Pulau peribadi bekas tapak tentera kini dijual, tawaran luar biasa lengkap dengan pakej 15 hantu?
SEBUAH pulau lengkap dengan pantai peribadi yang terletak kira-kira 550 meter dari Plymouth, Devon, United Kingdom yang penuh ‘kontroversi’ kini dibuka untuk jualan.
Apa yang mencuri tumpuan, Pulau Drake seluas 2.4 hektar itu sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri termasuklah bekas tapak kem pertahanan tentera yang berusia lebih 100 tahun.
Lapor SKY News, kepulauan privasi yang dibuka pada abad ke-18 itu dikatakan lengkap dengan peralatan meriam lama yang masih utuh sehingga sekarang.
Dari mata kasar, ramai yang kata Pulau Drake yang mempunyai kelebihan kawasan pantai landai dan cantik itu berpotensi menjadi pusat peranginan mewah.
Mana tidaknya, hanya ambil masa 10 minit jer dengan bot laju untuk sampai ke sana, pulau itu mempunyai kesan peninggalan sejarah seperti berek lama dan gudang senjata bawah tanah.
Pemiliknya, Morgan Philips berkata, kepulauan unik itu barangkali sudah berusia lebih 2,000 tahun yang mana bangunan pertama yang dibina direkodkan pada tahun 1135.
“Pulau ini memang istimewa kerana ia menjadi penghalang nuklear pada zamannya dan sebab itu, kapal perang Sepanyol tidak pernah sampai ke sini,” katanya.
Ahli perniagaan itu membeli Pulau Drake pada tahun 2019 dengan nilai £6 juta (RM27.9 juta).
Beliau juga sedang mendapatkan kelulusan dengan pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan tanah itu menjadi hotel dengan kapasiti 43 katil.
“Pulau ini boleh menjadi destinasi pelancongan dan tak mustahil, ia boleh direalisasikan. Apa yang kita mahukan adalah destinasi ini dapat diketengahkan.
“Pada masa sama, ada pihak yang mempunyai bajet untuk membangunkan pusat peranginan,” katanya.
PENGHUNI MISTIK
Nak dijadikan cerita, pulau cantik itu diberi nama Drake sempena Sir Francis Drake yang memulakan pelayaran dari sana untuk mengelilingi dunia pada tahun 1577.
Kongsi perunding hartanah, Ali Rana, harga jualan masih belum ditetapkan lagi tapi kos pengubahsuaian untuk keseluruhan pulau dianggarkan £25 juta (RM116.4 juta).
“Cadangan pembangunan termasuklah pelan bangunan luar yang mahu diubah menjadi bilik tidur. Pemilik mahu menjadikan tempat ini sebagai lokasi perkahwinan eksklusif.
“Tetamu boleh tinggal di sana dengan kemudahan seperti sebuah restoran, kafe di pinggiran pantai. Jika dapat direalisasikan, ia boleh mencipta destinasi istimewa,” katanya.
Bagaimanapun, pendedahan seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat di pulau itu benar-benar menarik perhatian ramai.
Lelaki yang dikenali dengan nama Philips itu memberitahu, pemilik baharu tidak akan bersendirian kerana ditemani 15 hantu yang rata-ratanya bekas tentera.
“Jika anda percaya, mereka semua adalah skuad British yang melindungi kawasan ini. Itulah yang mereka lakukan ketika masih hidup dan akan terus melakukan khidmat yang sama selama-lamanya.
“Saya sudah mengalami pelbagai pengalaman yang tak boleh nak dijelaskan dengan kata-kata, tapi semuanya ‘baik-baik’ saja,” katanya kepada media.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang