Batik Terengganu bukan sekadar kain, kolaborasi Noraniza Idris dan Emyaly tampilkan empat rekaan eksklusif

No Image Caption
A
A
A

BATIK bukan sekadar kain bercorak yang diwarisi turun-temurun, sebaliknya lambang identiti dan kehalusan seni masyarakat Melayu. Keunikan tekstil tradisional itu membuktikan warisan lama masih mampu tampil memikat apabila diberi sentuhan baharu tanpa menghilangkan nilai asalnya.

Menariknya, usaha mengangkat seni batik ke persada fesyen kontemporari turut mendapat perhatian Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris yang bergandingan dengan jenama fesyen tempatan, Emyaly.

Menerusi kolaborasi tersebut, keistimewaan batik Terengganu diketengahkan melalui empat rekaan eksklusif yang menggabungkan elemen tradisional dengan potongan lebih moden, sekali gus menawarkan pilihan gaya buat wanita dan lelaki.

Mengangkat tema Warisan, Seni dan Kemewahan, setiap rekaan membawa karakter tersendiri dengan inspirasi daripada busana tradisional Melayu yang disesuaikan mengikut cita rasa fesyen masa kini.

No Image Caption

Antara yang diperkenalkan ialah Salam Kaut, persalinan klasik berasaskan batik asli dengan perincian poket di bahagian hadapan. Rekaan itu mengekalkan elemen tradisional menerusi penampilan yang lebih kemas dan elegan.

Bagi penggemar gaya santai, Sinara hadir dengan potongan longgar dan baggy yang memberikan keselesaan ketika digayakan. Sementara itu, Dikir Puteri menawarkan padanan baju bersama seluar palazzo untuk penampilan lebih anggun.

No Image Caption

Melengkapkan rangkaian tersebut ialah Hati Kama, kardigan batik yang mudah dipadankan dengan pelbagai jenis pakaian mengikut kesesuaian acara dan gaya peribadi.

Artikel Berkaitan:

Keistimewaan koleksi ini turut terletak pada penggunaan batik asli buatan tangan, khususnya dari Terengganu yang cukup dikenali dengan kepelbagaian motif serta ketelitian seni pembuatannya.

Bagi pengasas jenama berkenaan, Emy Mohd Ali, nilai batik tidak seharusnya diukur berdasarkan corak atau keindahan kain semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kemahiran tangan dan proses kreatif yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

“Batik bukan sekadar corak. Batik ialah craftsmanship. Batik ialah warisan. Batik ialah jiwa,” ujar Emy.

No Image Caption

Anak kelahiran Terengganu itu turut melihat fesyen sebagai medium untuk memastikan seni tekstil tempatan terus mendapat tempat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Justeru, pendekatan yang dibawa bukan sekadar menghasilkan busana mengikut perubahan trend, tetapi memberi ruang kepada warisan tempatan untuk terus berkembang dalam bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.

“Emyaly tidak mengejar trend. Kami mengangkat warisan.

“Kami tidak sekadar mereka busana untuk musim ini, tetapi mencipta karya yang diharapkan terus dihargai jauh melampaui sebuah musim dan generasi,” ungkapnya lagi.

Menerusi falsafah Where Heritage Becomes Couture, jenama berkenaan berhasrat menghubungkan seni tradisional dengan dunia fesyen moden tanpa mengabaikan keaslian dan identiti batik tempatan.

Terdahulu, majlis pelancaran koleksi kolaborasi Emyaly x Noraniza Idris disempurnakan oleh Che Puan Hezeita Mohd Hafidz.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang