Isteri bergurau picit jerawat pada hidung, suami pergi selamanya akibat jangkitan otak
SIAPA sangka hanya memicit jerawat boleh meragut nyawa. Jangan main-main, kisah menyayat hati dari negara jiran Indonesia yang tular di media sosial ini menjadi peringatan besar buat orang ramai agar tidak mengambil remeh jerawat yang tumbuh kawasan hidung hingga ke bucu hujung bibir kiri dan kanan.
Menerusi sebuah video tular, kisah benar suami isteri yang merupakan pasangan perkahwinan jarak jauh (PJJ) ini boleh dijadikan iktibar.
Hanya pulang setiap tiga bulan, wanita berkenaan bergurau dengan suaminya tentang jerawat yang tumbuh pada hidung lelaki itu.
"Suami mengeluh kerana jerawat tak hilang-hilang di bahagian hidung, tapi aku beritahu nanti juga sembuh.
"Selepas itu, sebab suamiku suka mengusik dan menggeletek, jadi saya saja-saja memicit jerawatnya kerana ada beberapa yang nampak merah.
"Jadi kerana niat membalas kenakalan suami, aku terus berkata dengan nada bergurau, “Ke sini aku picit saja jerawatnya, nanti juga kempis, tak sakit lagi.”
"Suamiku ketawa berkata ia menyakitkan namun akhirnya membiarkan saya memicit satu jerawat," kongsinya
Pasangan berkenaan kemudian tidur dan keesokannya sang suami mula demam dan pening kepala.
"Saya panik dan berinya ubat biasa. Beberapa hari kemudian demamnya masih tinggi dan kami ke hospital. Peliknya kawasan hidung nampak bengkak dan merah.
"Suami selalu mengadu pening dan sakit hingga ke bahagian belakang kepala, suhu demamnya semakin tinggi. Selepas diperiksa, hasil makmal doktor mendapati di bahagian dalam hidung ada darah yang membeku, jadi perlu rawatan intensif selama seminggu," kongsinya.
Susulan itu, doktor yang merawat mencadangkan lelaki berkenaan segera dibedah kerana berlaku pendarahan teruk hingga ke salur darah otak.
"Saya ditanya sama ada sebelum ini pernah memicit jerawat di kawasan segi tiga kematian atau The Danger Triangle. Saya terus diam membisu kerana betul beberapa kali saya memicit jerawat suami kerana kami fikir itu akan cepat menghilangkan jerawat dan kami anggap itu perkara biasa," kongsinya.
Doktor mejelaskan bahawa sebenarnya kawasan hidung adalah kawasan sensitif. Kawasan segitiga kematian tidak boleh sembarangan dipicit jerawatnya.
"Itu menjadi salah satu punca salur darah otak suamiku mengalami pendarahan. Di situ saya menangis semahu-mahunya hingga hampir pengsan, fikiran kacau dan rasa sangat bersalah.
"Selepas dibedah, dua hari kemudian suamiku disahkan meninggal dunia. Seketika itu aku pengsan, dunia seakan berhenti.
"Semoga boleh dijadikan pengajaran, lebih baik cari tahu dulu dan ditangani dengan betul, jangan sebarangan. Mohon doa untuk suamiku, semoga tenang di sana," titipnya.
Awas Cavernous Sinus Thrombosis meragut nyawa
Menurut Public Health Malaysia (PHM), The Danger Triangle of the Face merangkumi segi tiga yang mana bucu atas di pangkal hidung (antara dua mata) mana dua bucu bawah di hujung bibir kiri dan kanan.
Struktur saluran darah di bahagian berkenaan sangat unik dan bahaya dan vena kawasan hidung dan mulut ini bersambung terus ke satu kawasan di dalam otak yang dipanggil Cavernous Sinus.
"Apa yang menakutkan, injap dalam saluran darah ini sangat lemah atau tiada langsung (valveless veins).
"Ini bermaksud, darah (dan kuman) boleh mengalir balik terus ke dalam otak tanpa halangan.
"Apabila anda picit jerawat atau cabut bulu hidung secara kasar di kawasan ini sehingga berdarah atau luka, bakteria dari tangan kotor masuk ke dalam luka, bakteria dalam darah boleh terus ke otak dan ia boleh menyebabkan Cavernous Sinus Thrombosis (darah beku dalam otak), meningitis (radang selaput otak) atau abses otak," titip PHM.
Antara simptomnya adalah demam panas, sakit kepala melampau, mata bengkak, dan dalam kes terpencil yang serius, kematian.
Kepada individu yang ada jerawat di kawasan segi tiga ini dinasihatkan untuk:
- Jangan picit. Letak ubat jerawat atau pimple patch sahaja.
- Kalau hendak potong bulu hidung, gunting sedikit sahaja. Jangan cabut sampai ke akar (luka dalam hidung sangat berbahaya).
Ingat, jerawat tidak akan membunuh, tetapi kuman yang masuk ke dalam otak boleh membawa padah. Biar jerawat tumbuh buat sementara waktu asalkan nyawa selamat.
Sumber: TikTok, Public Health Malaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
