KEJAYAAN gadis berusia 22 tahun yang dikenali sebagai Nor Phoenix Diana ketika memenangi tali pinggang pada pertandingan Pro Wrestling-The Wrestleconi tiga tahun lepas meraih perhatian.

Beliau juga mencetuskan fenomena apabila muncul sebagai wanita Muslim pertama di Malaysia yang menyertai acara gusti profesional.

Pertama kali bersua muka, penulis sedikit terkejut melihat susuk tubuhnya yang kecil, hanya berketinggian 155 sentimeter dan berat 50 kilogram. Ia langsung tidak menggambarkan empunya diri seorang ahli gusti.

Tampil polos bercermin mata dengan selendang labuh, sapaan penulis disambut dengan senyuman paling manis. Pada petang itu, beliau turut ditemani jurulatihnya, Ayez Shaukat Fonseka.

Sambil menadahkan wajahnya untuk ditatarias jurusolek terkenal, Ayang Kamell, kami mula berbual. Semestinya bagaimana pembabitan dirinya dalam sukan lasak dicungkil satu persatu.

Mahu disapa sebagai Nor Diana sahaja, beliau berkata, minat yang mendalam terhadap sukan gusti mendorongnya mencuba nasib dengan menyertai uji bakat pencarian atlet gusti pada usia 16 tahun. Tuah menyebelahi tuan punya badan apabila diberi kepercayaan menyertai pertarungan gusti pada Februari 2017.

“Sebenarnya, sejak kecil lagi minat itu sudah ada. Waktu itu, saya selalu menonton WWE (World Wrestling Entertainment). Kemudian, saya mendapat khabar ada sekolah gusti baharu dibuka di Malaysia.

“Dek kerana rasa ingin mencuba, saya lantas memberanikan diri mendaftar. Dari situlah bermulanya perjalanan karier saya sebagai ahli gusti sehingga kini,“ katanya yang menyertai perlawanan gusti pertama pada Februari 2016, namun tewas di tangan seorang lagi penggusti tempatan, Scarlet Lyd.

Baca lagi ‘Daripada saiz kecil, jadi baju paling besar.’ Wanita ini kongsi perubahan Zizi Kirana buat ramai tersentuh hati!

TAK PROMOSI KEGANASAN
Seolah-olah mengerti banyak soalan yang mahu dilontarkan, Nor Diana terus membutirkan kata-kata. Kata gadis manis itu, beliau menyedari pandangan serong dan rasa tidak senang masyarakat terhadap pilihan kerjayanya.

“Orang tanya, kenapa bidang ini? Beginilah, setiap orang ada minat dan keinginan masing-masing. Apa yang boleh saya katakan, minat saya terhadap gusti tak kan pernah padam dan saya suka beraksi, biarpun di luar sana pelbagai tanggapan diterima,“ tegasnya.

Bagaimana dengan reaksi keluarga? Beritahu Diana, setiap daripada mereka berdiri teguh di belakangnya. Pun demikian, pada peringkat awal, terbit rasa bimbang apabila memikirkan soal keselamatan, namun perasaan itu tenggelam dengan sendiri.

Kejayaan Nor Diana yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia dua tahun lalu, bukan sahaja membanggakan ibu bapa, malah seluruh negara gembira dengan penyenaraian itu.
Forbes 30 Under 30 Asia merupakan pengiktirafan kepada 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia. Semuanya berumur bawah 30 tahun.

Mengenai imejnya yang berhijab, kata anak keempat daripada lima beradik itu, ia bukan satu isu besar dan kebanyakan peminat menzahirkan sokongan.

“Seperkara, gusti tidak mempromosikan keganasan, malah ia lebih kepada menggalakkan kita untuk menjadi lebih cergas dan aktif,“ ungkap Nor Diana yang terkenal dengan beberapa gerakan penyudah seperti Tilt-a-Whirl Cutter, Crossbody dan Suicide Dive.

Semua orang tahu, di Malaysia, arena gusti bukanlah sukan yang dominan. Disebabkan itulah akui Nor Diana, ketiadaan pelatih dan ahli gusti wanita lain menjadi cabaran terbesar buat personaliti berjiwa besar itu.

Kesudahannya, beliau terpaksa berlatih dengan jurulatih lelaki. Di samping itu, masalah tiada teman (partner) untuk membuat persembahan juga merupakan antara tantangan.

“Satu lagi, untuk menjadi ahli gusti yang berjaya dan memiliki nama besar dalam industri, saya perlu ke Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk menempa nama di sana. Pun begitu, limitasi visa menjadi halangan untuk syarikat di sana memanggil saya,“ luahnya menceritakan antara liku-liku menjadi ahli gusti profesional.

TANPA TOPENG
Pada awal kemunculan, kelibat Diana sering dilihat memakai topeng. Begitupun, kini beliau sudah mampu membiasakan diri untuk muncul di tengah-tengah khalayak tanpa pelindung muka itu.

Kepada penulis, Diana berkata, beliau seorang yang pemalu sehingga membuatkan dirinya tidak betah berhadapan dengan orang ramai.

“Disebabkan saya pemalu, jurulatih Shaukat memberi topeng untuk saya pakai. Katanya, ia sebagai senjata untuk saya membina keyakinan diri. Kebetulan juga waktu itu, saya belum bersedia untuk berlawan. Lebih-lebih lagi saya bertudung, saya bimbang dengan kecaman dan persepsi masyarakat ketika itu yang kita tidak boleh jangka.

“Namun, lama-kelamaan, keyakinan dalam diri saya semakin tinggi, barulah saya mengambil keputusan untuk tidak memakai topeng dan barulah saya lebih selesa menjadi diri sendiri. Pada masa sama, saya mahu membuktikan bahawa tudung bukanlah satu halangan untuk kaum wanita menceburi kerjaya lasak sebegini,“ ungkapnya lagi.
Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu, beliau juga tidak pernah ambil tahu apa pandangan kaum Adam.

“Saya masih lagi seorang wanita yang bergelar ahli gusti. Apa jua anggapan mereka tidak penting, malah tidak perlu untuk saya cuba mengubah pandangan mereka. Itu hak masing-masing. Paling penting, kita tak perlu terkesan dengan situasi tersebut,“ tegasnya.

Soal teman lelaki? Ah! Ketepikan dulu. Dengan nada penuh berkobar-kobar, Nor Diana berkata, sasarannya cukup besar dalam WWE.

“Justeru, saya tiada masa untuk memikirkan hal-hal lain termasuklah teman lelaki. Saya kini hanya mahu fokus terhadap membangunkan kerjaya kepada tahap yang lebih baik,“ ulasnya.

Iklan

PATAH RIUK?
Topik perbualan kami beralih pula kepada hal membabitkan kecederaan. Bukan apa, ramai yang berseloroh mengatakan, kalau tak patah riuk, bukanlah sukan gusti namanya.
Tersenyum saat mendengar pernyataan itu, Nor Diana lantas berkata: “Alhamdulillah, saya tak alami kecederaan yang serius. Cuma siku pernah tercedera dan bengkak. Ada satu ketika, tisu otot belakang koyak. Waktu itu, saya mengambil masa dalam tiga bulan untuk sembuh.

“Syukur, saya masih sihat. Sakit-sakit dan sengal-sengal badan itu ada, tetapi saya anggap ia adalah lumrah dalam bidang ini.“

Barangkali ramai yang bertanya apa simbolik di sebalik nama Phoenix pada namanya? Kata atlet berbakat itu, ia diambil inspirasi daripada burung Phoenix yang bangkit selepas kegagalan.

“Nama itu diperoleh ketika saya menyertai perlawanan pertama. Saat itu, saya hanya tahu bakal beraksi dua hari sebelum tarikh perlawanan, jadi saya tidak bersedia apa-apa, baik dari segi kostum dan karakter. Kemudian, jurulatih Shaukat mengilhamkan nama Phoenix.

“Lama-kelamaan, saya rasa maksud nama Phoenix sangat dekat dengan diri. Phoenix ialah burung yang mati dan bangkit balik dari abu. Sama seperti perjalanan saya dalam sukan gusti ini yang ada naik dan turun. Begitupun, saya akan sentiasa bangkit seperti burung Phoenix,“ katanya penuh semangat.

Apabila sudah popular, segenap hal peribadi akan dikorek. Kisah Nor Diana yang bergelar pembantu klinik telah tular sekitar tahun 2019.

AHLI GUSTI SEPENUH MASA

Namun, kata empunya diri, beliau terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti demi memberi tumpuan menjadi ahli gusti sepenuh masa.

Iklan

Menjadikan Charlotte Flair sebagai idola, Nor Diana mahu menjadi seperti individu tersebut yang terkenal dengan kesungguhan ketika menjalani latihan.

Berdasarkan jadual diatur, beliau akan memperuntukkan sekurang-kurangnya lima hingga enam jam sehari dalam lima hari seminggu untuk berlatih.

“Saya juga pergi ke gim. Selain itu, saya amat menitikberatkan soal pemakanan dengan mengikuti program saintifik, membuat regangan dan ‘paksa diri‘ untuk sentiasa berlatih.

“Soal penat, usah ditanya tetapi itulah pengorbanan jika kita mahu berjaya. Tiada kejayaan yang datang bergolek, andai tidak disusuli dengan usaha keras,“ ujarnya.

Tirai wawancara kami ditutup dengan pesanan ringkas daripadanya. Ungkap Nor Diana, hadir dalam bidang yang jarang ‘ditembusi‘ wanita bukan sebab untuk dirinya mendabik dada.

“Tidak wujud istilah itu, saya cuma berharap kehadiran dan penglibatan sana dalam sukan gusti dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana untuk lebih berani dan terus mengejar impian. Kena percaya pada diri sendiri, insya-ALLAH, usaha yang digembeleng akan berjaya dengan izin-NYA,“ kata Nor Diana.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan