APABILA nama anda dipertikai gara-gara dikatakan tidak sesuai dengan jantina, apa agaknya perasaan anda?

Bukan apa, biasanya sebelum melahirkan cahaya mata lagi, mak ayah biasanya sudah ada nama anak idaman masing-masing.

Pastinya apabila nama anak itu diejek, si ibu atau bapa akan rasa sedih.

Itu yang berlaku kepada seorang ibu di United Kingdom (UK) apabila nama bayinya menjadi bahan pendebatan, lapor Mirror UK.

Tidak mendedahkan butiran nama berkenaan, wanita tersebut meluahkan rasa menyesalnya apabila memberi nama bayi lelakinya mirip dengan nama seorang perempuan.

Niat cuma satu, mahu si comel itu mempunyai nama uniseks (kedua-dua nama lelaki dan wanita boleh mengguna pakai nama berkenaan).

Seperti yang dilaporkan oleh portal itu, wanita tersebut telah menulis dalam platform Mumsnet dan berkongsi kekecewaannya apabila menerima pelbagai reaksi negatif.

Ramai yang berandaian nama anak beliau sebenar ialah seorang bayi perempuan!

Keterujaannya yang mahu memperkenalkan si kecil kepada dunia berakhir terbenam begitu sahaja selepas itu.

“Itu satu-satunya nama yang dipersetujui bersama suami, namun, kami juga bimbang anak lelaki saya akan menghadapi masalah sepanjang hidupnya.

“Saya berharap dapat menukar namanya kepada sesuatu yang lain, walaupun tidak tahu apa yang berlaku akan datang. Saya kerap memikirkan perkara itu dan kini tidak suka memperkenalkan anak saya dengan panggilan nama itu disebabkan dapat mengagak reaksi yang bakal diterima,” katanya.

Baca juga [VIDEO] Pelik tetapi benar, nama tiga beradik ini sempena nama pautan laman web yang menyatukan cinta ibu bapa mereka

Melihat kepada cerita berkenaan, sememangnya dalam Islam, pemilihan nama anak adalah penting.

Menurut portal Sinar Islam Plus, setiap ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memilih nama yang baik kerana ia merupakan sunah Rasulullah yang sangat dituntut.

Berikut ialah nama-nama yang digalakkan untuk diberikan kepada anak seperti yang dikongsikan oleh laman web terbabit:

1. Nama yang disukai ALLAH SWT
Nama yang paling disukai oleh ALLAH dan Rasulullah SAW ialah nama Abdullah dan Abdul Rahman atau yang diambil daripada mana-mana 99 nama ALLAH SWT yang tercatat dalam Asmaul Husna.

2. Menggunakan nama Nabi atau Rasul
Baginda menamakan anak kepada Abdullah bin Salam RA dengan nama salah seorang nabi ALLAH iaitu Nabi Yusuf AS.

3. Menggunakan nama para sahabat
Di samping itu, nama-nama sahabat Rasulullah SAW yang agung seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Saad, Zubair dan lain-lain juga bagus untuk dipilih.

Kalau kita lihat pada zaman sekarang, nama-nama yang diberikan kepada zuriat masing-masing memang panjang-panjang dan luar biasa.

Ya, memang sedap disebut, tapi impaknya kepada anak itu sendiri. Fikir-fikirkanlah.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI