TEMASYA sukan olimpik ialah sukan yang dinanti-nantikan. Sukan yang berlangsung empat tahun sekali ini adalah sukan paling prestij dan dinanti-nantikan. Majlis pembukaan juga akan diadakan dengan gilang gemilang dengan pelbagai acara dan kejutan.

Bagi tahun Sukan Olimpik 2020, Tokyo menjadi tuan rumah. Ia sepatutnya berlangsung Mac 2020 namun terpaksa dijadualkan semula akibat penularan wabak Covid-19 di negeri matahari terbit itu. 99 hari lagi acara sukan gilang gemilang ini akan berlangsung selama 16 hari bermula 23 Julai sehingga 8 Ogos.

Penonton antarangsa disekat masuk ke Jepun

Sebelum ini Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan penonton antarabangsa disekat daripada masuk ke Jepun untuk menyaksikan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik. Tiket-tiket Sukan Olimpik dan Paralimpik yang dibeli oleh warga asing daripada Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dikembalikan.

Keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira faktor keselamatan setiap peserta serta rakyat Jepun.

“Sebagaimana semua peminat Olimpik di seluruh dunia, kami juga kecewa, dan pastinya begitu juga rakan atlet serta kaum keluarga mereka, yang sudah lama merancang untuk menyaksikan temasya sukan berkenaan secara dekat.

“Kami amat memohon maaf, kita tahu ini adalah pengorbanan besar bagi semua orang. Kami telah mengatakan sejak awal pandemik lagi, bahawa ia akan memerlukan pengorbanan.”

“Kami juga mengatakan bahawa prinsip pertama adalah keselamatan. Setiap keputusan yang diambil perlu terlebih dahulu menghormati prinsip keselamatan. Saya tahu bahawa negara Jepun dan negara rakan tidak membuat kesimpulan ini dengan sewenang-wenangnya,”
kata presiden IOC, Thomas Bach, dalam kenyataan kepada sebuah portal berita Mac lalu.

Larian obor

Hari ini genap 99 hari lagi Tokyo 2020. Upacara tradisi larian obor yang dimulakan semalam lalu sekali gus menjawab desas desus tentang pembatalan acara sukan berprestij sebelum ini. Larian obor yang bermula dari Fukushima dijadualkan berakhir di Tokyo 23 Julai nanti.

10 info menarik Tokyo 2020

Berikut ialah 10 info menarik tentang penganjuran Olimpik Tokyo 2020;

1. Temasya Olimpik Tokyo 2020 bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

2. Stadium Olimpik kali ini dibina di premis yang sama dengan stadium utama Olimpik Tokyo 1964.

3. Terdapat lima acara baru yang bakal diperkenalkan dalam olimpik kali ini iaitu karate, sukan mendaki, luncur air, papan luncur dan besbol.

4. Keseluruhan 33 sukan akan dipertandingkan di Tokyo 2020.

5. 9 acara berpasukan campuran yang baru akan dipertandingkan di Tokyo 2020 iaitu judo, triathlon, larian berganti-ganti 4x400m , memanah, ping-pong, menembak (10m Air Rifle Mixed Team, 10m Air Pistol Mixed Team dan Trap Mixed Team) dan berenang (4x100m).

6. Bentuk obor juga direka seakanbentuk bunga sakura dan cherry blosson yang sinonim dengan masyarakat Jepun.

7. Acara Olimpik dan Paralimpik bakal berlangsung di 43 lokasi berbeza.

Iklan

8. Bola sepak dan besbol dijadualkan berlangsung sebelum tarikh pelancaran iaitu seawal 21 Julai.

9. 5,000 medal Olimpik yang bakal dikalungkan kepada pemenang adalah hasil kitar semula daripada telefon bimbit lama.

10. Pakaian pembawa obor sebahagian daripada diperbuat daripada botol plastik yang dikitar semula.

Rekod dunia yang belum dipecahkan

Berikut adalah antara rekod-rekod dunia yang masih belum dapat dipecahkan. Adakah ia bakal diperbaiki di Tokyo 2020?

1. Acara 100m lelaki dengan rekod dunia 9.58 saat dipegang oleh atlet Jamaica, Usain Bolt pada 2009.

2. Acara 100m wanita rekod dunia 10.49 saat dicatat oleh atlet Amerika Syarikat Florence Griffith-Joyner pada tahun 1988.

Iklan

3. Rekod dunia lompat tinggi wanita iaitu 2.09m dipegang atlet Bulgaria Stefka Kostadinova pada 1987.

4. 2 jam 1 minit dan 39 saat ialah rekod dunia bagi acara marathon lelaki dipegang Eliud Kichoge, atlet dari Kenya pada 2018.

Siapa Miraitowa?

Setiap kali Olimpik, korang mesti perasan kehadiran maskot yang comel. Ia seringkali dicipta daripada simbolik negara tuan rumah. Untuk Tokyo 2020, Miraitowa ialah maskot yang membawa imej Jepun di mata dunia.

Miraitowa (depan) bersama maskot paralimpik, Someity.

Ia menggayakan dengan corak Ichimatsu Ai (biru indigo) dari lambang Tokyo 2020, sebagai simbolik kepada tradisi yang dihormati dan inovasi moden budaya Jepun. Nama Miraitowa didasarkan pada kata-kata Jepun “mirai” yang bermaksud masa depan manakala “towa” yang bermaksud keabadian.

Miraitowa mempunyai keperibadian yang diilhami oleh peribahasa Jepun, “belajar dari masa lalu dan kembangkan idea baru”.

Miraitowa berpewatakan ceria dan hebat dalam sukan dan mempunyai rasa integriti yang kuat. Ia mempunyai kekuatan khas untuk melakukan teleport dengan segera ke mana sahaja yang diinginkan.

Sumber: tokyo2020.org