DULU bawang dan sekarang, lemon, limau, jeruk dan kentang merah…

Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat telah mengumumkan penarikan semula secara sukarela produk oleh Freshouse II LLC kerana kemungkinan pencemaran bakteria Listeria.

Penarikan semula dikeluarkan setelah Freshouse menemui Listeria monocytogenes di sebuah peralatan di salah satu kemudahan pembungkusannya, menurut kenyataan di laman web FDA.

Presiden Freshouse Jamey Friedman dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya secara sukarela mengeluarkan penarikan ini.

“Kita sendiri mahu mengelakkan risiko kepada kesihatan awam,” katanya.

Menurutnya produk yang ditarik balik dihantar terus ke pusat pengedaran peruncit di North Carolina, Pennsylvania, South Carolina dan Virginia serta pemborong di Maryland dan North Carolina.

Produk yang terjejas termasuk limau Freshouse, limau organik Nature’s Promise, kentang merah dan lemon segar serta lemon Wegmans dan jeruk California Valencia.

Maklumat terperinci dan gambar produk yang ditarik balik boleh didapati di sini.
Ini adalah penarikan semula secara sukarela kali kedua untuk bulan ini.

Pada 1 Ogos lalu, FDA memberi amaran kepada pengguna agar tidak memakan bawang merah, putih, kuning dan manis dari Thomson International, Inc. kerana kemungkinan pencemaran salmonela.

Bawang yang dijual di kedai-kedai termasuk Walmart, Kroger dan Publix, menyebabkan 640 orang di 43 negeri dijangkiti salmonela, dengan sekurang-kurangnya 85 orang dimasukkan ke hospital.

Iklan

Untuk lemon, limau, jeruk dan kentang, tidak ada penyakit yang dilaporkan, menurut FDA.

Freshouse mengatakan bahawa mereka telah menghentikan pengeluaran dan pengedaran produk dan terus menilai rejim pembersihan dan sanitasinya.

Menurut FDA, Listeria boleh menyebabkan jangkitan serius dan kadang-kadang membawa maut pada kanak-kanak kecil, orang lemah atau orang tua, dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Iklan
Bakteria Listeria.

Individu yang sihat mungkin hanya mengalami simptom jangka pendek seperti demam tinggi, sakit kepala yang teruk, kekejangan, mual, sakit perut dan cirit-birit.

Bagaimanapun, jangkitan Listeria boleh menjadi sangat tragis bagi mereka yang mengandung dan boleh menyebabkan keguguran serta kelahiran bayi maut dalam kalangan wanita hamil. -CNN

Info:
Listeria adalah infeksi bakteria akibat keracunan makanan. Infeksi ini tidak berbahaya pada individu yang sihat, namun boleh berbahaya pada wanita hamil, lansia dan orang yang sistem kekebalan tubuhnya lemah.