PELIK tapi benar! Itu adalah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan peri laku pelik seorang pengguna Twitter yang mendedahkan dia mempunyai hobi mengumpul bangkai nyamuk.

Ya! Kita biasa mendengar tentang hobi mengumpul setem, poskad, model kereta Hotwheels atau patung watak animasi bukan?

Namun, bagi pengguna Twitter @zynapsed yang dikenali sebagai Shreya mendedahkan dia menyimpan nyamuk yang dibunuh dan menghimpunkannya untuk dijadikan sebagai satu koleksi.

Saling tak tumpah seperti mengumpul setem! Siap kemas dilekat pada sebuah buku nota yang dijadikan seperti album dan lengkap pula dengan nombor bilangan nyamuk yang telah berjaya dibunuh.

Melalui posting yang dikongsi itu juga kelihatan dia menunjukkan dua keping gambar sebagai sebahagian daripada cabaran ‘bagaimana ia bermula, bagaimana keadaan sekarang’ (how it started, how it’s going) yang sangat popular di Twitter.

Zynapsed telah mendedahkan bangkai nyamuk yang berjaya dibunuh akan dilekat dalam sebuah buku latihan tersebut sehingga kini berjaya mencecah melebihi 80 ekor.

Iklan

Namun sehingga kini, masih tidak dapat dipastikan mengapa Zynapsed melakukan perbuatan tersebut dan memilih itu sebagai hobi.

Warganet turut memberi pelbagai reaksi berhubung gambar tersebut malah ada yang merasakan hobi tersebut menyeramkan.

Iklan

Walau apa sekali pun, perlu diakui setiap manusia ada hobi tersendiri dan kadang kala hobi yang pelik ini mengundang pelbagai tanggapan negatif orang ramai.

Selagi ia tidak mendatangkan bahaya atau memudaratkan diri sendiri atau orang lain, rasanya tak salah. Janji tak menyusahkan orang! Betul tak?