REKA RONA buka ruang buat bakat muda tonjol kreativiti, Bkay Nair mahu artis bantu industri fesyen


SEHELAI busana mungkin hanya mengambil beberapa saat untuk mencuri perhatian, tetapi di sebalik hasil yang dipertontonkan, ada ramai individu yang bekerja untuk menjadikannya sempurna.
Daripada pereka, penjahit dan artisan kepada penata gaya, jurusolek, jurugambar, pencipta kandungan dan pasukan produksi, semuanya mempunyai peranan dalam membentuk dunia fesyen.
Melihat kepada keluasan ekosistem itu, model dan pelakon filem Ratu, Bkay Nair, percaya bidang berkenaan mempunyai ruang besar untuk diterokai generasi muda, bukan sahaja sebagai kerjaya tetapi juga peluang ekonomi.
“Kita mahu peluang itu bergerak merentasi keseluruhan ekosistem. Fesyen juga perlu dilihat sebagai perniagaan yang mampu menjana pendapatan.
“Kreativiti memang penting, tetapi kita juga perlu melihat bagaimana kreativiti itu boleh menghasilkan nilai ekonomi, pendapatan dan banyak peluang bisnes,” katanya.
Bagi Bkay, minat terhadap fesyen tidak semestinya membawa seseorang ke satu laluan sahaja.
Kemahiran dalam rekaan, tekstil, jahitan, penggayaan, fotografi, videografi, pemasaran dan perniagaan dalam talian masing-masing mempunyai ruang tersendiri dalam industri.
Justeru, beliau mahu golongan muda mengubah cara melihat peluang yang ada.

“Saya mahu generasi muda bukan sahaja bertanya, ‘Apakah pekerjaan yang boleh saya dapat dalam industri fesyen?’ tetapi juga ‘Apakah peluang yang boleh saya cipta dalam industri fesyen?’” katanya.
Semangat itu dapat dilihat menerusi REKA RONA 2026 yang menghimpunkan 11 peserta membabitkan lapan institusi pengajian tinggi dan tiga pereka baharu.
Bukan sekadar memperagakan hasil kreativiti, peserta turut bersaing dalam beberapa kategori bagi mengetengahkan bakat serta pendekatan masing-masing terhadap dunia fesyen.
Antara yang mencuri perhatian ialah GIATMARA yang merangkul dua pengiktirafan, iaitu Anugerah Bakat Muda dan Anugerah Rekaan Keseluruhan Terbaik.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kreativiti dan Inovasi, manakala Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Banting memenangi Anugerah Warisan Terbaik.
Sementara itu, Kolej Vokasional ERT Setapak mengungguli Anugerah Rekaan Kontemporari Terbaik.
Lebih menarik, karya para pemenang turut mendapat ruang untuk dipamerkan di Muzium Tekstil Negara sehingga akhir tahun, sekali gus memberi peluang kepada mereka memperkenalkan hasil kepada khalayak yang lebih luas.

Membina nama sendiri
Dalam masa sama, Bkay percaya selebriti dan model juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu membuka ruang kepada pemain industri lain.
Katanya, platform yang dimiliki boleh digunakan untuk memperkenalkan bakat tempatan, bukannya sekadar membina nama sendiri.
“Saya percaya sebagai seorang artis dan model, kita juga ada tanggungjawab.
“Kita berada dalam satu ekosistem yang saling berkait dan kalau kita mempunyai platform, kita perlu gunakan platform itu untuk membuka peluang kepada orang lain.
“Bukan hanya untuk diri kita, tetapi bagaimana kita boleh membantu pereka, grafik, model, penata gaya, jurugambar dan pemain industri lain mendapat peluang,” katanya.

Selain peluang ekonomi, Bkay turut mahu generasi muda lebih mengenali warisan tekstil Malaysia.
Katanya, kekayaan tekstil tempatan bukan hanya batik dan songket, malah merangkumi Limar, Pua Kumbu, Tenun Pahang, Keringkam, Linangkit dan Telepuk.
“Saya sentiasa memperjuangkan fesyen Malaysia dan warisan tempatan kerana saya adalah rakyat Malaysia. Apa sahaja berkaitan Malaysia akan sentiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.
Baginya, warisan tidak seharusnya sekadar disimpan sebagai peninggalan masa lalu.
Sebaliknya, generasi muda perlu memahami nilai dan kemahirannya sebelum meneroka pendekatan baharu yang sesuai dengan perkembangan zaman.

“Pemeliharaan warisan semata-mata tidak mencukupi. Kita juga perlu melihat bagaimana warisan, kemahiran pertukangan dan kreativiti ini dapat mewujudkan permintaan, menjana pendapatan serta membuka peluang ekonomi,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
