MAJLIS Istiadat perkahwinan diraja puteri diraja Brunei, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah yang berlangsung bermula 16 Januari hingga 25 Januari 2022 menjadi perhatian dunia.

Majlis penuh adat istiadat anakanda kesembilan Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah itu meraih sorotan media seantero dunia.

Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah mendirikan rumah tangga dengan Yang Amat Mulia Pengiran Suami Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dalam majlis yang gilang gemilang, penuh adat istiadat Brunei.

Majlis penuh sejarah itu turut disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui platform digital dan elektronik.

Berikut fakta menarik dan foto sekitar majlis penuh gilang-gemilang yang berlangsung selama 10 hari itu.

16 Januari : Majlis Istiadat Bersuruh Diraja
-Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke istiadat itu bersama paduka-paduka anakanda dan adinda. Majlis Istiadat Bersuruh Diraja memulakan Istiadat Perkahwinan Diraja.

17 Januari : Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga dan Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga

Dalam menyemarakkan lagi Istiadat Perkahwinan Diraja, sebagaimana tradisi yang lazimnya diamalkan sejak zaman-berzaman dalam masyarakat Negara Brunei Darussalam, Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga diadakan.

 

18 Januari : Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja juga Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja
-Pasangan mempelai diraja ditunangkan dalam majlis yang dihiasi dengan alat-alat kebesaran, yang mencerminkan keunikan juga kekayaan tatasusila dan kebesaran adat istiadat diraja Brunei.

Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, yang memangku Istiadat Perkahwinan Diraja bagi Pengantin Diraja Lelaki.

 

19 Januari : Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja
-Majlis penuh adat istiadat dan gilang-gemilang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.
-Pengantin Diraja mengukir senyuman manis ketika Paduka Seri Baginda  dan Paduka Seri BagindaRaja Isteri berkenan menculiki Bedak Diraja.
-Majlis Istiadat Berbedak pengantin diraja Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi berlangsung secara berasingan di tempat yang sama.

 

20 Januari : Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja
Dengan sekali lafaz, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah bergelar isteri kepada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dalam majlis yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

 

23 Januari : Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja
Majlis persandingan berlangsung dengan penuh adat istiadat. Istiadat gilang-gemilang itu berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam pada Ahad.

Baca juga: Terkini dan kontemporari, busana indah mempelai diraja Brunei rupanya direka Bernard Chandran

Iklan

Mempelai diraja bersama Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sultan Brunei menapakkan tangan pengantin lelaki ke atas jemala anakandanya sambil diiringi selawat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan Pehin Datu Seri Maharaja Ustaz Awang Abdul Aziz Juned.

 

24 Januari : Majlis Persantapan Diraja
-Majlis berlangsung di Balai Persantapan, Istana Nurul Iman.
-Terpancar kegembiraan dan keceriaan mempelai diraja, melambai sambil tersenyum mesra kepada tetamu yang hadir, sama cantik sama padan berjalan seiringan.


Iklan

 

25 Januari : Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga

Ucapan sembah tahniah dirafakkan ke hadapan mempelai diraja, Yang Amat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi, semoga kedua mempelai diraja berbahagia selama-lamanya.

Baca juga: Kakanda Putera Mateen, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Bakal Bernikah 20 Januari, Majlis Berlangsung 10 Hari

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Jabatan Penerangan Brunei Darussalam