'Anak nak sekolah, susu kena beli. Saya tak boleh berhenti...' -Azar Azmi dedah sebab kembali bekerja selepas kontroversi
BUKAN senang nak tadah muka dan cari rezeki semula bila nama pernah terpalit dengan kontroversi hangat yang menjadi bualan satu Malaysia.
Bagi pelakon Azar Azmi, episod hitam membabitkan bekas kekasihnya yang sehingga melibatkan siasatan polis itu benar-benar menguji mental dan fizikal.
Malah dia sendiri mengakui pernah terduduk memikirkan ujian berat yang menimpa dirinya.
Bagaimanapun, wanita cekal ini sedar yang dia tidak boleh terus tenggelam melayan ketakutan sebaliknya perlu bangkit demi kelangsungan hidup anak-anak tercinta.
Mengakui perasaan bimbang untuk kembali bekerja selepas melalui fasa turun naik itu sememangnya wujud, bekas peserta Dewi Remaja 2009/2010 tesebut bagaimanapun tidak menafikan lumrah manusia yang mempunyai pelbagai ragam dan hati yang sukar diduga.
"Bila dah jadi benda-benda macam ni, risau tu mesti adalah sebab kita tak tahu hati manusia. Rambut sama hitam, tapi hati manusia kita tak tahu macam mana," luahnya jujur.
Jelas pelakon itu lagi, jika terlalu melayan rasa takut, dirinya akan terus terperangkap dalam kerisauan sehingga gagal meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Kalau Azar tekankan sangat rasa risau tu, kerja lain seolah-olah tak dapat nak bergerak," katanya.

Belas ikhsan
Mengimbau kembali saat sukar yang dilaluinya, wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun sedar dia tidak mempunyai banyak pilihan selain mengetepikan emosi demi tanggungjawab yang lebih besar sebagai seorang ibu.
"Cerita tentang ni berat sebenarnya. Kalau nak difikirkan, memang terduduk.
"Tapi risau tu kita kena letak tepi," jelasnya yang sebelum ini lebih banyak mendiamkan diri daripada mengulas panjang mengenai isu berkenaan.
Apa yang paling menyentuh hati ialah apabila pemilik nama sebenar, Siti Azar Ameerah Azmi berkongsi yang setiap langkah yang diambil hari ini bukan lagi semata-mata untuk diri sendiri, sebaliknya demi masa depan zuriatnya yang sedang membesar.
"Apa yang perlu diperjuangkan adalah anak-anak. Kalau risau tu kita duduk di tempat yang sama, sampai bila hidup nak maju ke depan?" soalnya penuh azam.
Katanya lagi, kehidupan tidak akan bergerak jika seseorang hanya memilih untuk terus dibelenggu rasa takut dan mengharapkan belas ikhsan orang lain.
"Esok anak nak sekolah, susu kena beli, belanja anak lagi. Kau nak mengharapkan orang ke? Adik-beradik pun ada tanggungjawab masing-masing.
"Ini kehidupan sendiri jadi kita kena uruskan sendiri," luah Azar lagi yang menggambarkan realiti sebenar yang dihadapi ramai ibu bapa di luar sana.
Kini, Azar memilih untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya dan anak-anak dengan harapan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang.
Baginya, masa lalu memang tidak mampu diubah, namun masa depan masih boleh dibina selagi ada kekuatan untuk terus bangkit dan melangkah.

Azar berkongsi perkara tersebut ketika ditemui dalam majlis pelancaran Astro X3.
Sekadar makluman, Astro X3 merupakan sebuah penawaran baharu berteraskan penstriman yang membolehkan pelanggan mendaftar dan menonton kandungan kegemaran secara serta-merta tanpa memerlukan dekoder, pemasangan, mahupun kontrak jangka panjang mulai Disember 2026.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, pengenalan ini sejajar dengan perubahan tabiat tontonan semasa bagi memberikan lebih fleksibiliti dan kebebasan kepada pengguna untuk menikmati hiburan merentas peranti pintar.
Pelancaran ini turut diserikan dengan barisan pengisian kandungan baharu yang merangkumi filem eksklusif seperti Terbang dan Kudrat 1968, drama bersiri menarik termasuk Bulan Henti Bicara, serta program siaran langsung utama seperti Big Stage Rocketfuel dan Astro Star Quest 2026.

Selain hiburan tempatan, Astro X3 turut membawakan aksi sukan langsung bertaraf dunia seperti Liga Perdana, UEFA, dan Formula 1. Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Astro untuk menyediakan akses hiburan yang lebih mudah, relevan, dan berkualiti tinggi buat seluruh rakyat Malaysia.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
