Kelas Postnatal SinarPlus 2026 meriah! 101 peserta timba ilmu penjagaan ibu dan bayi, bawa pulang hadiah menarik
KELAS Postnatal SinarPlus 2026 dengan tema Postnatal Essentials: Recovery Mommy & Baby, anjuran SinarPlus dengan kerjasama Ara Damansara Medical Centre dan Kodomo Sabtu lalu menghimpunkan kira-kira 101 peserta dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan ibu dan bayi selepas kelahiran.
Berlangsung selama setengah hari, program itu menampilkan barisan pakar perubatan dan pegawai kesihatan yang berkongsi ilmu, panduan serta tip penting berkaitan proses pemulihan ibu, penjagaan bayi baru lahir dan penyusuan susu ibu.
Pengisian padat itu bukan sahaja memberi manfaat kepada ibu yang sudah mempunyai cahaya mata, malah bakal ibu dan bapa turut berpeluang mempersiapkan diri dengan pengetahuan yang tepat sebelum menyambut kelahiran si kecil.

Slot pertama menyaksikan Pakar Perunding Pediatrik Ara Damansara Medical Centre, Dr Angeline Ang, berkongsi ilmu menerusi tajuk Basic Newborn Care & Emergency.

Perkongsian tersebut memberi pendedahan mengenai asas penjagaan bayi baru lahir termasuk langkah pertolongan cemas seperti Infant CPR dan Choking, selain tindakan kecemasan yang perlu diambil sekiranya bayi tercekik atau berhenti bernafas.

Sesi diteruskan dengan perkongsian Pakar Perunding Urologi Ara Damansara Medical Centre, Dr Siti Nur Masyithah Ma'arof, yang membincangkan isu Postpartum Urinary Incontinence/Leakage atau masalah kebocoran air kencing selepas bersalin.
Topik berkenaan menyentuh antara perkara yang mungkin dialami wanita selepas melahirkan anak, termasuk punca, langkah pencegahan dan pilihan rawatan yang tersedia.

Melengkapkan pengisian ilmu penjagaan si kecil, Ketua Jabatan Pusat Kajian Kesihatan Pergigian Populasi & Pencegahan Klinikal, Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nawwal Alwani, turut berkongsi kepakarannya menerusi tajuk Lindungi Gigi Si Kecil, Cegah Karies.

Peserta juga didedahkan dengan panduan lengkap pengendalian dan proses memerah susu ibu menerusi perkongsian Pegawai Sains dan Pemakanan, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Noorashikin Ramli, Madihah Nur Mustapa Sa’di dan Norazida Abu Bakar.

Interaksi panel dan peserta
Menariknya, setiap sesi membuka ruang interaksi dua hala apabila peserta berpeluang mengajukan pelbagai persoalan secara langsung kepada barisan pakar.

Bukan sekadar mendapatkan tip penjagaan ibu dan bayi, mereka turut mengambil kesempatan merungkai persoalan serta mitos yang sering berlegar sepanjang kehamilan, selepas bersalin dan dalam membesarkan anak.

Selain ilmu bermanfaat, kemeriahan program turut diserikan dengan pemberian baucar daripada platform e-dagang terkenal, Shopee, kepada ibu bertuah.
Cabutan bertuah berbaloi!

Dua sesi cabutan bertuah turut menambah keterujaan apabila peserta berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik daripada penaja.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuk hamper bernilai RM250 daripada Very Important Baby, baucar taman tema Sunway Lagoon serta hadiah istimewa daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Tidak ketinggalan, hadiah utama berupa penginapan dua hari satu malam di Hotel Raia dan Parkroyal Penang Resort, selain baucar bernilai RM150 dan RM350 daripada Bayu Somerset.
Artikel penuh: Sambutan luar biasa! Hampir 200 bakal ibu bapa sertai Kelas Antenatal SinarPlus, pakar kongsi ilmu kehamilan & penjagaan bayi
Sarat ilmu, puas hati
Sambutan positif turut dirasai peserta yang menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik untuk mendapatkan ilmu daripada pakar, khususnya bagi mereka yang bakal bergelar ibu bapa buat kali pertama.

Bakal ibu, Aiza Elisya, 27, berkata penyertaannya dalam kelas berkenaan memberikan pengalaman dan pengetahuan baharu, terutama dalam membezakan fakta berasaskan sains dengan petua atau amalan yang diwarisi masyarakat.
"Ini kali pertama saya menyertai kelas berkaitan penjagaan bayi dan saya rasa program ini sangat bagus.

"Terutamanya bagi mereka yang bakal bergelar ibu buat kali pertama, saya sangat menggalakkan untuk menyertai kelas seperti ini kerana banyak ilmu dan persoalan yang sepatutnya diketahui seorang ibu dapat dijawab.

"Kita sebagai bakal ibu memang akan membuat banyak penyelidikan dan mencari maklumat di media sosial. Namun, ada perkara yang berasaskan sains dan ada juga yang sekadar adat atau mitos.
"Jadi, program seperti ini sangat sesuai kerana pakar dapat menerangkan dari sudut sains mengapa sesuatu perkara boleh atau tidak boleh dilakukan, termasuk berkaitan penyusuan dan penjagaan selepas bersalin," kongsinya.

Sementara itu, bakal bapa, Muhammad Hafiz, 29, mengakui banyak ilmu baharu diperoleh menerusi program yang berlangsung selama setengah hari itu.
"Banyak yang saya pelajari hari ini, Alhamdulillah, termasuk apa yang perlu saya lakukan sebagai persediaan dan tanggungjawab.
"Bagi saya, saya dan isteri berpuas hati dengan apa yang didengar dan disaksikan sepanjang pengisian kelas hari ini," katanya.

Isterinya, Nurul Syamimi Liana, 27, turut menyifatkan perkongsian yang disampaikan sebagai bermanfaat, khususnya dalam memberikan pendedahan mengenai penjagaan selepas bersalin.
"Program ini banyak mengupas tentang postnatal dan sebagai bakal ibu, saya memperoleh banyak maklumat berguna.
"Saya sangat tertarik dengan perkongsian mengenai penyusuan susu ibu. Banyak input yang baik dan saya rasa sangat seronok dapat menyertainya," ujarnya.


Selepas bersalin juga penting
Menurut Editor Eksekutif Lifestyle, Meen Tahrin, penganjuran kelas berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa penjagaan selepas bersalin sama pentingnya dengan persediaan sebelum melahirkan anak.

"Sebelum ini, ramai yang mengatakan bahawa mereka mahu menyertai kelas antenatal, iaitu sebelum bersalin. Namun, penjagaan selepas bersalin juga tidak kurang pentingnya.
"Disebabkan itulah SinarPlus menganjurkan kelas postnatal ini untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan penjagaan selepas bersalin.
"Sama seperti orang dahulu, mereka bersungguh-sungguh menjalani tempoh berpantang. Namun, jika dilihat pada masa sekarang, ada yang hanya berpantang selama seminggu. Selepas itu, sudah mula menunggang motosikal atau berbasikal.
"Perkara itu boleh mendatangkan bahaya untuk masa depan dan kesihatan dalam jangka panjang," kongsinya.
Mengulas sambutan yang diterima, Meen berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang.
"Saya juga mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk bersama-sama membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan selepas bersalin," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Akaun Revenue Growth Department, Rafidah Musa, menyifatkan sambutan menggalakkan yang diterima sebagai sesuatu yang di luar jangkaan memandangkan program berkenaan merupakan antara inisiatif baharu SinarPlus.
"Sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan. Kami tidak sangka kerana ini merupakan program baharu daripada SinarPlus.

"Kami berharap program akan datang mendapat lebih banyak sambutan kerana kami mahu menyediakan pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya ibu baharu dan mereka yang bakal menyambut cahaya mata pertama.
"Kani juga akan berusaha menyediakan segmen menarik, hadiah cabutan bertuah serta beg cenderahati untuk peserta. Harapan saya agar lebih ramai orang mendapat manfaat daripada ilmu yang dikongsikan menerusi program seperti ini," katanya.
SinarPlus merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penaja yang menjayakan program berkenaan iaitu Ara Damansara Medical Centre, Kodomo Lion, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Very Important Baby, Sunway Lagoon Theme Park, Yeo's, Spritzer, Shopee, Parkroyal Penang Resort, Hotel Raia, House Of Ridz Okumura, Dermoplex, Coppe Bee, Flabee, Eco-Shop, Booeh, Essens dan Bayu Somerset.
Penganjuran Kelas Postnatal SinarPlus 2026 diharap menjadi antara usaha berterusan dalam memperluas akses kepada ilmu penjagaan selepas bersalin, sekali gus membantu lebih ramai ibu dan bapa membuat persediaan dengan pengetahuan yang tepat demi kesejahteraan keluarga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
