TUBUH budak sebesar manalah sangat… Namun demikian, semangat ada pada kanak-kanak lelaki ini amat dikagumi warganet serata pelosok yang mengetahui akan kemurnian jiwanya.

Bridger Walker, seorang budak lelaki 6 tahun yang berani dari Wyoming, Amerika Syarikat (AS) mendapat pengiktirafan di media sosial setelah kisahnya dikongsikan oleh pelakon terkenal AS, Anne Hathaway kerana menyelamatkan adiknya dari serangan anjing.

Tragedi berlaku pada 9 Julai itu dikatakan terjadi ketika Bridger dengan beraninya menyelamatkan adik perempuannya yang berusia 4 tahun daripada serangan tragis haiwan itu, lapor CNN.

Begitupun, semasa melindungi adiknya itu, dia pula diserang dengan kejam oleh anjing berkenaan.

Tragisnya, Bridger tidak dapat melarikan diri menyebabkan anjing itu menerkam dan mencakar pipinya.

Akibat kejadian, menurut keluarganya, kanak-kanak lelaki itu terpaksa menjalani pembedahan selama dua jam yang memerlukan lebih daripada 90 jahitan.

Agak menyentuh hati, ketika ayahnya bertanya kepadanya mengapa dia ‘melompat’ bagi menyelamatkan adik perempuannya yang cuba diserang anjing itu, dia dikatakan telah memberitahu, “jika seseorang harus mati, saya fikir seharusnya orang itu saya,” lapor kenyataan itu.

Iklan

Perkongsian Bridger bahawa dia adalah peminat Avengers, antara yang menarik perhatian Anne Hathaway.

“Saya bukan Avenger, tetapi saya mengenali ‘superhero itu’ (Bridger) ketika melihatnya,” tulis Hathaway di Instagram peribadinya bersama foto Bridger dan adiknya.

“Saya berharap, saya juga berani dalam hidup seperti kamu, Bridger. Semoga kamu cepat pulih,” nukilnya lagi di posting nya.

Iklan
Anne Hathaway

Pelakon ternama itu masih belum memberikan komen secara terbuka, tetapi catatan beliau telah mengumpulkan lebih daripada 1 juta tanda ‘Like’ dan ribuan komen yang memuji budak lelaki itu.

Keluarga itu juga mengatakan Ruffalo, Tom Holland, Hugh Jackman, Zachary Levi, saudara Russo dan Robbie Amell adalah antara mereka yang menghubungi mereka.

“Semoga kita mengikuti teladan kisah Bridger. Mempelajari sesuatu daripada anak kecil pun siapa sangka boleh membawa kesejahteraan yang lebih besar buat keluarga, komuniti, negeri dan negara kita sendiri,” kongsi ahli keluarga Bridger dalam kenyataan mereka. ⁣-CNN