Lelaki ini sedekah selipar dan sabun atas nama Tun Dr Hasmah, niatnya menyentuh hati – 'Semoga memberi manfaat kepada jemaah di sini'
PEMERGIAN Tun Dr Hasmah Mohd Ali meninggalkan kesan bukan sahaja kepada keluarga dan kenalan rapat, malah turut menyentuh hati mereka yang tidak pernah mengenali Allahyarhamah secara dekat.
Begitulah yang dikongsikan seorang lelaki bernama Adrian Edy menerusi hantaran di Facebook. Walaupun berlainan agama, Adrian memilih untuk melakukan sesuatu yang sederhana sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham, iaitu bersedekah dengan niat menghadiahkan pahalanya buat Tun Dr Hasmah.
Menurut Adrian, niat itu hadir secara tiba-tiba selepas dia bangun pagi apabila terdetik di hatinya untuk melakukan sesuatu bagi Allahyarham yang disifatkannya memberi kesan kepada ramai.
“Tadi pagi bangun tiba-tiba terdetik dalam hati untuk buat sesuatu untuk mempermudahkan perjalanan Allahyarham Tun Dr Hasmah ke negeri abadi, pemergiannya sangat memberi kesan kepada kita semua," tulisnya di kapsyen.

Daripada niat tersebut, Adrian kemudian menghubungi seorang rakannya untuk membantu membeli beberapa barangan keperluan seperti selipar, sabun dan peralatan mencuci surau.
Pilihan itu juga bukan sekadar untuk diberikan sebagai sedekah, sebaliknya barangan berkenaan diharapkan dapat digunakan secara berterusan oleh jemaah.
“Terus mesej kawan, minta tolong belikan barangan seperti selipar, sabun dan peralatan untuk mencuci surau, sebab benda-benda ini akan digunakan selalu. Syukur semuanya dipermudahkan, semoga sedekah kecil ini akan dapat memberi manfaat kepada jemaah-jemaah di sini," kongsinya lagi.
Lebih menyentuh hati, lelaki tersebut turut berkongsi bahawa dia pernah terbaca mengenai amalan sedekah yang manfaatnya boleh terus mengalir selagi sesuatu barangan itu digunakan.

Justeru, dia memilih untuk meniatkan sedekah tersebut buat Tun Dr Hasmah.
“Edy niat sedekah ini untuk Allahyarham Tun Dr Hasmah," ujarnya ringkas.
Walaupun apa yang dilakukan Adrian kelihatan kecil pada zahirnya, niat di sebaliknya membawa makna yang cukup besar.
Dia tidak memilih untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Sebaliknya, hanya menyediakan keperluan asas yang boleh dimanfaatkan orang lain di surau.
Perkongsian itu turut mengundang rasa tersentuh kerana ia memperlihatkan bagaimana pemergian seorang tokoh mampu menyentuh hati masyarakat tanpa mengira latar belakang dan pegangan masing-masing.
Pada akhirnya, kebaikan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang besar. Kadangkala, sepasang selipar, sebotol sabun atau sedikit keperluan untuk surau juga boleh menjadi tanda ingatan yang cukup bermakna.
Semoga niat baik tersebut memberi manfaat kepada mereka yang menggunakannya dan menjadi amal yang terus mengalir buat Allahyarham Tun Dr Hasmah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
