'Saya yakin dengan dia' – Yuna dedah sisi Adam Sinclair ketika bekerja bersama, suami puji isteri tak kenal penat
BEKERJA bersama pasangan mungkin bukan sesuatu yang mudah bagi sesetengah individu, apatah lagi apabila perlu memisahkan urusan profesional dengan kehidupan peribadi.
Namun, berbeza bagi penyanyi dan komposer terkemuka, Yuna apabila pengalaman bekerjasama dengan suaminya, Adam Sinclair dalam menghasilkan muzik video album terbaharunya memberikan kepuasan tersendiri.
Bagi pemilik nama sebenar Yunalis Zarai itu, keserasian mereka ketika bekerja banyak dipengaruhi sikap saling memahami karakter, cita rasa serta kelebihan masing-masing.
Menurut Yuna, perkara itu secara tidak langsung memudahkan mereka memberikan sumbangan terbaik dalam setiap projek yang diusahakan bersama.

"Saya rasa sangat selesa bekerja sama dengan dia dalam apa-apa projek.
"Sebab apabila bekerja dengan suami, dia sudah faham apa yang kita nak. Dia juga sudah faham perangai kita. Begitu juga saya yang sudah tahu apa dia suka dan apa yang dia boleh buat.
"Masing-masing memahami kemahiran yang kita ada dan apa yang boleh disumbangkan untuk menjayakan projek ini. Saya rasa itu sesuatu yang sangat positif apabila bekerja dengan pasangan," katanya.
Bukan sekadar berkongsi idea dan tanggungjawab, pelantun lagu Senjata dan Intuisi itu turut menyifatkan suasana kerja bersama Adam lebih menyeronokkan apabila mereka bebas bergurau dan ketawa sepanjang menjayakan sesuatu projek.
Menurut Yuna, dia dan suami jarang mempunyai perbezaan pendapat yang ketara kerana masing-masing sudah memahami cara kerja pasangan.
"Kalau ada perbezaan idea pun mungkin sedikit sahaja, sekadar untuk menjadikan sesuatu idea itu lebih baik.
"Saya sangat menyayangi suami dan suka bekerja dengannya," ujarnya.
Mengulas lanjut, Yuna berkata pertemuannya dengan Adam buat kali pertama pun di lokasi penggambaran. Justeru dia lebih mengenali kemampuan serta kepakaran suaminya dalam bidang penerbitan dan pengarahan filem.

Kepercayaan terhadap kebolehan Adam menjadi antara sebab dia begitu selesa menyerahkan tanggungjawab kreatif kepada suaminya.
"Saya jumpa dia pun di set penggambaran. Jadi, saya tahu kelebihannya. Kebolehan dia dalam bidang perfileman memang sangat bagus dan saya yakin dengan dia.
"Jadi, memang seronok bekerja bersama," katanya.
Sementara itu, Adam turut berkongsi pandangan mengenai pengalaman bekerjasama dengan isteri tercinta. Menurutnya, Yuna itu sentiasa menunjukkan semangat dan tenaga positif setiap kali mereka bertemu untuk bekerja, meskipun selepas melalui hari yang sibuk.
Adam juga menyifatkan peluang bekerja bersama rakan-rakan yang bukan sahaja berkongsi minat sama, malah boleh meluangkan masa bersama di luar urusan kerja sebagai satu rezeki.
"Setiap kali saya menjemputnya, dia tidak kelihatan penat selepas seharian bekerja. Sebaliknya, dia sentiasa bertenaga dan saya rasa itu sesuatu yang menakjubkan.
"Saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerja dengan rakan-rakan baik. Bukan sekadar bekerja, kami juga meluangkan masa bersama seperti makan, menonton filem, bermain boling dan melakukan pelbagai aktiviti lain.
"Saya rasa keseluruhan pengalaman ini sangat diberkati kerana persahabatan yang terjalin sepanjang proses tersebut," katanya.
Ditanya sama ada mereka menetapkan batas antara urusan kerja dengan kehidupan di rumah, Yuna secara bersahaja memberitahu, perkara itu bukan sesuatu yang terlalu rigid buat mereka.
Sebaliknya, minat yang sama terhadap dunia kreatif membuatkan perbualan mengenai projek dan idea boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk ketika sedang menikmati waktu makan bersama.
Yuna ditemui SinarPlus di majlis pelancaran album terbaharunya, Senjata yang boleh didengari di semua platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music pada 12 November 2026.
Senjata terhasil selepas tiga tahun sejak pelancaran Masih Yuna pada 2023 menampilkan tujuh lagu hasil kolaborasinya bersama penerbit dan penulis lagu tempatan, Anas Amdan, Aizat Amdan dan Raja Nazrin Shah (SOG) serta rakan kolaborasi kreatif dari luar negara.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Lena, Senjata, Turn Back Time, Tinggi Rendah Langit, Intuisi, Rockstar dan Siren.
Senjata diterbitkan di bawah label Yuna Room Records dan diedarkan oleh Believe. Video muzik Senjata akan dilancarkan secara rasmi di YouTube pada 18 November 2026.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
