'3 putera raja, saya seorang queen' - Uyaina Arshad akui tak mampu urus sendiri tanpa keluarga, circle motivasi untuk bersenam
ANAK adalah kurniaan paling bermakna dalam kehidupan, apatah lagi apabila dikurniakan tiga cahaya mata yang menjadi penyeri rumah tangga.
Bergelar ibu kepada tiga cahaya mata yang masih kecil, pelakon dan pengacara bersyukur kehadiran , Raja Urhan, 4, Raja Urayyan, 2, dan Raja Uzayn, tujuh bulan melengkapkan kebahagiaan rumah tangganya bersama suami, Raja Syahiran.
Berseloroh mengenai kehidupan yang dikelilingi tiga putera, pemilik nama penuh Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, itu menyifatkan dirinya sebagai kini permaisuri dalam keluarga.
'Tiga putera raja, saya seorang queen," tuturnya kepada SinarPlus.
Di sebalik kegembiraan membesarkan tiga cahaya mata, wanita berkenaan tidak menafikan sokongan orang sekeliling menjadi antara kunci utama membolehkannya terus aktif dalam dunia seni.

Menurut Uyaina, dia bertuah kerana mempunyai sistem sokongan yang cukup kuat, khususnya daripada suami, aktor Raja Syahiran Raja Azhanrianshah, keluarga mentua, keluarga sendiri serta pembantu yang banyak membantu menguruskan anak-anak.
"Saya rasa mampu untuk bekerja dan masih meneruskan kerjaya, pada masa sama bergelar ibu kepada tiga cahaya mata disebabkan sistem sokongan yang sangat kuat.
"Pertama sekali, pasti daripada suami, keluarga mentua, keluarga saya dan juga pembantu yang ada. Saya rasa kalau tanpa mereka, tak mungkin saya mampu buat semua ini," katanya.
Bagi Uyaina, realiti seorang ibu bekerja bukan sekadar membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga, sebaliknya turut memastikan anak-anak mendapat penjagaan serta perhatian ketika dia keluar mencari rezeki.

Ujarnya, secara logiknya, seseorang ibu memerlukan bantuan orang lain untuk memastikan anak-anak terus mendapat perhatian dan kasih sayang meskipun dirinya mempunyai komitmen kerjaya.
"Bagaimana kita hendak keluar bekerja kalau tiada orang yang membantu menjaga, mengasuh serta memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak?
"Jadi, disebabkan sistem sokongan itulah saya mampu berlakon, mengacara dan menerbitkan filem," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Uyaina tidak lupa menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT kerana dikurniakan insan-insan yang sentiasa berada di belakangnya.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata itu, sokongan berkenaan bukan sahaja membolehkannya terus berkarya, malah memberi ruang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dengan lebih baik.
"Alhamdulillah, terima kasih ALLAH kerana memberikan saya sistem sokongan yang baik," katanya.
Baharu tujuh bulan melahirkan cahaya mata ketiga, pengacara itu masih aktif melakukan pelbagai jenis senaman mengikut kesesuaian dan minatnya.
Berkongsi rutin kecergasan, Uyaina berkata pendekatannya berubah selepas setiap kali melahirkan anak.
"Selepas bersalin anak pertama saya muay Thai dan kickboxing. Masuk anak kedua saya berjalan. Memang setiap hari saya berjalan, satu jam atas walking pad.
"Masuk anak ketiga ni saya jadi adventurous sikit yang mana saya explore macam-macam benda. Saya buat pilates, saya buat aerial pilates, saya buat apa hari tu? Baru-baru ini saya cuba bungee workout.
"Masih lagi jogging, berjalan dan zumba. Saya berpegang kepada, as long as you move," tuturnya.
Tambah Uyaina, persekitaran dan lingkungan persahabatan yang aktif turut menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus menjaga kecergasan.
Malah, dia mengakui aktiviti bersama rakan-rakan yang turut mengamalkan gaya hidup sihat sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepadanya.
"That's why bila kawan saya Nurin Afiqah ada jenamanya sendiri dan komuniti, kami berkawan empat orang dengan Datin Bella Dally, To' Puan Syamim Freida, mereka memang sangat-sangat aktif.
"Itu jugalah yang push saya kerana circle saya tu memang aktif people dan dia orang pula slim, fit, cantik, so secara tak langsung kita pun rasa terinspirasi," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
