STRES jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit, sekali gus memberikan kesan buruk terhadap tubuh badan kita mungkin dalam tempoh berpanjangan.

Keadaan tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak, remaja, golongan dewasa, waima warga emas sekalipun.

Inilah situasi getir sedang berlaku di negara India yang mana serangan koronavirus (Covid-19) telah menyebabkan stres sehingga memberi tindak balas terhadap emosi, fizikal dan mental pesakit dan pasukan perubatan.

Seorang doktor muda misalnya yang bertugas merawat pesakit Covid-19 hampir sebulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Delhi sukar untuk membendung tahap stres dihadapi.

Artikel berkaitan: Covid-19: Bekalan Oksigen Pesakit Di India Semakin Berkurang, Pihak Hospital Tagih Simpati Penduduk Dunia

Tekanan, keletihan dan kebuntuan yang berselirat menjaga pesakit dan diri sendiri akhirnya telah mendorong beliau memilih menamatkan riwayat hidup dengan membunuh diri.

India Today melaporkan, Dr Vivek Rai merupakan doktor yang bertugas sehingga terpaksa ‘tinggal’ di hospital terbabit dalam tempoh lama.

Beliau berasal dari Gorakhpur di Uttar Pradesh, India. Isterinya kini sedang hamil dua bulan selepas mereka mendirikan rumah tangga sekitar November tahun lalu.

India Covid-19: Doktor muda bunuh diri, stres pesakit positif terus meningkat

Menurut sumber, salah seorang rakan Dr Rai mengatakan pegawai perubatan tersebut bertugas merawat pesakit Covid-19 di ICU sejak sebulan lalu.

Iklan

“Beliau akan memberi rawatan antara tujuh hingga lapan pesakit kritikal setiap hari. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun malangnya tidak ramai bertahan,” katanya.

Sumber juga menambah hari demi hari Dr Rai semakin kecewa melihat situasi yang terjadi, apatah lagi disusuli peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

Artikel berkaitan: 6 Punca Wabak Covid-19 Di India Semakin Mengganas

Iklan

Rakan-rakan seperjuangan ‘mengiktiraf’ Dr Rai pejuang Covid-19 barisan hadapan susulan usahanya menyelamatkan ratusan nyawa semasa wabak itu menular di negara tersebut.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan India, semalam sahaja jumlah kes Covid-19 mencecah 19,925,604 jangkitan dengan sebanyak 392,488 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, sebanyak 3,689 kematian dilaporkan sejak pagi kelmarin, sekali gus mencatat jumlah kematian kepada 218,959 kes setakat hari ini.

Terdapat sejumlah 3,349,644 kes aktif dengan kenaikan 80,934 kes kelmarin manakala 15,992,271 pesakit disahkan pulih dan dibenarkan pulang di serata India.