BARU-BARU ini kes pembunuhan melibatkan pasangan suami isteri kerap benar dilaporkan oleh media. Kebanyakannya pula melibatkan kes penderaan dan juga cemburu buta.

Namun, lain pula yang berlaku di negara kejiranan Thailand apabila seorang lelaki dilaporkan nekad menembak mati dua isterinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam satu kejadian mendebarkan di sebuah kondominium di pusat bandar Muang, Thailand.

Memetik laporan agensi, Sumet Krongwong, 25, dan dua isterinya, Anada Piyarakatan, 18, dan Wichuda Siamsak, 22, ditemui mati dengan luka tembakan di kepala di bilik tidur kondominium mereka.

Kejadian tragis itu berpunca apabila terdapat dakwaan suspek menipu 20 individu berkaitan jual beli nombor plat kenderaan bernilai jutaan baht.

Mereka dituduh melakukan jenayah itu dengan membuka laman web yang mengiklankan nombor plat kenderaan yang menarik untuk dijual.

Menurut sumber, ramai pelanggan dilaporkan telah memindahkan wang kepada mereka tetapi tidak menerima nombor plat seperti apa yang telah dijanjikan dan mendakwa ketiga-tiga mereka adalah scammer.

Sebaik menerima laporan, pihak polis Thailand telah bertindak dengan menyerbu kediaman suspek pada Rabu lalu dengan waran tangkap dan meminta ketiga-tiga mereka menyerah diri.

Difahamkan, waran tangkap ke atas mereka itu juga rasminya telah dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Phra Khanong di Bangkok.

Namun, suspek tidak memberikan kerjasama dan enggan menyerah diri, malah mengugut membunuh diri dan seluruh keluarganya termasuk anak perempuan berusia tiga tahun.

Pada keesokan malamnya (Khamis), empat tembakan dilepaskan dari dalam rumah yang dipercayai bertujuan sebagai amaran agar pihak berkuasa menjauhkan diri.

Polis membuat keputusan untuk tidak masuk ke dalam rumah kerana bimbang Sumet akan bertindak mencederakan diri atau isteri-isterinya.

Iklan

Sekitar jam 2 pagi pada Jumaat, polis bertindak dengan melancarkan dron untuk memeriksa keadaan suspek menggunakan imbasan suhu jarak jauh, sebelum bertindak menyerbu masuk.

Malangnya, setelah polis berjaya memecah masuk, ketiga-tiga suspek didapati sudah tidak bernyawa.

Didakwa scammer no plat, suami nekad bunuh dua isteri sebelum membunuh diri!

Iklan

Sumet juga meninggalkan sekeping nota yang memberitahu dia telah menggunakan pistol bersaiz 9mm untuk menembak kedua-dua isteri dan dirinya sendiri.

Ketiga-tiga mereka mati di tempat kejadian.

Sumber : pattayaone