Syed Saddiq luah kesedihan kehilangan Tun Hasmah, hasrat Allahyarham hadir majlis perkahwinannya tak kesampaian - ‘Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir’
“KALAULAH saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya pasti mahu dua jam itu berlangsung selamanya.”
Begitulah luahan penuh emosi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali yang disifatkannya sebagai satu kehilangan yang masih sukar untuk dihadam.
Bagi Syed Saddiq, pertemuan terakhir bersama isteri kepada negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad itu langsung tidak terasa seperti sebuah perpisahan.
Dalam tempoh kira-kira dua jam bersama, mereka masih sempat bergelak ketawa, bergurau, berbual mengenai kehidupan selain menerima nasihat mengenai perkahwinan dan keluarga.
“Tun ketawa bersama kami. Bergurau dengan kami. Berkongsi cerita, memberi nasihat tentang perkahwinan, keluarga dan kehidupan.
“Beliau seorang yang baik, lucu, penyayang dan penuh dengan kebijaksanaan yang hanya lahir daripada pengalaman hidup, kasih sayang dan pengorbanan,” luahnya menerusi perkongsian di media social miliknya.
Menurut Syed Saddiq, pemergian Tun Hasmah membuatkan hatinya hancur, malah sebahagian daripada dirinya masih sukar mempercayai bahawa figura yang begitu dekat dengan mereka itu sudah tiada.
Namun, di sebalik kesedihan tersebut, Syed Saddiq cuba menerima ketentuan ALLAH dengan penuh reda.

“Dan hari ini, Tun sudah tiada. Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya.
“Saya sayang Tun. Lebih daripada apa yang mampu digambarkan oleh seluruh alam,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Syed Saddiq dan tunangnya, Bella Astillah, sempat berkongsi satu kenangan terakhir yang cukup bermakna bersama Allahyarhamah.
Pertemuan itu menjadi lebih istimewa kerana Tun Hasmah sebelum ini mempunyai hasrat untuk menyaksikan sendiri hari bahagia mereka.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian.
“Terima kasih kerana memberikan Bella Astillah dan saya satu kenangan terakhir yang begitu indah.
“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami,” ujarnya.
Walaupun Tun Hasmah tidak berkesempatan hadir ke majlis perkahwinan mereka nanti, Syed Saddiq berjanji akan membawa segala nasihat yang pernah diberikan ke dalam kehidupan berumah tangga.
Katanya, nasihat tersebut akan menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka membina keluarga kelak.
“Saddiq dan Bella tak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti.
“Tetapi saya berjanji, Tun, nasihat Tun akan kami bawa ke dalam perkahwinan, rumah tangga dan insya-ALLAH sepanjang hidup kami,” katanya.

Mengakhiri luahan itu, Syed Saddiq mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di tempat terbaik di sisi-NYA.
“Sehingga kita bertemu lagi, Tun.
“Al-Fatihah,” tulisnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

