Pernah jatuh sakit, Zara Zya tak lagi kejar kemewahan, kini pilih hidup sederhana – ‘Beli baju RM10 pun tak kisah’
DULU, beg tangan berjenama, alat solek mahal dan pakaian mewah antara perkara yang mudah mencuri perhatian Zara Zya setiap kali mempunyai wang lebih.
Namun, semakin banyak pengalaman dilalui, semakin dia sedar bahawa kepuasan membeli-belah tidak semestinya menjamin ketenangan hidup.
Kini, pelakon itu lebih selesa berbelanja secara sederhana, malah mula memberi perhatian kepada simpanan dan pelaburan emas.
Jika dahulu Louis Vuitton, Gucci dan Chanel antara jenama yang menjadi idaman, kini perkara itu bukan lagi keutamaan. Zara semakin selesa berbelanja mengikut keperluan, malah tidak kisah membeli pakaian berharga RM10 menerusi platform TikTok.

“Beli baju RM10 pun tak kisah,” katanya kepada SinarPlus, menggambarkan perubahan ketara dalam gaya hidupnya.
Bagi pemilik nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin, penampilan menarik tidak semestinya bergantung pada harga atau jenama sesuatu pakaian. Sebaliknya, cara seseorang menggayakan busana dan membawa diri lebih memainkan peranan.
Simpanan sendiri
Perubahan itu bukan berlaku tanpa sebab. Pengalaman berdepan masalah kesihatan sebelum ini membuatkan Zara lebih memahami kepentingan mempunyai simpanan sendiri, terutama apabila berhadapan situasi tidak dijangka.
"Seseorang perlu mempunyai persediaan kewangan bagi memastikan keperluan diri dapat diuruskan tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.
“Kita kena ingat tak ada siapa akan tolong kita melainkan diri sendiri. Sebab itu, kita kena selamatkan diri sendiri, bukan mengharapkan orang lain,” ungkap pelakon drama Tuan Anas Mikael.

Pengalaman tersebut turut mengubah cara Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian Pia menerusi Anugerah Skrin 2019 menguruskan wang. Daripada membelanjakan pendapatan untuk memenuhi keinginan memiliki barangan mewah, kini dia lebih cenderung menyimpan dan memikirkan manfaat jangka panjang.
Malah, pelakon itu mula belajar mengenai pembelian serta simpanan emas. Dia juga melihat instrumen seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai antara pilihan untuk mengembangkan wang yang disimpan.
Bagi Zara, emas mempunyai nilai tersendiri kerana boleh menjadi salah satu bentuk aset yang berpotensi dimanfaatkan apabila diperlukan. Namun, proses membina simpanan perlu dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan.
Perubahan gaya hidup itu turut terlihat menerusi pilihannya memiliki kenderaan. Jika dahulu kereta sport mungkin menjadi antara lambang kemewahan yang diinginkan, kini Zara lebih selesa menggunakan kereta biasa yang praktikal dan sudah habis dibayar.

Perkongsian tersebut dibuat ketika Zara menghadiri majlis pelancaran dan pembukaan cawangan pertama Cindai Gold Palace di Horizon Square, Sepang baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Cindai Gold Palace, Datuk Seri Zainal Omar, turut berkongsi usaha memperluas akses masyarakat kepada simpanan emas, termasuk menerusi pembelian digital dan nilai permulaan serendah RM50.

Cindai Gold Palace juga menyasarkan pembukaan sehingga 10 cawangan menjelang 2027 menerusi konsep francais.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
