JIKA di Malaysia, kita ada drama Melayu, kalau di Korea pula digelar K-Drama dan di Indonesia ia digelar sinetron.

Drama dari negara seberang, sinetron sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malaysia dan Indonesia dikatakan sebagai serumpun terutamanya persamaan dari segi bahasa dan budaya yang seakan serupa.

Oleh sebab itu suatu ketika dahulu, rancangan sinetron dari Indonesia yang ditayangan di negara ini pernah melekat di hati rakyat Malaysia, walaupun ada yang mengatakan sebahagian jalan ceritanya lebih kurang sama.

Mana tidaknya, di era awal tahun 2000, drama sinetron seperti Bawang Putih Bawang Merah, Mutiara Hati, Malin Kundang, Olivia dan banyak lagi sering ditunggu-tunggu setiap hari walaupun jalan ceritanya mempunyai episod yang sangat panjang.

Namun, sehingga ke hari ini, sinetron dan penyuntingan lucu memang tidak boleh dipisahkan. Banyak babak dari drama Indonesia yang tular di media sosial saban hari hanya gara-gara penyuntingan yang tidak kemas atau profesional.

Walaupun kualiti sinetron sering dijadikan bahan ketawa, ia tetap digemari ramai kerana jalan cerita dan lakonan yang dramatik dan penuh dengan plot twist yang tidak disangka-sangka.

Terbaru, satu klip pendek dari sebuah sinetron telah membuat ramai geli hati kerana jalan ceritanya yang tidak disangka-sangka ada dalam salah satu babak.

Babak tersebut adalah seorang wanita dilihat sedang koma sementara suami dan anaknya dilihat bersedih serta risau akan keadaan tersebut.

Iklan

Namun, apa yang mengejutkan ramai penonton, dalam rakaman babak itu kelihatan si anak memberikan idea kepada bapanya supaya ibunya akan segera sedar daripada koma.

Idea kanak-kanak perempuan itu adalah dengan berjoget menggunakan aplikasi TikTok kerana ibunya gemar melakukan perkara tersebut.

Maka ayahnya akur dan menurut segala kehendak anaknya dan mereka berdua berjoget serta membuat video dengan menggunakan aplikasi tersebut.

Iklan

Apa yang memeranjatkan ramai, sungguh tidak disangka, ibunya yang sedang koma itu akhirnya terjaga sedang kedua-dua mereka sedang asyik berjoget.

“Kok kalian joget TikTok ngak ajakin ibu,” kata si ibu sebaik sahaja sedar dari koma.

Perkongsian babak sinetron ini telah meraih lebih 445.7 ribu tontonan dan 10,800 retweets serta 3,500 tanda suka.