Jangan terus terjun! LiSA bantu orang awam selamatkan mangsa lemas tanpa mempertaruhkan nyawa sendiri
PERCUTIAN di sungai, pantai atau air terjun selalunya menjadi pilihan untuk menghabiskan masa bersama keluarga.
Namun, di sebalik keseronokan itu, aspek keselamatan sering dipandang ringan sehingga ada yang bertukar menjadi tragedi dalam sekelip mata.
Hakikatnya, kebanyakan insiden lemas berlaku ketika mangsa cuba diselamatkan oleh individu yang tidak mempunyai kemahiran atau peralatan sesuai.
Keinginan membantu memang murni, namun tindakan yang salah boleh menyebabkan lebih banyak nyawa terkorban.
Atas kesedaran itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang memperkenalkan Life-Saving Appliance (LiSA) sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia (World Drowning Prevention Day), sebagai usaha mendidik masyarakat bahawa menjadi penyelamat tidak semestinya perlu mempertaruhkan nyawa sendiri.

Diletakkan di lokasi rekreasi air terpilih, LiSA dilengkapi dengan pelampung, jaket keselamatan, tali serta peti pertolongan cemas yang membolehkan orang awam memberikan bantuan awal kepada mangsa dari tebing sungai. Pendekatan itu berlandaskan prinsip keselamatan antarabangsa Reach or Throw, Don't Go atau 'Capai atau Baling, Jangan Terjun'.
Menurut Pengarah JBPM Negeri Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, LiSA bukan sekadar kemudahan awam, sebaliknya satu usaha membina komuniti yang lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan.
"LiSA diwujudkan bagi memperkasakan masyarakat sebagai barisan hadapan ketika berlaku kecemasan di kawasan air.
"Apa yang paling penting ialah orang awam tidak mengambil risiko dengan terjun ke dalam air kerana tindakan itu boleh mengakibatkan tragedi lemas berganda.
"Gunakan kemudahan LiSA mengikut prinsip 'Reach or Throw, Don't Go' bagi meningkatkan peluang menyelamatkan mangsa tanpa membahayakan diri sendiri," katanya.
Sehingga kini, LiSA telah ditempatkan di Pantai Teluk Cempedak dan Sungai Rengat di Pahang. Kemudahan itu diharap mampu meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa tindakan pantas tidak semestinya bermaksud terjun ke dalam air, sebaliknya menggunakan peralatan yang disediakan dengan cara yang betul.
Bagi memastikan inisiatif itu benar-benar memberi manfaat, JBPM turut mengadakan demonstrasi penggunaan LiSA bersama anggota Bomba Komuniti dan penduduk setempat. Pendedahan secara praktikal itu memberi keyakinan kepada orang ramai tentang langkah awal yang boleh dilakukan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Dalam masa sama, Razam mengingatkan masyarakat agar menghargai kemudahan yang disediakan dan tidak melakukan vandalisme atau mencuri peralatan LiSA.
"Peralatan yang disediakan ini bukan sekadar kemudahan awam, sebaliknya ia boleh menjadi penyelamat nyawa pada saat-saat genting.
"Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga dan memelihara kemudahan LiSA demi keselamatan semua," ujarnya.
Menariknya, program berkenaan bukan hanya tertumpu kepada aspek keselamatan, malah turut membawa mesej kelestarian alam menerusi pelepasan benih ikan Lampam Sungai, Kelah dan Tereboi hasil kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia.
"Keselamatan manusia dan kelestarian alam saling berkait rapat.
"Sungai yang bersih serta ekosistem yang terpelihara bukan sahaja menjamin kelangsungan hidupan akuatik, malah mewujudkan persekitaran rekreasi yang lebih selamat kepada masyarakat.
"Pelepasan benih ikan ini menjadi simbol komitmen JBPM Pahang dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan," katanya.
Selain LiSA, JBPM turut menyediakan REWARD (Recycle Light Water Rescue Equipment) di beberapa lokasi rekreasi air termasuk Air Terjun Sungai Pandan, Air Terjun Berkelah dan Air Terjun Lata Hammer.
Mesejnya jelas, setiap nyawa itu berharga dan kadangkala, tindakan paling berani bukanlah terjun ke dalam air, tetapi mengetahui cara yang betul untuk membantu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

