Demi cinta terlarang, isteri diceraikan. Lelaki ini hamilkan ibu mentua hingga lahirkan anak

No Image Caption
A
A
A

HANCURNYA hati seorang isteri apabila mengetahui suami yang dicintai mempunyai hubungan sulit bersama wanita lain.

Lebih memilukan orang ketiga itu adalah ibu kandung sendiri. Hubungan terlarang itu lebih mengaibkan apabila wanita tersebut hamil.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Taccampu, Desa Abbanuange, Kecamatan Lilirilau, Kabupaten Soppeng, Indonesia.

Lebih mengejutkan, lelaki yang dikenali sebagai BR itu kemudian bertindak mengahwini ibu mentuanya, FR yang berusia 36 tahun.

Ketua Desa Abbanuange, Buhari, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak keluarga telah berdamai selepas satu pertemuan dan persetujuan dicapai.

“Memang benar menantu itu telah menghamilkan ibu mentuanya, tetapi kes ini sudah lama berlaku. Kedua-dua pihak telah berdamai selepas anak pasangan itu dilahirkan,” katanya kepada media tempatan pada Rabu.

Difahamkan, BR terlebih dahulu menceraikan isterinya, AL yang berusia 21 tahun, sebelum mengahwini ibu mentuanya mengikut syarat yang ditetapkan oleh pihak keluarga wanita.

“Dia telah menceraikan isterinya dan perkara ini diselesaikan secara kekeluargaan. Keadaan juga sudah reda,” tambah Buhari.

No Image Caption



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Soppeng, AKBP Aditya Pradana, mengesahkan bahawa kes tersebut melibatkan hubungan antara BR dan FR yang merupakan seorang janda selepas kematian suaminya.

Menurut beliau, pihak polis bersama Unit Siasatan Jenayah dari Balai Polis Lilirilau telah menjalankan siasatan rapi dan keluarga wanita tersebut memilih untuk tidak memperbesarkan isu berkenaan.

Kes tersebut menarik perhatian ramai selepas ia tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan serta sikap terbuka keluarga menyelesaikan isu itu secara damai.

No Image Caption



Dalam Islam, perkahwinan antara seorang lelaki dengan ibu mentuanya tidak sah sama sekali kerana hubungan tersebut termasuk dalam kategori mahram muabbad, iaitu haram dinikahi selama-lamanya.

Menurut penceramah bebas, Ustazah Asma' Harun, sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Dr. Mustafa al-Khin dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, mahram terbahagi kepada dua:

1. Mahram muabbad (selama-lamanya) – haram dinikahi buat selama-lamanya.

2. Mahram muaqqat (sementara) – haram dinikahi buat sementara waktu sahaja.

Antara contoh mahram muabbad:

- Disebabkan keturunan: ibu, nenek dan ke atas.

- Disebabkan perkahwinan (musaharah): ibu mentua, walaupun sudah bercerai atau pasangan meninggal dunia.

- Disebabkan susuan: adik-beradik susuan.

Manakala mahram muaqqat adalah mereka yang hanya dilarang dinikahi buat sementara. Contohnya, saudara perempuan isteri yang hanya boleh dinikahi selepas perceraian atau kematian isteri tersebut.

Kes sebegini menjadi peringatan penting tentang batasan hubungan dalam keluarga serta keperluan menjaga ruang peribadi, terutama apabila tinggal bersama mentua atau ipar. Walaupun ada isu diselesaikan secara damai, aspek hukum tetap tidak boleh diabaikan.

Sumber : Sinar Harian, Ustazah Asma' Harun



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang