PERCAYA atau tidak, sedikit masa lagi dengan bantuan teknologi canggih, kita tidak akan berdepan lagi rungutan tayar pancit atau bocor di tengah jalan.

Ini kerana, satu ciptaan baharu SMART Tyre dengan kerjasama National Aeronautics and Space Administration (NASA) dilihat telah melangkaui imaginasi manusia dengan kemampuan luar biasa.

Ya! Inovasi campuran logam memori pintar menjadikan tayar basikal angkasa pertama di dunia, METL mengejutkan industri pengeluar basikal dunia.

tayar basikal angkasa

Ciptaan struktur tayar tanpa udara yang cukup berinovatif itu pada awalnya dibangunkan dan diuji NASA untuk misi Mars Rover dan difahamkan bakal diperkenalkan ke pasaran global.

Lapor odditycentral.com, teknologi canggih pembuatan tayar memori pintar itu mampu merenggang dan kembali kepada bentuk asal kerana memiliki kemampuan melentur seperti getah.

Memiliki ketahanan seperti titanium, pastinya kaki basikal membayangkan satu penjimatan menguntungkan sepanjang hayat kerana tidak perlu menukar tayar basikal mereka.

tayar basikal angkasa

Memperincikan teknologi yang digunakan, NASA dalam satu kenyataan berkata, bentuk tayar pintar seperti kawat yang ditenun halus itu mampu menyerap hentakan.

“Bahan Shape Memory Alloy yang digunakan membolehkan teknologi tersebut melalui kawasan berbatu dengan baik tanpa merosakkan tayar.

“Secara teknikalnya, struktur tayar yang diperbuat daripada bahan super elastik yang dipanggil NiTinol Plus itu memiliki potensi ketahanan extravaganza,” katanya.

tayar basikal angkasa

Iklan

Apa yang menarik lagi mengenai teknologi tersebut? METL dikatakan mampu bertahan pada suhu melebihi 500 darjah celsius kerana direka khas untuk bertahan di kawasan panas seperti di planet Marikh.

Wow! Cukup menakjubkan. Tidak mustahil ketahanan tayar canggih ini mampu pergi lebih jauh jika dibandingkan koleksi tayar tanpa tiub biasa sedia ada ketika ini.

Bagi peminat basikal ingin mendapatkan bekalan tayar canggih, tunggu pengumuman rasmi SMART Tyre yang bakal melancarkan item tersebut secara komersial pada tahun depan.

tayar basikal angkasa

Iklan

Meskipun belum ada maklumat penuh mengenai harga yang bakal ditawarkan, tetapi pastinya nilai yang ditawarkan lebih premium berbanding harga tayar basikal tradisional.

Isunya ketika ini, adakah peminat sukan basikal sudah bersedia menerima perubahan?

Selera masing-masing berbeza, bukan?

Apa yang penting, amalkan gaya hidup sihat dan jangan lupa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan sepanjang beriadah!