Bersedia sambut si kecil! Mega Kelas Antenatal Pantai Hospital Melaka bimbing 70 pasangan
MENANTI kelahiran si kecil memang detik yang paling ditunggu-tunggu dalam hidup setiap pasangan.
Untuk memastikan perjalanan kehamilan lebih lancar dan ibu bapa baharu lebih bersedia, Pantai Hospital Melaka bersama MommyDaddy&i baru-baru ini menganjurkan Mega Kelas Antenatal yang disertai 70 pasangan.
Program sepenuh hari ini bukan sekadar memberi ilmu, malah membekalkan kemahiran praktikal supaya bakal ibu bapa lebih yakin menyambut kehadiran si manja dengan tenang dan penuh persediaan.
Pengurus Jualan dan Pemasaran hospital, Bernadette Choe berkata, program itu merangkumi topik pemakanan, perkembangan kehamilan, pengurusan tekanan antenatal, persediaan bersalin dan penjagaan bayi baru lahir, semuanya dibimbing oleh pakar hospital.
Sementara itu, Pakar Diet, Syazwani menekankan kepentingan pemakanan seimbang semasa kehamilan.
Beliau menjelaskan bahawa diet yang sihat bukan sahaja menyokong kesihatan ibu, malah membantu perkembangan bayi.
“Sering kali, bakal ibu bertanya sama ada mereka perlu ‘makan untuk dua orang’.
"Sebenarnya, mereka hanya perlu memastikan keperluan nutrien untuk ibu dan bayi dipenuhi. Diet seimbang amat penting,” jelasnya.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Tan Ying An turut menjawab soalan lazim ibu bapa mengenai pilihan bersalin, anestesia, tanda-tanda bersalin serta pemeriksaan prenatal seperti imbasan genetik dan imbasan terperinci.
Beliau berkata, “Kehamilan adalah perjalanan menakjubkan dan semestinya menimbulkan banyak persoalan. Tugas kami adalah membimbing mereka langkah demi langkah supaya berasa tenang dan bersedia."

Program ini juga menekankan penjagaan bayi dan kepentingan vaksinasi tepat pada masanya. Pakar Neonatologi dan Pediatrik, Dr Livia Chow Huey Ling, berkongsi tip termasuk keselamatan tidur, isyarat makan, vaksinasi serta menangani isu biasa seperti jaundis dan corak najis bayi.
“Bayi memiliki sistem imun untuk melawan jangkitan, tetapi ada penyakit serius yang tubuh mereka tidak mampu tangani sendiri,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan, imunisasi awal lebih baik daripada rawatan selepas jangkitan berlaku.
Selain itu, kesejahteraan mental dan emosi ibu bapa turut diberi penekanan. Pakar Psikiatri, Dr Gayathri K. Kumarasuriar memberitahu, kehamilan adalah perjalanan unik dan luar biasa.
"Menjaga kesihatan fizikal, menangani simptom dan memupuk kesejahteraan emosi adalah kunci pengalaman kehamilan yang bermakna," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan bakal ibu bapa supaya mendapatkan sokongan, berkomunikasi terbuka dan merancang dengan baik untuk menghargai tempoh yang luar biasa ini.
Program diakhiri dengan pengenalan perjalanan bilik bersalin di hospital, teknik penyusuan susu ibu serta asas memandikan bayi yang dibimbing oleh pasukan jururawat wad obstetrik dan ginekologi.
Para peserta juga berpeluang mempelajari tentang penyimpanan sel stem dan darah tali pusat daripada cryocord. Mega kelas antenatal ini turut disokong oleh cryocord, drypers, lafre, sudocream, philips avent, suzuran baby, cetaphil baby dan prudential.
Pantai Hospital Melaka, yang ditubuhkan pada 1986, telah memberikan sokongan kesihatan berterusan kepada komuniti Melaka dan wilayah Selatan serta pengunjung antarabangsa selama lebih tiga dekad.
Dengan kemudahan moden dan pasukan pakar berdedikasi, hospital ini menjadi peneraju utama dalam bidang penjagaan kesihatan di Selatan Malaysia.
.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

