Anzalna rancang turun padang kongsi rezeki Ramadan dengan keluarga kurang bernasib baik – 'Melihat hidangan atas meja, hati saya…'

No Image Caption
A
A
A

BULAN Ramadan bukan sahaja bulan untuk menahan lapar dan dahaga, malah bulan yang mengingatkan kita tentang erti syukur dan kepedulian terhadap insan lain. 

Bagi pelakon cantik manis, Anzalna Nasir, 38, momen berbuka puasa bukan sekadar masa untuk menikmati juadah enak, tetapi juga waktu untuk mengingati mereka yang kurang bernasib baik.

Menerusi hantaran di Threads, pemilik nama sebenar, Nur Anzalna Md Nasir, meluahkan rasa tersentuh setiap kali melihat hidangan berbuka yang lengkap di meja. 

“Setiap kali berbuka puasa dan melihat hidangan di atas meja, hati saya pasti teringat kepada mereka yang mungkin tidak berpeluang menikmati rezeki yang sama,” tulisnya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini juga tidak hanya berkongsi rasa empati, malah membuka ruang untuk orang ramai menyalurkan bantuan. 

Lantaran itu, dia meminta sesiapa yang mengenali keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan supaya menghubunginya secara langsung. 

Langkah tersebut bertujuan memudahkan proses penyaluran sumbangan agar lebih cepat dan teratur.

No Image Caption

“Kali ini, bantuan hanya tertumpu di kawasan sekitar Kuala Lumpur kerana saya sendiri mahu turun padang dan menyampaikannya secara peribadi. 

"Semoga usaha ini dapat meringankan beban mereka serta memberi peluang untuk menikmati juadah yang enak ketika berbuka,” tambahnya lagi.

Bukan sahaja menekankan kepentingan memberi, Anzalna juga mengingatkan tentang nilai bersyukur terhadap apa yang dimiliki. 

Usahanya untuk terus dekat dengan komuniti sekitar Kuala Lumpur bukan sahaja membuktikan keprihatinan seorang selebriti, tetapi juga memberi inspirasi kepada orang ramai untuk turut serta membantu mereka yang memerlukan.

Bagi Anzalna, Ramadan adalah masa untuk mengeratkan hubungan sesama insan. Setiap senyuman dan setiap hidangan yang diterima oleh mereka yang memerlukan adalah satu kepuasan hati yang tidak ternilai. 

Dengan usaha kecilnya ini, isteri kesayangan Hanif Zaki itu sekali lagi menunjukkan bahawa bulan yang mulia ini adalah masa terbaik untuk memberi, berkongsi dan menyemai kebaikan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang