NASKHAH Melur Untuk Firdaus ternyata membawa fenomena besar buat pelakon cantik manis, Anna Jobling.

Bukan sahaja meraih ribuan peminat drama tanah air, bahkan namanya turut meledak sehingga ke negara jiran.

Disebabkan itu, beliau berjaya melebarkan sayap seninya di Indonesia apabila ditawarkan beraksi dalam sebuah drama bersiri untuk laman penstriman atau Over-The-Top (OTT), MNC TV.

Bagi yang mengenali pelakon berusia 24 tahun itu pasti tahu, gadis manis tersebut memulakan karier dalam bidang peragaan dengan menyertai beberapa pertandingan dan peraih kejayaaan sebagai Miss Melaka dan Miss Pahang.

Selain itu, anak tunggal kepada Azni Raihana Arop dan Abdul Rahman Abdullah turut aktif dalam iklan komersial. Pada tahun 2018, beliau mempertaruhkan bakat yang ada dengan menyertai pertandingan Dewi Remaja 2018/19 dan berjaya meraih tempat keempat.

Baca niPakaikan si bulus dengan baju kebaya, kurta dan songket pada pagi raya. Koleksi DD Cat X Anna Jobling memang tersendiri

Anna jobling Meniti satu persatu tangga kerjaya yang akhirnya sampai ke kemuncak bila mana kehadirannya berjaya mencuri perhatian penerbit dan pengarah drama tanah air.

Malah, tidak keterlaluan andai diungkapkan, tahun 2023 menjadi tiktik kejayaan yang cukup manis dan paling bermakna dalam lembaran kerjaya seni beliau. Pelbagai pencapaian dan anugerah yang membanggakan diraih.

Pun demikian, pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu enggan berbangga diri, jauh sekali puas dengan apa yang diperoleh setakat ini.

Berpeluang menemu bual pemenang anugerah BBNU Wanita Popular, Aktres TV Popular dan Couple TV Popular bersama Meerqeen untuk Melur Untuk Firdaus, Anna mengakui sangat bersyukur dan terharu dengan sokongan peminat buat dirinya selama ini.

“Sabar dan percaya dengan proses adalah antara prinsip yang saya pegang selama ini. Bukan mudah untuk capai ke tahap sekarang dan saya sangat bersyukur.

“Pada masa sama, saya akan terus meluaskan lagi kerjaya lakonan mengukuhkan kedudukan sebagai anak seni. Saya tidak mahu berada di takuk yang sama, sebaliknya masih banyak yang perlu saya kejar dan capai dalam bidang ini,” ungkap wajah kempen bagi jenama pakaian Amber itu lagi.

Dua budaya berbeza

Pesona si gadis yang berdarah kacukan antara bonus yang membolehkan beliau memiliki kecantikan yang membuatkan tak jemu mata memandang.

Baca lagi Sedih ibu dihina warganet, Anna Jobling minta jangan ganggu keluarga

Ditambah pula dengan perwatakan beliau yang lemah lembut dan mesra orangnya, membuatkan anak kepada seorang jurutera yang berasal dari United Kingdom itu begitu disenangi ramai.

Malah, membesar dalam dua budaya berbeza iaitu Melayu dan Inggeris menambahkan lagi lagi kelebihan dalam diri anak jati Kuala Lumpur itu.

Meminati aktiviti lasak seperti bungee jumping dan diving, Anna tidak kekok untuk menikmati kehidupan sebagai orang biasa setiap kali pulang ke kampung ibunya di Melaka untuk bercuti.

“Saban tahun, menjelang raya, saya memang akan menghabiskan masa bercuti bersama keluarga. Kebiasaannya, tak banyak program untuk Ramadan kerana saya mahu berehat daripada bekerja.

“Kalau pulang ke kampung aktiviti saya adalah membantu mama masak. Air tangan beliau memang sangat dinanti-nantikan terutama sekali asam pedas. Tak boleh lawan, memang sedap.

“Saya ada belajar tetapi awal-awal angkat tangan kerana diri ini bukan seorang yang penyabar di dapur. Jadi, saya hanya bantu mama di dapur dengan siapkan bahan-bahan untuk dia masak dan cuci selepas siap makan,” dedah Anna yang akan berkunjung ke bazar Ramadan jika teringinkan sesuatu juadah tertentu.

Baca juga Privasi hak eksklusif Anna Jobling

AnnaMenyambung cerita aktiviti bulan puasanya di kampung, Anna yang pernah tersenarai antara 100 wajah tercantik dunia mengakui kurang gemar bangun sahur memandangkan dirinya tidak suka makan pagi.

“Saya memang suka suasana kampung dan dapat pulang memang akan duduk di rumah sahaja. Saya bukan jenis yang suka berjalan-jalan walapun di Melaka itu banyak lokasi menarik dengan sejarah, makanan yang enak dan sebagainya. Mungkin kerana jarak untuk ke bandar memakan masa lebih kurang sejam.

“Jadi, aktiviti harian di rumah ialah sapu dan bakar sampah, naik basikal pusing-pusing, main badminton dan sebagainya. Selain itu, cara pemakaian pun tak sama seperti mana ketika berada di bandar,” ujarnya.

Menjawab persoalan bagaimana mendepani orang ramai sementelah beliau seorang selebriti yang cukup dikenali ramai, kata tuan punya badan, itu bukanlah satu masalah buat dirinya.

“Memang saya dikenali ramai, namun setiap kali pulang ke kampung, mereka melayan seperti orang biasa. Apatah lagi, ramai yang mengenali saya sejak kecil lagi, jadi tidaklah teruja sangat.

“Cuma jika ada yang mahu dan mengajak bergambar, saya turuti sahaja. Keluarga pun memahami situasi tersebut dan tiada sebarang bantahan,” ujarnya yang turut aktif sebagai model dan pengacara.

Mengulas mengenai sambutan raya yang sudah tidak sama seperti dahulu, Anna mengakuinya dan cuba menghidupkan kembali tradisi pemberian kad raya.

Dedahnya, ini tahun kedua beliau menitipkan kad raya khusus buat kaum keluarga, rakan-rakan serta peminatnya baik di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Saya cukup teruja untuk meneruskan projek kad raya tahun ini. Sementelah, tahun lepas aktiviti ini mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat terutamanya di media sosial.

Justeru, tahun ini, Anna memperuntukkan 1,000 kad raya untuk tahun ini di samping sampul raya eksklusif sebagai cenderamata buat peminatnya.

Baca lagi Bapa meninggal dunia, Anna Jobling hilang penyokong nombor satu

Anna jobling 1

Baju raya si bulus

Cerita Ramadan kami noktahkan di situ, penulis kemudiannya cuba menelusuri lebih mendalam mengenai jelitawan itu.

Rupa-rupanya, Anna seorang pencinta kucing yang tegar.

“Bukan sahaja kucing, saya juga memberi makan haiwan lain termasuklah anjing. Sebab itulah ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti akan ada makanan kucing baik dalam beg ataupun kereta.

“Setakat ini, saya ada pelihara dua ekor si bulus. Mungkin ada yang beranggapan cukup leceh nak jaga haiwan ini, namun pada saya bergantung pada cara seseorang itu mengendalikannya. Lagipun, kucing juga ada hati dan perasaan,” ujar beliau.

Anna 1

Menganggap haiwan tersebut sebagai pembawa rezeki buat dirinya, Anna juga tidak menafikan turut melalui fasa atau momen yang cukup menyedihkan apabila kesayangannya itu meninggal dunia.

“Saya anggap kucing macam anak sendiri. Cukup menyedihkan apabila terpaksa melepaskannya ‘pergi‘. Sehinggakan satu tahap saya enggan lagi ambil si bulus untuk dipelihara kerana trauma dan tak sanggup berdepan kesedihan, namun saya fikir semua benda akan mati, jadi itu buat saya reda.

“Saya juga suka bantu kucing-kucing jalanan sama ada yang buruk, dipenuhi kurap, sakit dan sebagainya. Bayangkan, daripada sakit teruk apabila diberi penjagaan rapi dan perhatian sepenuhnya, akhirnya membesar menjadi si bulus yang gemuk dan sihati. Itu yang membuatkan saya bangga sangat,” jelas Anna yang tidak memilih kucing yang cantik sahaja.

Ditebak persoalan apa yang beliau akan lakukan seandainya diri bergelar ratu cantik, Anna terus mengungkapkan isu penderaan haiwan akan menjadi fokus utamanya.

Anna 2

Lebih istimewa lagi, Anna turut mencurahkan kreativiti dalam penghasilan baju raya buat si bulus.

Akui empunya diri, beliau terharu kerana diberi kepercayaan terbabit secara langsung, daripada proses rekaan, pemilihan warna, sehinggalah kepada pemilihan fabrik untuk koleksi baju raya kucing bagi sebuah jenama pakaian tempatan.

Lebih membanggakan, koleksi tersebut bukan sahaja mendapat tempat di hati peminat tempatan, bahkan turut meraih perhatian sehingga ke Brunei dan Singapura.

“Saya memang sangat sayangkan kucing dan inginkan yang terbaik untuk mereka (kucing). “Justeru, apabila diberi peluang untuk terbabit sama dalam penghasilan koleksi baju raya kucing tahun ini, memang saya teruja.

“Jika tahun lalu, 15,000 helai koleksi baju raya kucing terjual, tahun ini kami keluarkan 25,000 helai pula,” ungkapnya sebelum menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Iklan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Iklan