18 tahun terkandas, anak tidak sekolah, wanita ditinggal suami Lombok kembali ke Malaysia. 'Masa nak cerai, dia pukul dan tendang'

Kredit foto: Shamsul Anuar Nasarah
Kredit foto: Shamsul Anuar Nasarah
A
A
A

SELEPAS hampir dua dekad terpisah daripada keluarga, seorang wanita warga Malaysia yang terkandas di Lombok, Indonesia akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air pada Sabtu. 

Sepanjang tempoh itu, Norida Akmal Ayob, 45 tahun, dikatakan hidup dalam serba kekurangan dan bekerja sebagai tukang sapu untuk menyara diri selepas perkahwinannya berakhir dan bekas suaminya berkahwin lain.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Norida sebelum ini mengikut suaminya yang juga warga Indonesia ke Lombok bersama anak mereka dan menetap di sana.

Panas disangkakan sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Selepas ikatan perkahwinan terlerai, Norida  terpaksa mencari rezeki sendiri demi anak-anaknya.

Kredit foto: Shamsul Anuar Nasarah
Kredit foto: Shamsul Anuar Nasarah

"Perkahwinan Norida tidak kekal dan akhirnya dia hidup sendirian, susah dan daif.

"Dia mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan hidup bersama anak-anak setelah berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain," kongsi beliau menerusi satu hantaran Facebook pada Ahad.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, Norida dan dua anaknya berjaya dibawa pulang hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia terutama pihak imigresen.

Wanita itu mempunyai dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang lahir di Malaysia dan berstatus warga Malaysia, manakala anak lelaki, Muhamad Sabani Daniel merupakan warga Indonesia kerana dilahirkan di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengetahui kisah wanita tersebut mahu kembali ke Malaysia selepas keluarganya di Kampung Bukit Sapi Lenggong datang menemuinya dan memaklumkan keadaan Norida.

Kredit foto: Shamsul Anuar Nasarah
Kredit foto: Shamsul Anuar Nasarah

"Saya dimaklumkan Norida berada dalam keadaan serba kekurangan, anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan dan terbiar," ujarnya lagi.

Shamsul Anuar berkata, beliau kemudiannya memulakan urusan dengan meminta kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaaan Besar Malaysia di Jakarta Indonesia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Saya telah menghantar pegawai yang diketuai Datuk Dazma Shah Daud ke Lombok Indonesia bersama setiausaha sulit saya ke Lombok bagi urusan membawa pulang.

"Alhamdulillah, kini mereka selamat pulang ke tanah air," tambahnya

'Masa nak bercerai dia pukul dan tendang saya' - Norida

Dalam pada itu, memetik Berita RTM, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan menerima ugutan yang menyebabkan dirinya hidup dalam ketakutan dan meninggalkan trauma kepada anak-anaknya.

“Masa nak bercerai dia pukul dan tendang saya. Anak-anak tengok. 

"Waktu itu sebelum Subuh, dia kejut saya dan terus tendang. Seminggu saya tak boleh berjalan,” katanya.

Kredit foto: Berita RTM
Kredit foto: Berita RTM

Norida berkata kehidupan di perantauan tanpa sokongan keluarga amat sukar, lebih-lebih lagi ketika anak-anak masih kecil.

“Di sana saya, hidup sebatang kara. Anak-anak masih kecil masa itu. 

"Sekarang mereka sudah besar, itu yang buat saya nekad hendak balik. Duduk di tempat orang tiada gunanya, lebih baik di tanah air sendiri,” katanya lagi.

Ceritanya lagi, bekas suaminya itu pernah mengugut kononnya Norida tidak akan dapat kembali ke Malaysia, membuatkan wanita itu berasa tiada lagi harapan untuk pulang.

Namun takdir akhirnya mempertemukan semula dirinya dengan keluarga selepas bertahun-tahun terpisah.

Norida bersyukur dapat kembali ke Malaysia dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia yang membantu menyelaras kepulangannya.

Dia dalam masa yang sama berharap dapat membawa pulang anak lelakinya berusia 18 tahun yang masih berada di Indonesia.

“Anak lelaki saya memang mahu pulang dan tinggal bersama saya di sini. Cuma dia lahir di Indonesia. 

"Kalau boleh, saya harap ada bantuan supaya dia dapat kembali ke Malaysia,” katanya.

Buat masa ini, Norida mahu memberi tumpuan untuk memulihkan diri dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di tanah air, selain berharap dapat membina masa depan lebih stabil buat dirinya dan anak-anak.

Sumber: Sinar Harian, Berita RTM

 

Sumber: Sinar Harian, Berita RTM

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang