TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah yang tahu. Rezeki terpijak bak kata orang jarang-jarang berlaku itulah yang boleh mengubah nasib hidup seseorang yang daripada hidup miskin hinggalah berharta.

Bercakap mengenai tuah, tiada siapa pun tahu nasib mereka pada masa akan datang. Begitu juga dengan sebuah keluarga nelayan di Thailand yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Betapa bergelutnya mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup pada era pandemik, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Namun, pada suatu hari yang tidak disangka-sangka, hidup mereka berubah sekelip mata.

Menurut laporan au.news.yahoo.com, sebuah keluarga nelayan di wilayah Nakhon Si Thammarat, Thailand bagaikan menang loteri apabila mereka tanpa sengaja menemui mutiara rare yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Ceritanya bermula apabila Hatchai Niyomdecha, 37, melihat cengkerang pelik yang tersangkut pada pelampung hanyut ketika mencari hasil laut di kawasan persisiran pantai wilayah itu bersama adiknya, Worachat Niyomdecha, 35, pada 27 Januari lalu.

Pemuda itu dikatakan menemui tiga cengkerang tersebut dan membawa pulang tanpa mengesyaki apa-apa.

Dalam benaknya, hasil laut yang berjaya diperoleh untuk hidangan anak bini dan keluarga mereka sudah memadai dan cukup menggembirakan.

Kemudian, adik beradiknya itu menyerahkan semua hasil laut termasuk tiram tadi kepada bapanya, Bangmad Niyomdecha, 60, untuk dibersihkan sebelum dimasak, sesuatu yang mengejutkan berlaku.

rare pearls

Apa yang mengejutkan, apabila Bangmad membuka cengkerang ketiga, warga emas itu terkejut apabila menemui mutiara berwarna oren yang dikenali dengan nama mutiara Melo pada saiz cukup besar.

Warga emas itu lantas memanggil isteri dan anak-anaknya untuk melihat mutiara unik seberat 7.68 gram itu sebelum memeriksa nilai pasaran pada keesokan harinya.

Berita mengenai penemuan mutiara berharga itu tersebar luas di kawasan kejiranan mereka dan ramai mengatakan bahawa mutiara yang sangat mahal itu terbentuk daripada siput gergasi yang dinamakan Melo Melo.

Apa yang lebih mengujakan, warga emas itu mengakui dirinya pernah bermimpi didatangi seorang lelaki tua yang tidak dikenali, lengkap berpakaian serba putih dan berjanggut panjang.

rare pearls

Bangmad antara lain memberitahu, lelaki tua dalam mimpinya itu telah memintanya datang ke pantai untuk mendapatkan ‘hadiah’.

“Saya fikir barangkali lelaki itu memberi panduan untuk saya ke sana dan mencari hadiah tersebut.

“Saya mahu menjualnya pada harga paling tinggi. Duit yang dapat nanti bukan sahaja dapat ubah nasib hidup keluarga bahkan ubah takdir,” katanya.

Nelayan tersebut percaya lelaki tua yang muncul dalam mimpinya mungkin dewa yang mahu menolongnya untuk keluar daripada kepompong kemiskinan kerana nilai mutiara rare itu dianggarkan lebih AS$437,000 (RM1,774,875.50).

Iklan

Perihal mutiara itu sudah tular sehinggakan ada ahli perniagaan mahu membelinya pada harga $43,000 (RM174,644.50). Pun begitu, keluarga itu menolak.

Datang pula seorang pengumpul barangan mewah yang cuba menaikkan tawaran harga kepada $218,000 (RM885,407.00) namun keluarga itu masih percaya boleh mendapatkan nilai yang lebih tinggi.

rare pearls

Terkini, dilaporkan seorang pembeli dari China yang menawarkan harga pada $437,000 (RM1,774,875.50) seperti yang diinginkan, tetapi mahu melihatnya sendiri sama ada tulen ataupun tidak.

Pembeli tersebut dilaporkan akan datang ke Thailand pada minggu ini, tetapi perlu berdepan dengan perintah dua minggu kuarantin dan mematuhi beberapa peraturan sebelum boleh ke rumah keluarga nelayan tersebut.

Tumpang gembira juga bila dengar berita baik seperti itu. Harap-harap urusan jual beli berjalan dengan baik dan keluarga itu dapat hidup dengan lebih selesa seperti diinginkan.

Iklan

Barangkali ramai tidak tahu apa itu mutiara Melo. Menurut perkongsian artikel di pearlwise.pro, mutiara Melo mempunyai keunikan tersendiri selain bersaiz jumbo.

Di Myanmar, rakyat di sana memanggil cengkerang siput Melo sebagai cengkerang kelapa kerana bentuknya seperti kelapa.

Apa yang membuatkan mutiara Melo sangat berharga? Selain jarang-jarang ditemui, mutiara semula jadi itu memiliki warna yang sangat rare dan bersinar.

Berdoakan semoga kita pun dapat rezeki terpijak dan tidak dijangka seperti keluarga berkenaan.