Hotel pertama di angkasa bakal wujud menjelang 2027. Perlu sediakan RM20.6 juta untuk tempoh tiga hari dua malam
PERNAH terfikir tak pada suatu hari nanti akan wujud penginapan hotel di ruang angkasa?
Ya, ia bukan satu khayalan lagi apabila hotel yang terapung di ruang alam semesta yang banyak diceritakan dalam filem antarabangsa akan direalisasikan menjelang tahun 2027.
Pejam celik pejam celik, rasanya sekarang tahun 2021, tahun 2027 hanya enam tahun sahaja.
Adakah dalam tempoh enam tahun itu, hotel yang dinamakan Orbital Assembly itu berjaya disiapkan?
Sebenarnya, banyak persoalan dan tanda tanya timbul apabila Orbital Assembly baru-baru ini mengumumkan akan menyegerakan pembinaan hotel tersebut.
Menurut laporan matadornetwork.com, hotel yang akan dibina di stesen angkasa komersial, Stesen Voyager itu akan dihubungkan dengan perkhidmatan roket, SpaceX Starship yang akan berulang alik dari Bumi.
Fuhh! Hebat bukan? Hotel angkasa yang berbentuk seperti gegelung gergasi itu difahamkan boleh menampung 280 tetamu dan 112 kru.
Lapor laman web itu lagi, struktur canggih hotel berkenaan dengan graviti buatan membolehkan penghuni hotel berjalan seperti biasa.
Bahkan tetamu boleh merasai kesan graviti dengan cubaan melompat lebih tinggi daripada biasa, bermain dan bersenam di ruang gimnasium yang disediakan.
Bolehlah merasai pengalaman berjalan di atas bulan seperti yang sering kita lihat di kaca televisyen. Memang 'epik' jika projek tersebut mampu menjadi kenyataan.
Artikal berkaitan: Jutawan Jepun pelawa 8 orang sertai misi mengelilingi bulan, peluang sekali seumur hidup
Menurut Arkitek Reka Bentuk Kanan, Orbital Assembly, Tim Alatorre, kedudukan stesen yang berputar ibarat memusingkan baldi berisi air tetapi airnya tidak tumpah.
Pastinya, ramai yang tertanya-tanya berapakah kos menginap di hotel seperti itu? Kos tiga hari mengelilingi orbit bumi itu dianggarkan sebanyak $5 juta (RM20.6 juta).
Bagi Ketua Eksekutif Orbital Assembly, John Blincow, jumlah itu cukup berbaloi dengan momen cukup bersejarah yang tiada lagi di tempat lain.
Bukan sahaja perkhidmatan servis makanan lazat oleh cef terkemuka, bahkan tetamu dihiburkan dengan persembahan artis seperti Beyonce dan kumpulan muzik terkenal, Sting.
“Itu sebahagian daripada pakej hiburan yang dirancang. Kami mahu menggabungkan cef dan artis terkemuka dunia untuk memastikan tetamu merasai pengalaman luar biasa,” katanya.
Barangkali, satu percutian sekali seumur hidup jika benar, projek bernilai berbilion-bilion itu berjaya dilaksanakan.
Apa lagi, bolehlah merancang kumpul duit daripada sekarang jika benar-benar mahu menikmati hotel di ruang angkasa.
Rasanya bukan itu sahaja hotel angkasa yang digembar-gemburkan yang akan jadi kenyataan, satu lagi hotel yang dinamakan AxStation juga dijadualkan dilancarkan menjelang 2024.
Jadi, kita tunggu dan lihat saja ya. Jika benar-benar berlaku, memang satu usaha luar biasa dan tetamunya mesti yang berduit sajakan?
Apapun, kita doakan moga wabak Covid-19 ini cepat-cepat lenyap di muka bumi. Pasti, ramai tidak sabar untuk keluar bercuti dengan selamat. #kitajagakita
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang