Bukan setakat buku, orang pun boleh dipinjamkan. Ini kelainan yang ditonjolkan di The Human Library
LAZIMNYA, pusat sumber atau perpustakaan sebagai tempat untuk kita mencari bahan bacaan sama ada sebagai memenuhi tugasan sekolah atau sekadar hobi semata-mata.
Jika pernah berkunjung ke Perpustakaan Negara, terdapat lebih 4 juta koleksi bercetak, tidak bercetak, naskhah manuskrip dan bahan digital.
Malah, capaian mudah melalui katalog bahan menerusi http://opac.pnm.gov.my sahaja bagi mencari atau menempah buku secara online.
Pendek kata, boleh dikatakan mana-mana perpustakaan yang terdapat dalam negara berfungsi sebagai pusat ilmilah dan bahan bacaan kepada orang ramai.
Pun begitu, percaya atau tidak, sebuah perpustakaan di Copenhagen, Denmark yang dikenali dengan nama The Human Library menawarkan servis yang lain daripada lain sekali gus membuatkan ramai kagum.
Lapor kompas.com, perpustakaan yang diasaskan seorang warganegara Denmark, Ronni Abergel itu menjadi sebutan ramai kerana inisiatif yang dikatakan luar biasa.
Mana tidak, bukan setakat buku, orang pun boleh dipinjam untuk berkongsi pandangan, kisah peribadi ataupun berbincang topik tertentu.
Selama tempoh 30 minit, individu yang ‘dipinjamkan’ akan berhujah mengenai sesuatu isu atau berkongsi pengalaman hidup.
Antara isu yang boleh dibincangkan adalah seperti kesihatan mental, gangguan seksual, fahaman agama, sejarah hitam, sama ada penagihan dadah mahupun isu dalaman lain.
Biasanya, individu terbabit yang ‘dipinjamkan’ untuk perbincangan kelompok kecil secara santai supaya masing-masing boleh menitipkan inspirasi dan input yang boleh dijadikan iktibar bersama.
Dalam laporan tersebut, memetik kata Abergel, The Human Library menjadi wadah tanpa prejudis untuk orang ramai memahami perbezaan atau pemikiran antara satu sama lain.
“Inisiatif perpustakaan itu untuk menjadikan orang ramai lebih bersikap terbuka, memahami dan menerima hak perbezaan masing-masing.
“Pendekatan ini juga sebagai ruang pembelajaran secara semula jadi supaya orang boleh melihat dari perspektif berlainan supaya kita boleh belajar tentang diri sendiri dan orang lain,” katanya.
Rata-rata individu yang menjadi bahan pinjaman itu juga merupakan penulis buku kisah hidup masing-masing yang dibukukan di perpustakaan tersebut.
Malah, terdapat kisah rare yang dialami penulis menjadi tumpuan pengunjung untuk mengetahui lebih mendalam.
Barangkali lebih mudah untuk berbicara berbanding membaca buku tersebut, pengunjung yang hadir dikatakan boleh menanyakan soalan khusus kepada penulis.
Memang menarik. Bayangkan perpustakaan di negara kita pun turut disediakan servis demikian, rasa-rasanya sesuai atau tidak ya?
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Apapun, konsep pembelajaran dan pengajaran yang ditonjolkan memang unik.
Mungkin kaedah itu membuatkan pengunjung perpustakaan lebih memahami input yang cuba disampaikan penulis terbabit.
Kiranya tidak bosanlah membaca buku biografi tersebut kerana terdapat komunikasi dua hala antara pembaca dan penulis.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang