JENAMA fesyen terkemuka Balenciaga kembali ‘buat hal’ dan kejutan apabila melancarkan koleksi terbaharunya yang dikenali sebagai Trash Pouch.

Menerusi laporan New York Post, beg yang dikatakan ilham daripada ‘beg sampah’ itu dijual dengan harga $1,790 (RM7,977).

Trash Pouch merupakan sebahagian daripada koleksi Ready-To-Wear musim sejuk yang dilancarkan pada pertunjukan Paris Fashion Week Balenciaga pada Mac 2022.

Malah, selebriti terkenal Kim Kardashian turut memuat naik di dalam laman rasmi Instagramnya mengenai produk terbaharu itu.

Tidak pasti ia berbentuk sindiran atau sebaliknya, Kim berkata, Trash Pouch tersebut merupakan beg sampah paling mahal yang pernah diterimanya.

Baca ni: [VIDEO] ‘Pergi haji atau ke New York Fashion Week?’ Gelagat jemaah wanita balik dari Tanah Suci ‘melaram’ dalam pesawat raih perhatian!

PLASTIK BIASA

Kalau dilihat dari segi rekaan, beg tersebut diperbuat daripada kulit berkilat yang menggantikan plastik biasa.

Ia dikeluarkan dalam empat warna iaitu hitam, putih, kuning dan biru.

Tali guni telah digunakan pada beg berkenaan dan ia dikatakan merupakan simbolik kepada label Balenciaga.

Sementara, pada bahagian bawah beg pula memperlihatkan cop yang menandakan beg tersebut dihasilkan di Itali.

Barangkali terserah kepada mata yang memandang, ada yang mengatakan apa yang dihasilkan adalah satu bentuk fesyen dan gaya, namun ramai yang berpendapat sebaliknya.

Meskipun beberapa kali mencetuskan kontroversi, jenama mewah yang berasal dari Sepanyol itu menjadi pilihan anak muda daripada golongan berada.

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan, nama Balenciaga turut popular menerusi media sosial.

Ini kerana tidak hanya disebabkan harga produknya yang tidak masuk akal, malah rekaannya juga dianggap ‘keterlaluan’, ‘sangat mudah’ dan tidak setaraf dengan kemewahan label itu sendiri.

SKANDAL FESYEN

Dalam pada itu, Pengarah Kreatif Balenciaga, Demna Gvasalia berkata, penghasilan produk sedemikian bukanlah satu kesalahan.

Beliau tetap mempertahankan idea tersebut dan mengakui enggan melepaskan peluang untuk menghasilkan beg sampah paling mahal di dunia.

“Saya tidak boleh melepaskan peluang untuk menghasilkan beg sampah paling mahal di dunia, kerana siapa yang tidak suka dengan skandal fesyenkan?,” soalnya.

Berdasarkan rekod, Balenciaga sebelum ini dikatakan pernah menampilkan rekaan beg guna semula seperti beg Ikea.

Bukan itu sahaja, mereka juga pernah dikaitkan dengan beg menyimpan toto yang terkenal suatu masa dahulu.

Nampaknya setiap kali muncul dengan rekaan terbaru, jenama fesyen yang ditubuhkan pada tahun 1919 itu tidak lari daripada terus ‘buat hal’.

Sumber: Runway magazines. com  

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan