AMALAN pemakaian susuk seperti jarum emas atau tembaga pada tubuh badan khususnya wajah merupakan kepercayaan spiritual orang zaman dulu.

Pun demikian, pada zaman serba canggih ini, susuk masih digunapakai dan menjadi kegilaan.

Mereka yang mahu tampak hebat dan jelita memang menggunakan jalan pintas dengan memakai susuk.

Apabila pakai susuk, ramai kata, wajah tidak dimamah usia. Sejauh mana kebenarannya, SinarPlus tidak tahu.

Dalam Islam, budaya memakai susuk dianggap syirik namun, demi cantik dan kepuasan diri, mereka langgar sahaja tanpa takut dengan dosa.

Ada yang sanggup masuk ke Siam semata-mata untuk dapatkan susuk yang dikatakan lebih hebat, ampuh dan tidak dapat ditandingi.

Pun begitu, percaya tak kalau dikatakan susuk ini boleh dilihat melalui imbasan sinar-x?

Hal itu berlaku di satu lokasi di Indonesia seperti yang artikel yang disiarkan melalui laman web Tribune.

Ya, imej ratusan jarum berjaya terakam pada filem hitam tersebut!

Kisah itu dikongsikan seorang pemilik akaun Instagram, @tasyabira yang berkongsi kisah unik pengalamannya ketika menyiapkan kajian ilmiah.

Penuntut bidang pergigian yang dikenali dengan nama Tasqia Syabira itu telah memuat naik beberapa foto sinar-x milik seorang wanita yang dikatakan memakai ‘implan’ .

Sebelum memuat naik gambar tersebut, Tasqia secara terus terang mengakui bahawa beliau sedang menyiapkan kajian mengenai ‘implan’ yang dikesan pada sinar-x.

Apa yang mengejutkan, antara jurnal yang ditemuinya menunjukkan kes seorang pesakit yang berusia 55 tahun yang sangat luar biasa.

Dalam foto yang dilampirkan di dalam jurnal terbabit, hasil imbasan menyaksikan ratusan jarum kecil yang tersimpan di dalam badan pesakit.

Jarum dalam badan
JARUM kecil ditemui pada badan orang yang memasang implan ketika imbasan dilakukan pada sinar-x.

Ya! Bukan kaleng-kaleng punya jarum. Maklumat jurnal tersebut menunjukkan sinar-x mampu mengesan implan yang diperbuat daripada emas dan tembaga tau!

Warganet yang melihat posting itu yang terkejut melihat gambar tersebut mempersoalkan bagaimana ratusan jarum itu mampu dirakam?

Iklan

Jawab Tasqia: “Mengapa boleh terakam dalam sinar-x? Oleh kerana ia diperbuat daripada emas dan tembaga sehingga terlihat tepat di X-Ray.”

Selanjutnya Tasqia memberikan penjelasan dari segi perubatan.

Katanya, proses implan jarang menyebabkan komplikasi.

“Selalunya bentuk ‘implan’ (atau susuk) ini boleh ditemui secara tidak sengaja semasa pemeriksaan perubatan.

Di sini saya boleh katakan implan itu mesti diambil (dikeluarkan) sebelum orang itu mati atau ada yang mengatakan jika ia diambil sebelum kematian, ia akan menjadi bencana.

“Ada juga yang mengatakan bahawa jika mereka mengambilnya, saat matinya keras (susah). Serba salah dibuatnya ,” terangnya.

Iklan

Tasqia berkata, mengikut sesetengah kepercayaan, jika seseorang kantoi menggunakan implan, ia boleh menyebabkan susuk tersebut kurang berkesan.

“Inilah sebabnya kenapa ramai pesakit yang ‘kantoi’ mempunyai implan tidak mahu mengaku. Lagipun doktor pun tidak masuk masuk campur.

“Lagi-lagi implan ini tidak mengundang risiko kepada kesihatan pesakit, ” jelasnya yang turut berkongsi kisah sama yang dihadapi pensyarahnya.

Siapa sangka, perkongsian itu menjadi trending apabila ramai menunjukkan minat terhadap kisah susuk tersebut yang boleh dikatakan masih diamalkan pada zaman sekarang.

Hanya kerana mahu nampak cantik dan hebat, sanggup membelakangkan agama. Hati-hati ya jangan sampai tergelincir!