanggungjawab, cuai dan gagal menyelenggara pokok dengan betul, mereka mungkin perlu membayar ganti rugi am untuk kecederaan dan kesakitan yang dialami.
"Ganti rugi khas pula untuk kehilangan pendapatan dan kos perubatan.
"Prinsip Res Ipsa Loquitur iaitu prinsip ini boleh digunakan oleh mangsa kemalangan untuk menunjukkan bahawa kecederaan berlaku akibat kecuaian. Jika pokok tumbang di bawah kawasan kawalan pihak berkuasa tempatan, mereka mungkin bertanggungjawab," kongsi Faiz Fahmi lagi.
Terdahulu, dua wanita cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Shah Alam pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 12.11 tengah hari.
"Seramai 12 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh empat kilometer," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kongsi beliau lagi, setibanya pihak bomba di lokasi lima minit kemudian, komander operasi melaporkan dua mangsa wanita tersepit di dalam kenderaan Mitsubishi Xpander.
"Kerja-kerja menyelamat dijalankan bagi mengeluarkan mereka.
"Mangsa dikenali sebagai Nur Shahidah Abdul Aziz, 39, mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala, manakala Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, cedera di bahagian pinggang," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian, Jom Tanya Peguam
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
