Juadah RM6 bertukar menjadi nilai puluhan ribu ringgit gara-gara sebiji mutiara Melo

A
A
A

REZEKI! Siapa sangka bermodalkan 50 baht atau sekitar RM6 untuk membeli makanan laut sebagai juadah makan malam akhirnya bertukar menjadi rezeki yang tidak dijangka dengan kehadiran sebiji mutiara.

Memetik laporan Daily Mail, seorang pemandu lori yang dikenali sebagai Monthian Jansuk dilaporkan menemui sebutir mutiara Melo berwarna jingga di dalam makanan laut yang dibelinya baru-baru ini.

Lelaki berusia 40 tahun itu pada mulanya membelanjakan 50 baht (RM6) di sebuah pasar berhampiran kawasan rumahnya di wilayah Chonburi untuk membeli makanan laut yang dipercayai sejenis siput.

Selepas juadah dimasak, ketika sedang menjamu selera, tiba-tiba mereka sekeluarga dikejutkan apabila anaknya menemui mutiara tersebut di dalam siput yang dimakan.

Juadah RM6 bertukar menjadi nilai puluhan ribu ringgit gara-gara sebiji mutiara Melo

Monthian dan isterinya yang dikenali sebagai Wasana terkejut melihat anak lelakinya meluahkan mutiara sebesar duit syiling dan seberat 7 gram (g) tersebut.

Mereka sekeluarga pada mulanya menyangka ia adalah telur kepada makanan laut tersebut, namun mereka mula sedar ia mungkin salah satu mutiara paling jarang ditemui di dunia selepas tular berita penemuan mutiara yang serupa beberapa minggu lalu.

Tambahan pula mutiara tersebut adalah antara paling jarang ditemui di dunia.

Pakar juga telah mengesahkan mutiara itu sememangnya mutiara Melo dengan berat 13.11 gram, bersamaan 65.57 karat.

“Sebaik saya lihat mutiara itu, saya dapat rasakan ia sangat istimewa melalui naluri hati saya. Sekarang kami sekeluarga gembira keaslian mutiara ini telah disahkan oleh pakar.

“Saya telah menyimpan mutiara itu di peti simpanan di bank dan kami akan menjualnya satu hari nanti.

“Kami tidak terburu-buru, sekiranya kami mendapat tawaran yang berbaloi dan dapat menjual dengan harga yang baik, saya akan bersara dan menghabiskan masa bersama keluarga,’ katanya.

Juadah RM6 bertukar menjadi nilai puluhan ribu ringgit gara-gara sebiji mutiara Melo

Menurut Monthian lagi, setelah berita penemuan mutiara itu tersebar, keluarga dan jiran-jiranya berkumpul untuk meneliti batu itu dan kami bersetuju bahawa ia adalah suatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana terdetik untuk membeli makanan laut itu baru-baru ini. Mutiara ini akan mengubah hidup kami,” katanya.

Terdahulu, seorang nelayan yang dikenali sebagai Hatchai Niyomdecha juga dilaporkan telah menemui mutiara Melo ketika mengutip tiram di sebuah pantai di Thailand.

Hatchi kemudiannya telah ditawarkan RM1.3 juta bagi mutiara Melo seberat 7.68g yang ditemuinya itu.

Sumber : Daily Mail

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang