Gunung berapi Krasheninnikov di Rusia meletus pertama kali selepas 600 tahun
GUNUNG berapi Krasheninnikov di Semenanjung Kamchatka, timur jauh Russia dilaporkan meletus buat kali pertama pada malam Ahad lalu.
Memetik laporan akhbar tempatan, letusan itu berlaku selepas tempoh lebih 600 tahun dan turut dikaitkan dengan gempa bumi kuat yang melanda rantau tersebut minggu lalu.
Ketua Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka, Olga Girina berkata, letusan tersebut disahkan sebagai yang pertama dalam sejarah moden bagi gunung berapi setinggi 1,856 meter itu dan memuntahkan debu abu setinggi 6,000 meter selepas letusan.
“Ini adalah letusan pertama yang disahkan dalam sejarah bagi gunung berapi Krasheninnikov dalam tempoh 600 tahun,” katanya kepada agensi berita RIA.
Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi, aliran lahar terakhir Krasheninnikov berlaku sekitar 1463, dengan julat perbezaan 40 tahun dan tiada letusan diketahui selepas itu.
Dalam pada itu, Kementerian Perkhidmatan Kecemasan Russia cawangan Kamchatka dilaporkan berkata, letusan gunung berapi menyebabkan pengeluaran kod penerbangan jingga, menandakan risiko tinggi kepada pesawat.
"Awan debu itu telah bergerak ke arah timur, menuju Lautan Pasifik. Tiada kawasan berpenduduk di laluannya," ujarnya.
Sekadar info, pada Rabu lalu, gegaran bermagnitud 8.8 itu mencetuskan amaran tsunami sehingga ke Polinesia Perancis dan Chile dan diikuti oleh letusan gunung berapi Klyuchevskoy, yang paling aktif di Semenanjung Kamchatka.
Bagaimanapun, amaran tsunami yang dikeluarkan beberapa negara itu telah ditarik balik selepas gelombang yang melanda didapati lebih kecil daripada jangkaan awal.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
