BAGI mereka yang berhijrah untuk mengenali Sang Pencipta, tiada sekelumit pun rasa menyesal untuk meninggalkan apa yang mereka paling sayang.

Itulah harga yang sanggup dibayar oleh mereka yang ingin melakukan transisi ke arah kebaikan.

Barangkali hati individu tersebut telah disinari dengan hidayah yang diberikan oleh ALLAH SWT sehingga nekad melakukan semata-mata kerana-NYA.

Demikianlah pengorbanan yang dilakukan oleh model fesyen Muslimah terkemuka, Halima Aden. Beliau mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada dunia peragaan, lapor portal antarabangsa, The Guardian baru-baru ini.

Artikel itu antara lain turut menyebut, supermodel berkenaan nekad berbuat demikian untuk agama Islam yang dianutinya.

Halima mengakui, gara-gara jadual kerjanya yang padat, adakalanya menyebabkan dia ‘terbabas’ menunaikan kewajipannya paling utama iaitu untuk menunaikan solat.

Jelasnya lagi, ada masa-masa tertentu kepalanya terpaksa ditutup dengan seluar jeans sebagai pengganti selendang untuk menutup auratnya.

“Saya hanya menyalahkan diri sendiri kerana melebihkan peluang berbanding dengan apa yang sepatutnya saya pertahankan (kewajipan sebagai seorang Muslim),” katanya melalui laman Instagramnya yang dipetik oleh The Guardian.

Dalam satu lagi catatan lain, Halima, 23, turut mendedahkan bahawa ibunya sudah lama meminta dirinya supaya meninggalkan bidang yang dilimpahi wang dan popular itu.

“Terima kasih kepada Covid-19 dan implikasinya kepada industri akhirnya membuatkan saya sedar bahawa saya salah dalam menempuh perjalanan sebagai Muslimah yang berhijab (yang tidak menjaga tuntutan agama dengan sebaiknya),” katanya.

Halima Aden

Dalam pada itu, menurut laporan bbc.com, Halima menjelaskan, masalah juga timbul kerana kekangan dalan industri berkenaan iaitu kurangnya penata rias wanita Muslimah yang memahami kepentingan memakai hijab.

Begitupun, katanya, keputusan yang diambilnya itu bukanlah bermakna beliau terus keluar daripada bidang berkenaan.

Selepas ini, model wanita yang dilahirkan di kem pelarian Kenya yang berasal dari Somalia itu akan mengenakan syarat bagi pekerjaannya pada masa akan datang.

“Jika tudung saya tidak dapat dilihat, saya tidak akan mucul,” kata beliau yang turut mengepilkan gambar dirinya mengenakan hijab menutupi dada dan bahunya.

Keputusan Halima itu turut mendapat sokongan daripada pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd Noor.

“Kerana hati berada di antara jari-jari ALLAH. DIA mengubah mereka mengikut cara yang dimahukan.

Iklan

“Adikku yang dikasihi @Halima, semoga ALLAH sentiasa memberi anda kekuatan dan keberanian yang luar biasa ini untuk membuat anda terus maju. ALLAH MAHA BESAR. Allahuakbar,” tulisnya di Instagram miliknya baru-baru ini.

Halima Aden

Untuk rekod, Halima berpindah ke Amerika Syarikat bersama ahli keluarganya pada usia tujuh tahun dan menetap di St Louis, Missouri.

Ketika usianya 19 tahun, beliau membuat debut pertamanya dalam bidang modeling pada Minggu Fesyen New York pada tahun 2017 sebagai semi finalis.

Iklan

Dua tahun kemudian, Halima menjadi model pertama memakai hijab dan pakaian renang (burkini) Muslimah.

Beliau juga merupakan duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak tahun 2018.

Sama-sama kita doakan yang terbaik buat Halima dan semua insan yang ingin melakukan hijrah.

Sumber & Foto: The Guardian, bbc.com & Instagram Neelofa dan @Halima