Dikecam netizen anggap Charles & Keith item mewah, pengasas brand ajak jumpa, siap beri hadiah lagi!

GARA-GARA memuat naik rakaman yang memaparkan keterujaannya memiliki sebuah beg tangan yang disifatkannya berjenama, seorang remaja wanita menjadi trauma.

Ini kerana warga maya memperlekehnya kerana berpendirian jenama berkenaan hanya biasa-biasa sahaja. Bukan tergolong dalam jenama mewah pun.

Melihat situasi itu, Zoe Gabriel, 17, terpaksa membuat satu lagi video untuk menerangkan kepada orang ramai mengapa beliau menggelar Charles & Keith sebagai beg tangan mewah.

Beritahu Gabriel, beliau tidak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang berkemampuan.

“Keluarga saya tak mempunyai banyak duit dan kami tak berkemampuan untuk beli barangan baharu seperti mahu membeli sebuku roti.

“Mungkin bagi kalian, beg berjumlah RM251 atau SGD80 bukanlah jenama mewah, tetapi bagi kami ia adalah satu nilai yang besar dan mahal,” katanya dengan nada sebak dan mata berkaca apabila sesetengah netizen mempersoalkan itu dan ini.

Menerusi rakaman itu juga, Gabriel turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada bapa tersayang kerana dapat menunaikan impian untuk memiliki beg tangan tersebut setelah beberapa kali menginginkannya.

Kata pepatah, tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.

Rupa-rupanya video tersebut berjaya mendapat perhatian jenama berkenaan.

Memetik laporan The Straits Times, wakil syarikat berkenaan memberitahu, cara Gabriel mengendalikan situasi itu sungguh matang.

Perkara itu yang membuatkan mereka terpanggil untuk mendekati anak gadis tersebut.

“Pengasas kami percaya bahawa matlamat produk yang dihasilkan adalah untuk memberi kebahagiaan, mampu memperkasakan fesyen dan secara tidak langsung mendatangkan keyakinan kepada mereka.

“Melihat video yang dimuat naik gadis itu, kami dapat melihat bahawa tujuan produk itu berjaya disampaikan dan kami amat berterima kasih,” katanya ketika dihubungi Straits Times menerusi e-mel.

Rentetan itu, pengasas jenama berkenaan, Charles dan Keith Wong telah menjemput Gabriel bersama bapanya untuk menghadiri undangan makan tengah hari bersama-sama.

Bukan itu sahaja, anak gadis itu juga berpeluang melawat ibu pejabat Charles and Keith dan dapat melihat proses di sebalik tabir perniagaan tersebut.

Iklan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by zoe gabriel (@zoeaaleah)

Mengabadikan momen-momen gembira itu, Gabriel memuat naik gambar di laman sosial, Instagram miliknya dengan kapsyen: “Kami berasa sungguh teruja kerana diberi peluang untuk melawat ibu pejabat @charleskeithofficial dan dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenainya.”

“Ia sangat mengujakan dan paling penting semua orang sangat baik. Akhirnya kami berpeluang untuk duduk bersama-sama Keith untuk mengenali syarikat mereka dengan lebih dekat. Terima kasih kepada semua yang telah menunjukkan sokongan, tanpa kalian, kami tidak berada di sini.”

Difahamkan remaja berkenaan bukan sahaja menerima baucar daripada Charles & Keith, tetapi perniagaan lain seperti Takagi Ramen turut memberinya baucar makanan RM251 kepadanya.

Iklan

SinarPlus ingin mengingatkan orang ramai bahawa bukan semua orang dilahirkan dalam keluarga yang berkemampuan untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.

Baca juga:“Ingatkan bawa beg tangan, rupanya…” Video wanita bela kelawar besar raih 34 juta tontonan

Baca juga: Memang mengujakan! Carlo Rino tampil siri monogram pada beg tangan, sandal, sneaker dan pemegang telefon

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi