Bunuh rakan isteri demi wang, pencuri ini berputih mata rupanya barang kemas dicuri palsu

PERBUATAN keji dan tak berhati perut seorang pencuri akhirnya ‘makan’ diri sendiri. Niat mahu menjual barang kemas yang dipakai oleh wanita yang dibunuhnya tidak membuahkan hasil apabila mengetahui bahawa barang kemas tersebut adalah palsu.
Kejadian yang berlaku di Bangkok, Thailand ini disedari oleh seorang nelayan yang kebetulan melalui kawasan itu dan menemui sekujur tubuh wanita yang sudah tidak bernyawa pada 10 malam, 24 Februari yang lalu.
Siasatan polis mendapati, mangsa yang bernama Noi, 63, dipercayai meninggal dunia akibat dijerut dengan tali pinggang berwarna merah. Ketika kejadian, Noi memakai seluar pendek denim, kemeja lengan panjang berwarna putih dan anting-anting emas.
Berikutan kejadian tersebut, penduduk sekitar memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka ternampak sebuah teksi ulang alik di kampung mereka pada malam tersebut. Katanya, teksi jarang masuk ke kampung mereka kerana majoriti penduduk menggunakan kenderaan persendirian untuk ke mana-mana.
Berdasarkan maklumat berkenaan, polis telah pun memeriksa kamera litar tertutup di kawasan berhampiran namun tidak menemui teksi yang dikatakan itu. Sebaliknya, siasatan lanjut mendapati mangsa membonceng motosikal bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai Pairat pada malam kejadian.
Pegawai penyiasat berjaya menjejaki lelaki berusia 59 tahun itu di sebuah kedai emas. Pemilik kedai memaklumkan barang kemas dibawa oleh Pairat adalah tiruan, dan tidak boleh menjualnya. Polis kemudiannya menahan Pairat di rumahnya pada Selasa, 25 Februari 2025.
Soal siasat terhadapnya akhirnya dia membuka mulut dan mengaku membunuh Noi kerana terdesak mahukan wang kerana masalah kewangan. Noi merupakan rakan baik kepada isterinya. Mangsa pernah meminta pertolongan Pairat dan isterinya untuk mencarikan jodoh untuknya.

Pairat menggunakan alasan ini dengan mengumpan Noi untuk mengikutnya ke tempat kejadian bagi memperkenalkannya kepada seseorang. Kemudian, dia memaksa Noi menyerahkan barang kemasnya namun apabila wanita itu enggan, dia mencekiknya hingga mati dan mencuri dua bentuk cincin emas serta seutas rantai emas.
Pairat dan isterinya ditahan bagi membantu siasatan. Namun, suspek menafikan isterinya tiada kaitan pembunuhan itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang