Panjat kerusi di ruang tamu disyaki punca kanak-kanak lelaki maut jatuh tingkat 24. Bapa keluar kerja, adik-beradik tidur


BARU-baru ini berita berkenaan seorang kanak-kanak lima tahun maut terjatuh tingkat 24 sebuah kondominium di Teluk Kumbar, Pulau Pinang meruntun hati warganet.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab memaklumkan kanak-kanak lelaki berkenaan dipercayai memanjat kerusi berhampiran tingkap ruang tamu rumahnya sebelum terjatuh.
"Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama dua adik-beradiknya yang sedang tidur, manakala bapanya keluar sebentar atas urusan kerja dan ibu mangsa pula berada di ibu negara atas urusan pekerjaan.
"Mangsa dipercayai terjaga daripada tidur sebelum memanjat sebuah kerusi yang berada berhampiran tingkap ruang tamu dan kemudiannya terjatuh," katanya.
Kanak-kanak warga tempatan itu ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah dan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan awal pagi tadi.
Difahamkan, pemeriksaan di lokasi kejadian oleh pasukan forensik polis tidak menemukan sebarang unsur atau tanda perlakuan jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 33(A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, memetik portal berita tempatan, bapa kanak-kanak berkenaan menyifatkan mangsa yang mesra disapa sebagai Bos Kecil sebagai seorang yang ceria.
"Dia suka melukis, seorang yang cerita tetapi sensitif. Walaupun dia paling kecil, dia dominan daripada tiga beradik," kongsinya.
Lelaki itu juga mengakui mereka sekeluarga terkejut dengan apa yang berlaku namun reda. Difahamkan isterinya tinggal berjauhan sejak hampir dua tahun lalu akibat bekerja di ibu negara.
Sumber: Bernama, Malaysia Gazette
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
