TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Nasib seorang penjaja roti jalanan berubah sekelip mata dengan hanya sekeping foto.

Peribahasa itu tepat menceritakan mengenai Olajumoke Orisaguna, 31 yang merupakan isteri kepada Sunday Orisaguna. Wanita itu juga ibu kepada dua cahaya mata perempuan berusia 14 bulan dan 5 tahun yang tinggal di Osun, Nigeria.

Tidak sekadar menjaja roti, wanita itu juga mampu pendandan rambut tetapi tidak mampu mengembangkan bakat kerana masalah kewangan.

Kisahnya bermula apabila Orisaguna tidak menjana wang yang mencukupi di kampungnya. Justeru atas undangan saudara jauh untuk bekerja di kedai roti, dia berpindah ke Lagos untuk mendapatkan wang sekitar N300-500 (bersamaan RM3.02 hingga RM5.02) untuk keluarganya sebagai penjual roti.

Sebagai penjaja jalanan, Orisaguna akan berada di merata tempat untuk mendagangkan roti kegemaran masyarakat di sana dinamakan agege.

Tanpa sengaja Orisaguna melintasi lokasi fotografi artis rapper terkenal Britain, Tinie Tempah.

Jurufoto yang sedang bertugas memotretkan Tempah, tanpa sengaja merakam foto Orisaguna.

Setelah tanpa sengaja merakam foto wanita itu, Bello kemudiannya tertarik dengan wajah Orisaguna yang fotogenik.

“Sesetengah kru memintanya meninggalkan set dan yang lain memintanya untuk kekal. Saya bertanya sama ada ok untuk mengambil gambarnya dan dia bersetuju. Saya terus merakamkan foto sambil dia berjalan,” tulis Bello di Instagram.

Selepas dirakam, foto itu telah dimuatnaik Bello ke akaun Instagramnya.

“Siapakah dia?” Bello menulis di Instagram. “Semua orang bertanya sama ada wanita ini seorang model… Ia adalah kebetulan yang sempurna… Dia kebetulan sedang berjalan semasa saya mengambil gambar. Ia berlaku begitu pantas.”

Mencarinya terbukti satu cabaran, tetapi seseorang berjaya menjejaki. Ternyata Orisaguna dilahirkan untuk menjadi model.

Setelah berjaya dijejaki Bello, Orisaguna memotretkan dirinya sehingga menjadi gadis muka depan majalah Nigeria, This Day in Style.

Rentetan dari itu, Orisaguna mula mendapat pelbagai kontrak. Ramai mengatakan kisah Orisaguna umpama ‘fairy tale’ cuma bezanya ia bertitik tolak daripada foto yang tular.

Wanita yang memiliki rambut afro itu meraih kontrak untuk pelbagai iklan dari bermacam jenama dan ditawarkan kerjaya sebagai pendandan rambut di sebuah salon.

Malah dia juga berupaya meyakinkan agensi modeling Few Model Management untuk mengambilnya.

Ia adalah sesuatu yang tidak pernah dimimpikan oleh Orisaguna. Malah penajanya, Sujimoto Group menawarkan tempat tinggal untuk keluarganya hubungan jarak jauh bersama anak-anak dan suami.

Malah wanita itu juga ditawar biasiswa untuk mempelajari etiket, pelbagai kemahiran sosial dan komunikasi. Orisaguna kemudian meraih populariti sekelip mata.

Iklan

Dia memulakan saluran Youtube sendiri, Olajumoke Sauce yang berkongsi vlog kehidupannya.

Orisaguna juga dilalaporkan beralih ke agensi lebih besar, Beth Modelling selepas mendapati agensinya, Few Model Management tidak mampu mengendalikan kontrak-kontrak besar diperolehi.

Namun dalam beberapa tahun wanita itu mula berhadapan pelbagai episod duka. Antaranya ditipu pengurus, Victoria Nkong yang mengambil kesempatan mengaut wang daripada kontrak Orisaguna berjumlah N2 juta (bersamaan RM20,146.64).

Nkong tidak jujur dan hanya menyerahkan kepada wanita itu N1,500 (bersamaan RM1,511.00).

Tidak sekadar itu, ibarat jatuh ditimpa tangga, apartmen tiga bilik yang ditaja Sujimoto juga tamat kontrak pada 2019 dan wanita itu terpaksa keluar mencari kediaman lain.

Iklan

Krisis kewangan dihadapinya menjadikan wanita itu hilang daripada ‘radar.’ Malah laman sosial miliknya dilihat tidak dikemaskini sejak tahun 2020.

Ramai mengatakan kurangnya ilmu dan masalah komunikasi seperti tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris menyebabkan populariti wanita itu terus menurun.

Namun tidak kurang juga yang mengatakan masalah rumahtangganya dengan Sunday menjadi penyebab nama besar bekas penjaja roti itu semakin malap.

Kisah Orisaguna ini menjadi iktibar dan teladan kepada semua untuk tidak terleka berada di dalam zon selesa serta memilih orang yang betul sebagai rakan sepasukan.

Baca juga: Dulu Pengemis, Kini Cuba Nasib Bergelar Miss Universe

Baca juga: Nelayan bakal bergelar jutawan segera, jumpa ‘emas terapung’ RM5 juta

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Goalcast, The Will Nigeria