'Wanita pertama dilantik pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak...' Biodata Tun Dr Hasmah, terima taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara
PEMERGIAN Tun Dr Hasmah mengundang rasa dukacita dan menyentuh hati rakyat Malaysia. Figura disayangi ramai itu kini sudah tiada, meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengenali jasa dan sumbangannya kepada negara.
Isteri kepada Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu bakal menerima taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya memaklumkan ia sebagai mengenang jasa Tun Hasmah kepada negara.
"Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Tun Dr Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi tadi. Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah.
"Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah.
"Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini. Semoga ALLAH SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman," titipnya.

Memetik Perdana Leadership Foundation, berikut adalah biodata penuh Allahyarham:
1-Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, dilahirkan pada tahun 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor. Beliau merupakan anak keenam daripada 10 beradik. Bapanya, Mohd Ali, merupakan seorang pegawai kerajaan manakala ibunya, Siti Khatijah Ahmad ialah seorang suri rumah.
2-Pada usia muda, Tun Dr Hasmah mendapat pendidikan di Methodist Girls’ School, Kuala Lumpur. Beliau kemudiannya meneruskan persekolahan di St Mary’s School dan seterusnya di Pudu English School sehingga memperoleh Sijil Persekolahan.
3-Selepas Perang Dunia Kedua, Tun Dr Hasmah melanjutkan pengajian ke King Edward VII College of Medicine di Singapura melalui biasiswa. Beliau merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
4-Di situlah beliau bertemu Tun Dr Mahathir yang turut mendaftar di kolej berkenaan pada tahun yang sama. Hubungan mereka semakin rapat dari hari ke hari. Pada tahun 1955, Tun Dr Hasmah menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dan menjalani latihan siswazah (housemanship) di Hospital Besar Kuala Lumpur.
5-Pada 4 Ogos 1956, Tun Dr Hasmah berkahwin dengan Tun Dr Mahathir di Kuala Lumpur. Selepas perkahwinan, beliau berpindah ke Alor Setar bersama Tun Dr Mahathir dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.
6-Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki, selain 18 cucu dan seorang cicit.
7-Ketika berkhidmat sebagai pegawai perubatan, Tun Dr Hasmah aktif dalam kempen kesihatan anjuran Kementerian Kesihatan. Beliau turut menyertai pelbagai program kesihatan yang disasarkan kepada penduduk di kawasan luar bandar bagi memastikan kesejahteraan kesihatan mereka.

8-Pada tahun 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di jabatan kesihatan ibu dan anak. Seterusnya pada tahun 1974, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.
9-Beliau turut menulis artikel berkaitan perubatan keluarga serta faktor sosioekonomi yang berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran anak di Malaysia.
10-Tun Dr Hasmah pernah memegang pelbagai jawatan, antaranya Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Persatuan Perancang Keluarga Kedah, Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia, Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-Kanak Cacat, Naib Presiden Persekutuan Persatuan Perancang Keluarga Malaysia, Penaung Persatuan Kesihatan Ibu dan Neonat Malaysia serta Penaung Persatuan Pediatrik Malaysia.
11-Tun Dr Siti Hasmah kemudiannya menggantikan Tun Suhailah sebagai Presiden Kelab Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) dan aktif dalam usaha mendidik golongan muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
12-Pada tahun 1985, atas jemputan Wanita Pertama Amerika Syarikat ketika itu, Nancy Reagan, beliau menghadiri Persidangan Wanita Pertama Mengenai Penyalahgunaan Dadah di Washington. Beliau turut mewakili Malaysia pada Persidangan Antarabangsa mengenai Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Haram di Vienna pada tahun 1987.

13-Tun Dr Hasmah menerima pelbagai penghormatan dan anugerah sebagai menghargai sumbangan serta usaha berterusannya dalam bidang kesihatan awam, celik huruf dan kawalan penyalahgunaan dadah.
14-Yang di-Pertuan Agong, Sultan Selangor, Sultan Kedah serta Yang di-Pertua Negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka turut mengurniakan pelbagai darjah kebesaran kepada beliau.
15-Pada 31 Oktober 2003, Tun Dr Hasmah dianugerahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (SSM) yang membawa gelaran Tun. Pada masa yang sama, suaminya yang ketika itu bersara sebagai Perdana Menteri menerima Darjah Utama Seri Maharaja Mangku Negara (SMN).
16-Ia merupakan kali pertama isteri seorang Perdana Menteri Malaysia dianugerahkan gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong.
17-Selain itu, Tun Dr Hasmah turut menerima beberapa ijazah doktor kehormat daripada institusi luar negara, antaranya University of Indiana, Amerika Syarikat; University of Victoria, Kanada; Royal College of Physicians di Dublin, Ireland; dan University of Edinburgh, Scotland.
18-Di Malaysia, beliau menerima ijazah doktor kehormat daripada UKM, UM, USM, IMU, UniMAS, UiTM, UIAM, UUM, UMS dan UPSI antara tahun 1991 hingga 2004 dalam pelbagai bidang perubatan dan pendidikan.
19-Pada tahun 1998, Tun Dr Hasmah menerima Kazue McLaren Award daripada Asia Pacific Consortium for Public Health. Dari tahun 1997 hingga 2012, beliau berkhidmat sebagai Canselor Multimedia University di Cyberjaya.
20-Sebagai individu yang mempunyai minat dalam bidang kesihatan mental, Tun Dr Hasmah pernah dijemput oleh bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Rosalynn Carter, untuk menyertai Jawatankuasa Kebangsaan World Federation of Mental Health.
21-Sebagai seorang pegawai perubatan dan kemudiannya isteri Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr Hasmah menjalani kehidupan yang penuh dengan tanggungjawab dan tuntutan.
23-Selepas suaminya berundur sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Hasmah terus memainkan peranan memberikan sokongan serta menemani suaminya dalam pelbagai urusan dan tugasan beliau.
Sumber: Perdana Leadership Foundation
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
