'Tak nak nampak Ramadan satu yang struggle, kena berlapar dan penat beribadah'- Nak anak seronok berpuasa? Ini cara Amyra Rosli

No Image Caption
A
A
A

PELAKON Amyra Rosli dan suami Amar Baharin melihat Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya peluang terbaik untuk mendidik anak mengenal erti ketenangan dan kebersamaan keluarga.

Ketika ditemui Sinarplus baru- baru ini, Amyra mendedahkan, anak sulungnya mula belajar berpuasa, justeru sebagai ibu dia memilih pendekatan lebih lembut kerana tidak mahu si kecil melihat Ramadan sebagai sesuatu yang susah atau memenatkan.

Baginya, apabila anak rasa bahagia, mereka akan lebih mudah memahami makna sebenar bulan yang mulia itu dan menantikannya setiap tahun.

Dalam fasa membesarkan anak-anak yang sedang mengenal dunia, bulan ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk membina kenangan indah keluarga sambil mendidik mereka memahami ibadah dengan cara yang lembut dan menggembirakan.

Apabila anak sulungnya mula belajar berpuasa, Amyra mengakui dia lebih berhati-hati dalam membentuk pengalaman pertama si kecil. Baginya, persepsi awal anak terhadap Ramadan sangat penting kerana ia akan menentukan bagaimana mereka melihat ibadah itu pada masa depan.

“Saya tak nak dia nampak Ramadan ni satu benda yang struggle, kena berlapar dan penat beribadah,” katanya jujur berkongsi pendekatan sebagai seorang ibu.

Menurut Amyra lagi, dia mahu anak memahami bahawa Ramadan ialah bulan yang tenang dan penuh kebahagiaan, bukan sesuatu yang menakutkan atau membebankan.

Justeru, suasana di rumah menjadi elemen utama dalam mendidik anak mengenal erti sebenar bulan mulia itu.

Sepanjang Ramadan, Amyra dan keluarga memilih untuk memperlahankan sedikit rutin harian dengan mengurangkan aktiviti yang tidak perlu agar lebih banyak masa dapat dihabiskan bersama di rumah.

“Ramadan ni peluang untuk kita muhasabah diri balik. Kita tambah apa yang kurang dan perbetulkan apa yang salah. Jadi kami memang akan slow down sikit dan lebihkan masa bersama keluarga,” jelasnya.

Antara rutin yang cuba diamalkan ialah memastikan momen sahur dan berbuka dilakukan bersama-sama sebagai satu keluarga. Malah, ibadah juga cuba dilaksanakan secara berjemaah supaya anak-anak dapat merasai suasana Ramadan dengan lebih dekat.

“Contohnya sahur kena sama-sama, berbuka sama-sama dan kalau boleh solat pun sama-sama.

"Kita nak jadikan Ramadan tu lebih dekat dan lebih bermakna,” ujarnya.

No Image Caption

Bagi pelakon drama Jangan Menangis Cinta itu lagi, kanak-kanak pada usia kecil perlu diperkenalkan kepada Ramadan melalui pengalaman yang menyeronokkan terlebih dahulu sebelum memahami aspek disiplin ibadah secara mendalam.

Disebabkan itu, dia sering menceriakan anaknya dengan perkara-perkara kecil seperti menyediakan masakan kegemaran ketika berbuka puasa, membawa mereka ke bazar Ramadan sekali-sekala serta membeli pakaian baharu bagi meraikan kehadiran bulan istimewa tersebut.

“Pada umur macam ni saya nak dia happy dulu. Saya nak dia tahu Ramadan ni bulan yang tenang dan menggembirakan,” katanya lagi.

Selain itu, pemilik nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli juga cuba memperkenalkan suasana ibadah secara santai dengan mengajak anak menyertai solat tarawih bersama keluarga agar pengalaman tersebut menjadi kenangan manis yang akan diingati.

Menurutnya, pendekatan penuh kasih sayang lebih berkesan berbanding paksaan kerana anak akan belajar menghargai ibadah secara semula jadi.

Dalam kesibukan kehidupan harian, Ramadan bagi Amira menjadi waktu terbaik untuk kembali memberi fokus kepada perkara yang paling penting, hubungan kekeluargaan.

Pendekatan yang diambil pelakon itu membuktikan bahawa mendidik anak tentang ibadah tidak semestinya melalui tekanan. Sebaliknya, suasana positif, contoh teladan dan momen kebersamaan mampu menanam rasa cinta terhadap Ramadan sejak usia kecil.

Dan bagi ibu kepada sepasang cahaya mata itu, jika anak membesar dengan kenangan Ramadan yang indah, mereka bukan sahaja belajar berpuasa, malah akan sentiasa merindui kehadiran bulan mulia itu setiap tahun.

.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang