Tragedi pokok tumbang: Dua pensyarah wanita patah tulang dipantau rapi, pakai pendakap khas tiga bulan
DUApensyarah wanita yang cedera susulan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaiki mereka ditimpa pokok tumbang pada Isnin semakin baik.
Menerusi hantaran di laman Facebook Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini dipantau rapi.

Kedua-dua pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK) UiTM itu yang kini sedang dirawat di hospital menerima kunjungan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi.
"Dalam sesi lawatan tersebut, kedua-dua wakil rakyat berkenaan telah diberikan taklimat oleh pihak doktor mengenai perkembangan dan status kesihatan mangsa.
"Difahamkan, keadaan kedua-duanya adalah stabil dan dalam pemantauan rapi pihak hospital," kongsi UiTM menerusi hantarannya.
Lawatan berkenaan turut disertai Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Prof Dr Ismie Roha Mohamed Jais, sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan pihak universiti terhadap kebajikan warganya.

"Kedua-duanya menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar Nur Shahidah dan Shareena Fairuz diberikan kesembuhan segera dan dipermudah segala urusan rawatan. Mereka juga berharap agar keluarga mangsa terus tabah menghadapi ujian tersebut," kongsinya.
Memetik portal berita tempatan, Prof Dr Ismie Roha memaklumkan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) bagi Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf masih belum diperoleh.

Dr Nur Shahidah mengalami luka pada kepala yang memerlukan lapan jahitan dan patah tulang (C2) manakala Dr Shareena Fairuz pula patah tulang (T5).
Difahamkan, kedua-dua mereka perlu memakai pendakap khas selama tiga hingga empat bulan dan pemeriksaan susulan akan dibuat dari semasa ke semasa.
Terdahulu, media melaporkan Nur Shahidah, 39, cedera pada kepala dan muka manakala Shareena Fairuz, 42, pula pada bahagian pinggang.
Terdahulu, kira-kira pada jam jam 2.20 petang, Nur Shahidah dan Shareena Fairuz dalam perjalanan menaiki MPV Mitshubishi Xpander dihempap pokok tumbang di Apartmen Baiduri, Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, menyebabkan mereka tersepit.
Kedua-duanya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.
Kejadian itu kemudian tular dan menerima reaksi pelbagai pihak susulan kerosakan kenderaan yang serius.
Ia juga mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan, khususnya melibatkan risiko pokok tumbang. Orang ramai berharap langkah pemantauan dan penyelenggaraan dapat dipertingkat bagi mengelak insiden seumpama ini berulang pada masa hadapan.
Sumber: FB UiTM Media Rasmi, BH Online
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

