Pakai rantai logam, lelaki maut ‘disedut’ mesin MRI

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

 

SEORANG lelaki warga Amerika Syarikat (AS) berusia 61 tahun dilaporkan maut selepas mengalami kecederaan serius dalam satu kejadian di sebuah bilik imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Westbury, New York.

Difahamkan, insiden itu berlaku apabila lelaki tersebut memasuki bilik MRI tanpa kebenaran ketika mesin tersebut masih dalam keadaan aktif sambil memakai rantai logam bersaiz besar.

Menurut kenyataan Polis Daerah Nassau, mangsa memasuki bilik berkenaan selepas isterinya memanggil lelaki itu supaya masuk sebaik sahaja selesai menjalani imbasan lutut.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Isteri mangsa, Adrienne Jones-McAllister memaklumkan bahawa suaminya ketika itu sedang memakai seutas rantai logam seberat sembilan kilogram (kg) dengan kunci yang digunakan dalam latihan kekuatan.

“Kesan magnet kuat dari mesin MRI menarik rantai logam tersebut dan menyebabkan lelaki itu tercampak ke arah mesin, lalu mengalami kecederaan parah. Mangsa dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya,” katanya.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA), medan magnet dalam MRI cukup kuat untuk menarik objek seperti kunci, telefon bimbit dan tangki oksigen yang boleh menjadi peluru berbahaya sekiranya ia tidak dikawal.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Tragedi seumpama ini bukan kali pertama berlaku. Malah, pada 2001, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun turut dilaporkan maut selepas sebuah tangki oksigen logam yang berada berhampiran tiba-tiba ‘terbang’ ke arah mesin MRI ketika prosedur sedang dijalankan.

Insiden ini sekali lagi mengingatkan kita betapa pentingnya mematuhi protokol keselamatan ketika berada di fasiliti perubatan, terutamanya yang melibatkan teknologi canggih seperti MRI.

Sumber: Awani

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang