Belum bertemu jodoh bukan kerugian, Shiha Zikir anggap rezeki dapat jaga ibu – ‘Nak mak sihat, itu doa hari jadi tahun ini’

A
A
A

SAMBUTAN hari lahir lazimnya menjadi ruang untuk meraikan pertambahan usia, menerima ucapan dan menitipkan pelbagai impian. Namun, buat penyanyi Shiha Zikir, ada satu permintaan yang jauh lebih bermakna daripada segala hadiah atau kejutan.

Bukan kerjaya yang semakin berkembang, kemewahan mahupun soal jodoh menjadi keutamaan, sebaliknya kesihatan ibu tersayang yang kini menjadi doa paling besar dalam hatinya.

No Image Caption

Berkongsi mengenai harapan sempena ulang tahun kelahirannya tahun ini, Shiha atau nama sebenarnya, Nursyahirah Zulkifli, mengakui dirinya sedikit sentimental apabila ditanya mengenai perkara yang diinginkan.

“Terima kasih atas semua doa. Kalau ditanya apa yang Shiha nak tahun ini, Shiha cuma nak mak sihat macam biasa. Itulah wish Shiha tahun ini.

“Shiha juga berdoa supaya ALLAH menjadikan Shiha seorang anak dan manusia yang mampu menggembirakan orang lain. Shiha nak terus menjaga mak sampai bila-bila. Jadi, Shiha harap semua dapat selitkan doa supaya mak kembali sihat seperti dahulu,” katanya.

Di sebalik senyuman yang sering menghiasi wajahnya, penyanyi itu sebenarnya sedang melalui fasa kehidupan yang cukup mencabar apabila ibunya disahkan menghidap penyakit kronik.

Mengimbas detik pertama menerima khabar daripada doktor, Shiha tidak menafikan dirinya dan adik-beradik lain berasa sangat terkesan.

“Memang kami tak sangka perkara sebegini boleh berlaku kepada mak sendiri. Apabila doktor beritahu keputusan pemeriksaan, kami adik-beradik memang down.

“Namun, Shiha percaya anak-anak dan mak sebenarnya menjadi kekuatan antara satu sama lain. Mak kuat kerana anak-anak, manakala Shiha pula cuba kuat kerana mak,” ujarnya.

Sikap positif ibu

Menurut penyanyi itu, sikap positif ibunya banyak membantu mereka sekeluarga mengharungi ujian berkenaan.

Malah, wanita yang melahirkannya itu tidak pernah mahu anak-anak terlalu memikirkan keadaan dirinya sehingga mengabaikan kehidupan dan tanggungjawab masing-masing.

“Kalau tengok mak dari luar, orang mungkin tertanya-tanya bagaimana dia boleh begitu positif. Shiha rasa mak tak nak tengok anak-anak risau.

“Mak selalu cakap dia okey dan minta Shiha teruskan kerja seperti biasa. Pesannya, teruskan buat baik kepada orang walaupun kita sendiri mungkin sedang berdepan kesukaran,” jelasnya.

Kata-kata itu menjadi pegangan Shiha untuk terus memperbaiki diri, selain berusaha menjadi insan yang boleh membawa kebahagiaan dan membantu orang sekeliling mengikut kemampuannya.

Soal jodoh

Beralih kepada soal jodoh, pelantun lagu Minta Ampun dan  Mula itu mengakui ibunya juga mempunyai harapan agar dia segera mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, Shiha bersyukur kerana syurga kecilnya itu tidak pernah meletakkan tekanan atau memaksanya membuat keputusan terburu-buru.

“Mak memang ada pesan kalau boleh, cepatlah. Tetapi, dia tak pernah paksa. Sebagai anak, kita rasa difahami dan lebih selesa apabila mak sendiri memberi ruang.

“Shiha sangat percaya setiap perkara ada masa yang tepat. Kalau kita tergesa-gesa sekalipun, tetapi belum sampai waktunya, tidak ada gunanya juga,” katanya.

Mengakui kadangkala berasa sedikit gementar apabila diajukan pertanyaan mengenai perkahwinan, Shiha bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu memikirkan desakan usia.

Sebaliknya, wanita itu melihat perjalanan hidupnya yang masih belum bertemu jodoh sebagai satu rezeki tersendiri, khususnya kerana berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersama ibu.

No Image Caption

“Orang mungkin kata kesian sebab Shiha belum kahwin, tetapi Shiha melihatnya daripada sudut berbeza. Ini juga rezeki Shiha kerana dapat menghabiskan masa dengan mak dan menjaganya sebaik mungkin.

“Bukan bermaksud kalau sudah berkahwin kita tak boleh menjaga ibu, tetapi tanggungjawab selepas berumah tangga tentu berbeza. Jadi, Shiha bersyukur dengan ruang dan peluang yang ALLAH berikan sekarang,” tuturnya.

Shiha berkongsi perkara tersebut kepada SinarPlus ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Single & Muzik Video untuk lagu Teruskanlah nyanyian Hazreen Amreena.

Sekadar makluman, Hazreen merupakan artis di bawah naungan Shiha Zikir Empire (SZE). lebih istimewa lagi, lagu tersehut merupakan sentuhan Shiha sendiri.

Fasa kehidupan

Bagi Shiha, perkahwinan sememangnya satu fasa kehidupan yang diharapkan, namun bukan penentu kepada segala kebahagiaan.

Dia juga percaya masih banyak perkara yang perlu dipelajari, termasuk membina kesabaran dan mempersiapkan diri sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

“Shiha percaya ALLAH sudah susun perjalanan hidup kita dengan sebaik-baiknya. Mungkin ilmu dan kesabaran Shiha masih perlu ditambah. Mudah-mudahan apabila sampai waktunya nanti, Shiha sudah benar-benar bersedia,” katanya.

Buat masa ini, doa Shiha cukup sederhana tetapi besar maknanya. Selagi masih diberi kesempatan, dia mahu terus berada di sisi ibu, membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan dan menjadi anak yang mampu membahagiakan insan tersayang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang