Sangeeta sediakan hidangan Melayu, Cina, India sempena Deepavali. Buat kollam juga jadi aktiviti wajib
Sangeeta sediakan hidangan Melayu, Cina, India sempena Deepavali. Buat kollam juga jadi aktiviti wajib
SERAUT wajah jelita dengan kulit mulus, hidung yang mancung dan sepasang mata bundar membuatkan sesiapa sahaja akan terpesona melihat Sangeeta Krishnasamy.
Sangeeta juga hadir dengan persalinan sari rona kuning, sekali gus menepati kehendak kami yang mahu menjadikan beliau sebagai penghias wajah muka depan SinarPlus sempena sambutan Deepavali kali ini.
Membuka mukadimah, pelakon itu meluahkan rasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada warga yang lahir dalam sebuah negara majmuk dan meraikan pelbagai perayaan.
Kepada penulis, Sangeeta berkata, beliau mempunyai definisi tersendiri tentang Deepavali.
“Bagi saya, Deepavali merupakan cara kita untuk mengekalkan tradisi nenek moyang terutama dari aspek makanan, pakaian dan adat. Waktu ini jugalah kita dapat berkumpul beramai-ramai dengan famili dan saudara-mara. Selain itu, tradisi sembahyang dan mandi dengan minyak juga ada maksud dan makna tersendiri,“ tuturnya.
Menurut personaliti itu, seperti yang dilakukan selalu, jadual seni dikosongkan demi untuk bersama keluarga tersayang.
“Dulu, pernah juga saya tidak sempat nak sambut sebab ada penggambaran di luar. Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, saya tidak mahu ketinggalan. Setiap tahun, mesti ambil cuti, kalau tidak kena marah,“ seloroh wanita yang cukup mesra dan peramah orangnya itu.
Apa yang diceritakan Sangeeta seterusnya cukup menyeronokkan. Katanya, pada setiap tahun juga mereka sekeluarga akan membuat sistem penggiliran rumah siapa yang akan dijadikan lokasi untuk berhimpun.
“Memandangkan semua sudah berkeluarga, jadi waktu inilah peluang kami bersua. Biasanya, saya akan bantu ibu memasak,“ katanya.
Jangan tidak percaya, Sangeeta hebat beraksi di dapur. Masakan tidak, sajian seperti kuah dal dan kari kentang sentiasa 'ditagih' oleh ahli keluarganya.
Kongsi anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, pada sambutan kali ini, beliau memutuskan untuk menyediakan hidangan istimewa berupa makanan Cina, Melayu dan India.
“Mungkin akan ada dumpling, masak lemak dan beriani. Memang famili kami suka menu yang pelbagai. Namun, makanan lain seperti tosai, kari dan sebagainya tetap ada,“ ujarnya yang sentiasa menjemput rakan-rakan daripada pelbagai bangsa dan keturunan bertandang ke kediaman beliau.
Dengan senyuman paling manis, Sangeeta berkata, beliau sentiasa ternanti-nantikan kollam atau rangoli hasil sentuhan ibu tersayang.
“Rasanya semua orang tahu, kolam diperbuat daripada tepung beras yang dicampur air. Pada waktu raya inilah, saya 'tukang' gaulkan tepung beras dengan pelbagai warna, sementara ibu yang lukis dan menghiasnya.
"Kami lakukannya di beranda rumah dan akan letak lampu serta minyak bijan,“ kata selebriti itu sambil memberitahu, kollam merupakan simbolik kepada tanda selamat dan rahmat agar setiap isi rumah memperoleh kesejahteraan.
Sangeeta seorang yang tidak melupakan insan yang kurang bernasib baik. Keluhuran hatinya yang menempah makanan untuk ibu-ibu tunggal dalam usaha menceriakan golongan tersebut pada musim perayaan amat dikagumi.
Seperkara, barangkali ramai yang belum tahu bahawa beliau mempunyai seorang anak angkat yang bernama Mohd Alif atau Alif yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.
“Sejak tahun 2017 lagi, Alif telah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Sebenarnya, dia turut berlakon dalam filem, Adiwiraku. Alif panggil saya mama, manakala ibu saya dipanggil nenek. Setiap tahun, Alif tidak ketinggalan untuk sama-sama menyambut Deepavali dengan kami,“ ulas Sangeeta ringkas, namun cukup bermakna.
BUKAN BADI
Kegirangan mengenai Deepavali kami sematkan dalam ingatan. Peluang eksklusif bertemu dengannya memberi ruang kepada penulis untuk menjejak lagi profil dirinya.
Penulis tertanya-tanya mengapa seorang graduan jurusan undang-undang dari University of London (kampus Malaysia) menghalakan misi dengan mendambakan diri dalam dunia seni.
Apa yang terjadi sebenarnya? Ujar Sangeeta dengan tenang: “Sebelum ini, saya tidak terbayang langsung akan bergelar pelakon. Usai tamat pengajian, saya tidak melibatkan diri dalam bidang perundangan, sebaliknya memilih dunia pendidikan.
“Dalam lingkungan waktu itu, saya juga selalu berkunjung ke Kuala Lumpur Performing Art Centre untuk menonton teater. Suatu hari, saya ternampak papan tanda mengenai kursus teater yang berlangsung selama 10 minggu. Hati terdetik untuk mencuba, jadi saya pergilah.
“Sejujurnya, saya wanita yang introvert dan tidak yakin. Kawan saya maklum, pendekatan yang saya lakukan itu merupakan salah satu cara membantu saya membuang rasa malu."
Ungkapnya lagi, kursus itulah permulaan kepada beliau bergelar anak seni.
Putik cinta dalam bidang lakonan kian bercambah. Tiada siapa menduga, tuah terus menyambar Sangeeta apabila dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 menerusi filem Adiwiraku.
“Pada saya, menang anugerah bukan penamat untuk kita terus belajar, sebaliknya setiap hari ada sahaja yang berlaku. Justeru, sebagai anak seni, kena sentiasa menuntut ilmu. Masuk set, ibarat satu ujian dan pembelajaran baharu.
“Saya bersyukur, selepas mendapat pengiktirafan, saya mendapat biasiswa di bawah tajaan Finas untuk mengikuti kelas lakonan selama lima minggu di New York Film Academy, Los Angeles, Amerika Syarikat. Ya, saya ke sana pada tahun 2009 untuk menaik taraf lagi lakonan saya,“ ujarnya.
Menjadikan pelakon Sabri Yunus, Jason Chong dan Eric Ong sebagai mentor, beliau menolak anggapan kononnya anugerah yang diterima mempunyai badi seperti yang dimomokkan ramai orang. Tegas beliau, bakat harus seiring dengan usaha dan kerja kuat.
“Kalau jiwa seseorang pelakon berada di tempat yang betul, maka tidak timbul soal badi dan sebagainya. Sebaliknya, ia sebagai satu cabaran dan tanggungjawab untuk buat lebih baik,“ ujarnya yang mengidamkan watak sebagai ibu tunggal, orang kurang upaya dan mahu menjiwai karakter orang miskin yang sentiasa dibelenggu cabaran hidup.
Kepada satu soalan, jujur kata Sangeeta, beliau tidak terkesan dengan limpahan influencer seperti TikTokers yang menghiasi persada seni, meskipun ilmu tentang lakonan mereka dikatakan tidak seberapa mana.
“Saya selesa menjadi diri saya sahaja. Kalau tanya pandangan saya lagi, ia semua bergantung kepada bakat dan kemahiran masing-masing,“ kata personaliti itu memberi respons bernas.
AYAH BERI PENGARUH BESAR
Memiliki lebih 218,000 pengikut di laman Instagram, anda dapat melihat kecintaan Sangeeta dengan alam sekitar berskala besar.
Ujarnya, sifat itu diwarisi daripada mendiang ayahnya. Malah, individu yang dipanggil appa itu memberi pengaruh besar kepadanya terhadap beberapa perkara. Antaranya kefasihan beliau dalam berbahasa Melayu.
“Sejak kecil, ayah sudah tekankan kami bahawa kami ini ‘berbangsa‘ Malaysia, kena bergaul dengan semua kaum baik India, Cina dan Melayu. Saya juga dihantar ke sekolah kebangsaan. Kata ayah, kami kena ambil tahu adat dan budaya semua kaum di negara.
“Dari situ, saya dapat ramai kawan pelbagai ras dan keturunan. Kami semua bertutur dalam bahasa Melayu. Jangan tak tahu, bermula tingkatan satu hingga lima, subjek Bahasa Melayu saya selalu dapat gred A. Selain minat berbahasa Melayu, saya juga turut belajar bersyair, sajak, dikir barat dan sebagainya,“ ungkapnya.
Dalam kami larut bersembang, penulis teringat kelibatnya yang hadir pada majlis perkahwinan rakan baiknya, Sharifah Amani baru-baru ini. Aktres itu sudah pun menamatkan zaman bujang, Sangeeta bila lagi?
“Saya gembira dan bahagia melihat Nani (Sharifah Amani) sudah selamat bergelar isteri. Bagi saya, Nani ialah pengantin paling cantik saya pernah tengok. Malah, saya bertuah dapat bersama keluarganya dalam meraikan hari bahagia tersebut.
“Bagi diri saya pula, kalau tanya, setakat ini saya akan katakan belum ada perancangan ke arah tersebut (kahwin),“ ujarnya bersahaja.
Tidak puas hati dengan jawapan tersebut, penulis bertanyakan terus hubungan beliau dengan penyampai radio BFM, Richard Bradbury yang sebelum ini digosipkan sebagai pasangan kekasih.
“Ya, benar, sehingga kini, kami masih bersama, cuma masing-masing tidak suka kongsi kehidupan peribadi dengan khalayak.
"Anggap sahaja hubungan kami sebagai misteri, tetapi masih bersama lagi,“ kata sambil tertawa.
Terakhir, SinarPlus mencungkil rahsia pesonanya. Pelakon filem Rise: Ini Kalilah berkata, dirinya seorang yang sederhana. Namun, beliau tidak akan sesekali menyentuh makanan bergoreng dan banyak menikmati sayur-sayuran, buah-buahan dan minum banyak air.
"Kecantikan itu sebenarnya bermula dari mulut. Apa yang kita makan itu akan menjadi sebahagian daripada fizikal kita. Sebab itu, kena kawal pemakanan.
"Kena amal diet, itu yang penting jika mahu kulit cantik. Elakkan stres kerana boleh merosakkan kulit dan buat kita nampak letih dan lesu," ungkap Sangeeta yang juga gemarkan aktiviti lasak seperti rock climbing, selain yoga.
Baca ni Makan nasi cuma 2 sudu, petua Azah Aziz kekal awet muda pada usia 50 tahun
Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang