Bergelar ratu cantik atas pengaruh ibu, warisi legasi bapa menjadi peguam. Dua 'gen' jadikan Olivia wanita berpengaruh

A
A
A

TARIKH 29 Oktober lalu menjadi memori terindah buat Olivia Constance Nicholas.

Beliau telah dimahkotakan sebagai Mrs Malaysia World 2022, sekali gus mewakili Malaysia pada pertandingan sama di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi.

Sedikit info tentang Mrs World, ia merupakan platform ratu cantik yang ditandingi oleh wanita yang sudah berkahwin dan berjaya dalam rumah tangga.

SinarPlus cukup bertuah apabila dapat mengabadikan wajah Olivia sebagai penghias muka depan minggu ini. Tentu sahaja banyak soalan yang ingin dilontarkan.

Sebelum itu, kehadirannya ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor mencuri pandangan ramai.

Masakan tidak, beliau yang juga seorang peguam tampil menawan dengan tiara dan wajahnya juga sudah siap ditatarias oleh jurusolek profesional. Sesuailah dengan statusnya sebagai ratu.

Baca ni 'Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul.' Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya 'tawan' puncak KLCC

Berbual dengan ibu kepada seorang cahaya mata, Jovan Nicholas Menon, 2, memang menarik.

Tuan punya badan bukan sahaja menonjolkan keperibadiannya yang sopan, malah beliau cukup ramah, berbudi bahasa dan merendah diri.

Memulakan bicara awal tentang pembabitannya dalam pertandingan ratu cantik, rupa-rupanya Olivia mengikut jejak langkah ibu tersayang, Datin Rufina Netto.

"Saya mula aktif (dalam pertandingan ratu cantik) ketika berumur 16 tahun. Waktu itu, minat saya turut didorong oleh penglibatan dan kemenangan ibu dalam pertandingan ratu cantik. Ibu saya dulu seorang guru dan bekas Miss Perak pada tahun 1980-an. Ya, saya bangga kerana mengikut jejak langkah beliau.

"Pun begitu, saya tidak ingin hanya bersandarkan kepada kecantikan semata-mata, sebaliknya saya mempersiapkan diri dengan ilmu dan juga kebijaksanaan. Disebabkan itu, sejak kecil lagi, saya nekad untuk mencorakkan diri saya sebagai seorang beauty with brain dengan harapan mahu menjadi seorang wanita contoh dalam kalangan masyarakat,“ ujarnya dengan penuh keyakinan.

MASA JADI CABARAN UTAMA

Kepada Olivia, sengaja penulis bertanya, apakah definisi cantik baginya?

Seperti sedang menyusun frasa ayat, beliau kemudian menitipkan bicara dengan berkata: “Kecantikan sebenarnya bukan hanya ditafsirkan secara luaran sahaja, sebaliknya ia kena lahir melalui dalaman jua.

"Pun demikian, sudah resam manusia yang hanya melihat cantik dari segi rupa paras. Namun, bagi saya cantik itu tidak sekadar memiliki wajah yang menawan dan anggun, tetapi perlu dilihat dari aspek kebajikan, kerja amal dan kebaikan hati seseorang wanita.“

Apabila dilayangkan persoalan mengenai persepsi sesetengah pihak kononnya wanita cantik kurang bijak, Olivia pantas menangkis perspektif berat sebelah tersebut.Ungkapnya, soal berkenaan terlalu subjektif untuk dinyatakan.

"Bagi saya, cantik dan bijak, kedua-duanya mempunyai kelebihan serta keupayaan tersendiri. Justeru, pesanan saya kepada kaum Hawa di luar sana, berhenti daripada beranggapan pentingnya cantik atau bijak ini untuk pandangan mata orang lain. Sebagai seorang wanita, jika diminta membuat pilihan antara cantik dan bijak, sebaik-baiknya jadilah diri sendiri,“ jawabnya dengan penuh kesungguhan.

Baca ni 'Sebelum kaya duit, beliau kaya jiwa.' Guna bahasa Melayu sepenuhnya ketika berucap, sikap Khairul Aming raih pujian ramai

Anak kelahiran Perak itu menambah, dalam pertandingan ratu cantik pun, juri tidak hanya menilai kepada keindahan raut muka.

Para peserta perlu memiliki segedung pengetahuan dan ilmu dalam pelbagai cabang. Setiap yang terpilih menjadi pemenang, biasanya mempunyai kualiti masing-masing dan bukan sekadar tangkap muat sahaja, ujarnya.

"Dalam hal ini, saya juga ingin menyeru kepada kaum wanita khususnya yang sudah berkahwin, jangan mengehadkan pemikiran anda. Buktikan kemampuan diri dan jangan anggap pertandingan ratu cantik ini hanya untuk wanita yang belum berkahwin dan lawa sahaja.

"Kalau boleh, saya mahu setiap daripada kita keluar daripada kepompong dan berusaha mencapai impian yang dihajati. Jangan jadikan faktor kemiskinan atau status isteri dan ibu sebagai batu penghalang untuk kita melakukan apa sahaja yang kita mahu dalam hidup.

"Saya yakin jika kita lakukan yang terbaik, cara yang betul dan disertai dengan usaha yang gigih, pasti kejayaan dalam genggaman. Terus berusaha, selain berdoa dan terus berdoa,“ ujar beliau yang meletakkan Pengarah Mrs World Malaysia, Datin Harveen Kaur Veena sebagai idolanya.

Bergelar sebagai pengamal undang-undang dan pada masa sama, perlu mempersiapkan diri untuk pertandingan berprestij di AS nanti, bukankah ia satu tugas berat yang perlu dipikul?

Mengiakan apa yang penulis katakan, Olivia memberitahu, masa merupakan cabaran utama dirinya.

Namun, disebabkan kedua-dua lapangan itu merupakan pilihan dan kecondongannya, ujar beliau, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

"Saya kena bijak untuk mengatur masa. Untuk permulaan, memang sedikit sukar, tetapi lama-kelamaan, saya semakin mahir dalam pembahagian waktu dan belajar untuk jadi multitasking. Saya selesa dan suka melakukan tugas-tugas saya secara sistematik.

"Sebab itu, saya mempraktikkan penggunaan jadual harian. Kaedah ini banyak membantu saya menguruskan masa dengan bijak kerana saya tahu apa yang perlu saya lakukan pada masa-masa tertentu. Pada masa sama, saya boleh mengelak pembaziran masa.

Olivia (gambar kiri) bersama ibu dan adik kembarnya.

"Pengurusan waktu yang baik amat penting kepada saya yang memikul tanggungjawab sebagai seorang profesional. Untuk berjaya, kita harus ada perancangan terlebih dahulu,“ ungkapnya panjang lebar.

TAK MAKAN NASI

Perihal ratu cantik dan masa penulis tinggalkan seketika. Perbualan kami beralih pula kepada sisi keluarganya pula. Oh! Rupa-rupanya Olivia mempunyai kembar seiras.

"Olinda Josephine dilahirkan berbeza masa hanya seminit. Pun begitu, kami tidak berkongsi minat yang sama dalam bidang ini. Namun, kembar saya sentiasa menjadi penyokong yang baik. Demikian juga dengan ahli keluarga yang lain. Saya amat bersyukur dengan kehadiran insan-insan yang cukup memahami diri ini,“ katanya.

Keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaan Olivia dalam bidang kerjaya dan ratu cantik.

Olivia kemudian membuka cerita tentang minat beliau dalam bidang undang-undang.

Jika menjadi ratu cantik adalah pengaruh daripada si ibu, karier sebagai peguam pula diwarisi daripada ayah beliau, Datuk Fredrick Indran X A Nicholas.

Fredrick ialah mantan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, Johor dan pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Perusahaan Malaysia di Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

"Pengalaman, kemahiran dan disiplin bapa merupakan antara ciri-ciri yang membangkitkan semangat keupayaan, patriotisme, kewibawaan dan tanggungjawab kepada saya sehingga ke saat ini. Kalau mahu diikutkan, bidang guaman dan perundangan telah pun sebati dalam keluarga kami sejak zaman datuk saya lagi,“ ujar peminat setia sukan kriket dan gemar bersenam pada waktu senggang itu.

Pasti tidak lengkap andai persoalan penjagaan kecantikan tidak diutarakan kepada sang ratu Olivia.

Baca lagi Tidak suka digelar seksi, Markovic pemain bola sepak tercantik di dunia, pilih sukan berbanding jadi model

Akuinya, tiada sebarang rahsia atau pun tip khusus dipraktiskan. Seperti orang lain, personaliti penuh karismatik itu hanya mengamalkan pemakanan yang sihat.

"Ya, betul, saya tidak makan nasi. Sebagai ganti, saya hanya makan salmon mentah dan avocad. Pada masa sama, saya perbanyakkan buah-buahan.

"Untuk kecantikan wajah pula, saya menggunakan organik mask yang dibuat sendiri. Bahan-bahan yang saya gunakan termasuklah oat, madu, lemon dan yogurt,“ kongsi Olivia yang menjaga bentuk badan dengan ke gimnasium sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

Bercerita tentang sisinya sebagai isteri dan ibu, kongsi permaisuri hati kepada Dr Sandeep Menon itu, beliau bersyukur dikurniakan teman hidup yang bukan sahaja bertanggungjawab dan penyayang, bahhkan seorang doktor yang cukup berwibawa dalam menjalankan tugas.

"Biarpun sudah memegang status isteri dan ibu, suami tidak pernah melarang saya aktif dalam bidang peragaan.

"Beliau juga selalu menzahirkan kata-kata semangat untuk saya terus mengejar cita-cita baik dalam bidang guaman mahupun ratu cantik,“ ungkap Olivia.

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca