'Mana yang tak baik, saya minta maaf' – Bella Astillah terima seadanya, sedar pemakaian dan percakapan sebagai selebriti jadi perhatian

No Image Caption
A
A
A

MENJADI figura awam bermakna setiap gerak-geri mudah menjadi perhatian, daripada penampilan, cara berpakaian hinggalah tutur kata yang kadangkala mengundang pelbagai reaksi.

Bagi pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi, namun dia sedar perhatian sedemikian hadir seiring dengan pilihan untuk berada dalam dunia seni.

Justeru, wanita berusia 32 tahun itu memilih untuk menerima pandangan masyarakat secara terbuka, termasuk kritikan terhadap dirinya, tanpa menganggap setiap reaksi perlu dibalas atau diperbesarkan.

“Jujur, ini tak mudah, tapi bila saya yang pilih jalan ini, sebagai selebriti yang diperhatikan dari segi pemakaian, apa yang kita cakap, apa yang kita nyanyi, saya terima seadanya.

“Mana yang baik, saya harap semua orang suka. Mana yang tak baik, saya minta maaf,” katanya lagi.

No Image Caption

Di sebalik perhatian yang diterima, Bella turut berdepan tanggungjawab mengimbangi kerjaya seni, kehidupan berumah tangga dan peranan sebagai ibu kepada dua anak, Aiden dan Ara.

Mengakui bukan mudah menguruskan semuanya dalam satu masa, dia bagaimanapun melihat kesibukan yang hadir sebagai rezeki, terutama apabila usaha yang dilakukan turut menjadi sebahagian daripada persediaan untuk masa depan anak-anak.

“Sejujurnya, susah, tapi saya percaya it's a good problem to have. Rezeki, jadi bila ALLAH masih memberi (rezeki), saya akan terima seadanya. Ini pun untuk masa depan anak-anak,” kongsinya.

Dalam soal kerjaya, Bella tidak menolak kemungkinan kembali aktif berlakon selepas sekian lama berehat daripada dunia lakonan, namun belum mahu membuat keputusan secara terburu-buru.

Dia bersyukur apabila suaminya, Syed Saddiq, sentiasa memberikan sokongan dan kebebasan untuk meneruskan kerjaya seni mengikut keselesaan serta apa yang dirasakan terbaik.

“Alhamdulillah, setakat ini dia (Syed Saddiq) support dan sentiasa bagi kata-kata semangat. Maksudnya, tak apa, you teruskan mana yang you rasa terbaik.

“Dah lama sangat (tidak berlakon), tapi we will see, insya-ALLAH next year. Saya rasa tak nak rush sekarang. Baru sahaja masuk dalam alam perkahwinan, jadi take it slow,” jelasnya.

No Image Caption

Bagaimanapun, buat masa ini, Bella lebih selesa menikmati fasa kehidupan yang sedang dilaluinya dan memberi ruang untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan, termasuk tanggungjawab baharu dalam rumah tangga.

Mahu nikmati masa bersama anak-anak

Di sebalik kesibukan dan peluang dalam kerjaya, Bella tidak mahu terlepas momen menyaksikan Aiden dan Ara membesar, apatah lagi setiap fasa kehidupan anak-anak hadir dengan kenangan yang berbeza.

Menyedari mereka semakin membesar, Bella mahu memanfaatkan masa yang ada untuk menemani anak-anak, selain memastikan kehadirannya menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka.

“Saya rasa Aiden dan Ara ini akan membesar, jadi selagi mana boleh sama-sama dengan mereka, saya nak luangkan masa bersama berdua,” katanya.

Bagi Bella, kebahagiaan anak-anak bukan hanya bergantung kepada apa yang mampu disediakan, tetapi turut melibatkan perhatian, kasih sayang dan rasa selamat ketika berada bersama ibu mereka.

Malah, keakraban dengan ibu bapanya sendiri menjadi inspirasi untuk dia membina hubungan yang sama dengan Aiden dan Ara, meskipun menyedari dirinya juga tidak terlepas daripada kekurangan sebagai manusia.

No Image Caption

“Bella sangat rapat dengan ahli keluarga, mama, ayah, dan kalau boleh, saya ingin menjadi parents just like my parents. Untuk Aiden dan Ara, saya nak menjadi seorang ibu yang baik, penuh kasih sayang, yang memberikan yang terbaik.

“Walaupun kadang-kadang kita manusia tak sempurna, tapi untuk menjadi seorang ibu yang hebat, bila mana anak-anak kita merasa selamat, tenang dan bahagia dengan kita, insya-ALLAH,” ungkapnya penuh makna.

Sumber: Video  Pa&Ma & Media Hiburan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang